Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Tuesday, August 15, 2017

Tanam Minat Membaca Anak



Kalau kita lihat, antara satu kesedaran yang timbul dalam kalangan ibu bapa sekarang ialah untuk berusaha mendidik anak mereka minat dan suka membaca. Begitu banyak artikel yang dikongsikan tentang bagaimana cara yang boleh digunakan untuk mendidik anak-anak minat membaca.

Saya pun tidak terlepas dari menjadi salah seorang dari ibu bapa tersebut, berusaha menanam minat membaca dalam diri Maryam. Baiklah saya akan kongsikan dalam penulisan kali ini, antara cara yang saya dan isteri usaha dan lakukan.

Image may contain: 1 person, sitting

1) Mengaji al-Quran di depan anak. Selepas selesai solat, kita luangkan sedikit masa, memegang dan membaca al-Quran depan anak. Masa yang sesuai ialah selepas waktu maghrib, kita luangkan sedikit masa untuk mengaji depan anak. Maryam kebiasaannya suka mendengar dan diam sahaja jika mendengar bacaan al-Quran. Nanti, bila anak dah biasa tengok insyaAllah dia boleh "copypaste". Kebiasaan yang menjadi ikutan.

2) Beli buku bacaan kanak-kanak untuk anak. Buku yang mempunyai lukisan dan ilustrasi yang baik dan menarik, sesuai untuk merangsang minat anak-anak. Antara buku yang saya belikan untuk Maryam ialah seperti "My First Quran Book", "Goodnight Stories from the lives of Sahabah", dan "Goodnight Stories from the life of Prophet Muhammad". Buku-buku ini saya dapatkan dari ikhwah yang berada di India. Namun pastinya banyak lagi buku seperti ini turut boleh didapati di kedai buku tempatan.

3) Jika pergi ke mall, tempat pertama yang perlu ada dalam minda untuk kita lawati ialah "bookstore", baik MPH, Kinokuniya atau POPULAR. Jadikan ia sebagai tempat utama dan wajib kita nak pergi jika ke mall. Tiap kali saya ke mall, pasti akan saya bawa keluarga kecil saya ke kedai buku yang ada. Tanamkan minat untuk ke kedai buku dalam diri anak. Jika tak membeli pun tak mengapa, asalkan kita berkunjung ke sana. InsyaAllah, mall bukan lagi jadi tempat maksiat atau destinasi untuk ke cinema dan karaoke jamban. Namun ia kini menjadi destinasi untuk anak kita ke kedai buku. Kebiasaannya mall di Malaysia pasti memiliki kedai buku.

4) Buka pintu rumah, dan yang terbaik ialah untuk kita nampak buku-buku dulu. Maka kalau nak susun atur dalam rumah, yang paling baik itu jika kita letak perpustakaan mini sebagai penyambut di muka pintu. Buku itu sinonim dengan ilmu, dan pastinya ilmu itu ialah cahaya. Alangkah indahnya, hati yang serabut dan penat dengan kerja seharian, apabila pulang ke rumah, yang dilihat kita ialah buku-buku. InsyaAllah hilang serabut dan penat melihat buku-buku yang ada. Benda ini juga secara tidak langsung menanam dalam minda anak kita untuk meletakkan buku jadi keutamaan.

5) Hiasan kereta saya letak tergantung di dalam kereta ialah sebuah buku kecil berkulit tebal. Hanya mengandungi beberapa muka surat sahaja. Setiap helaian, akan ada gambar binatang atau buah-buahan. Buku kecil ini digantung dekat cermin kereta. Apabila Maryam nak main, terus bagi dia main buku mainan itu. Buku kecil ini mudah dan boleh didapati di Parkson.

Baiklah, itu sahaja yang nak saya kongsikan malam ini.

Semoga bermanfaat.