Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Tuesday, March 29, 2016

Kenali calon President US

Seperti yang kita semua tahu, pentadbiran US dibawah President Barrack Obama semakin menghampiri ke penghujungnya. Dunia telah menyaksikan bagaimana Obama dengan sikap ‘pro-israel’ beliau telah banyak memihak kepada Israel sepanjang pentadbirannya. Hal ini membuatkan keadaan umat Islam khususnya di Palestin dan Syria semakin hari semakin sengsara dan terus dihentam oleh US dan Israel.


Pelbagai plot telah dirancang US-Israel dibawah pentadbiran Obama bagi memastikan kedudukan negara haram Israel tidak tergugat. Apakah keadaan ini akan berterusan? Bolehkah US memiliki seorang presiden yang tidak menjanjikan taat setia kepada Israel? Apakah terdapat sinar harapan di sebalik mana-mana calon-calon Presiden US yang bakal menggantikan Obama?

Minggu lepas, sebuah konferens yang bernama AIPAC telah diadakan di Washington. AIPAC ialah akronim kepada American Israel Public Affairs Committee. AIPAC juga bertindak sebagai pelobi terbesar calon-calon presiden ini. Konferens ini telah menyaksikan calon-calon Presiden US memberi ucapan dan menyatakan pendirian mereka terhadap hubungan US-Israel. Article ini akan menilai pendirian tiga orang calon US yang berada di kedudukan teratas buat masa ini iaitu, Hillary Clinton, Bernie Sanders dan juga Trump.


1. Hillary Clinton

Beliau menjanjikan Israel kerjasama yang lebih erat, dan melahirkan simpati beliau kepada rakyat Israel yang kononnya hidup dalam ketakutan. Sokongan beliau terhadap project Iron Dome bagi menghalang serangan roket pejuang Hamas turut dinyatakan dalam ucapan sekaligus mendapat tepukan gemuruh dewan konferens.

Clinton mengatakan dan memberi amaran kepada musuh-musuh Israel, bahawa mana-mana musuh Israel ialah musuh US dan kerjasama erat antara US-Israel tidak akan tergugat. Bahkan beliau menjanjikan, perkara pertama yang akan dibuat beliau sekiranya menjadi Presiden US ialah menjemput Perdana Menteri Israel untuk datang ke White House.

Antara calon-calon Presiden US, beliau ialah penerima dana terbesar dan tertinggi dari Super PAC, sebuah badan yang menyalurkan dana untuk kempen calon pilihanraya di US. Dalam kempen pilihanraya pada tahun 2012, hampir keseluruhan dana yang diterima super PAC datang daripada dana individu, bukannya syarikat. Melihatkan senarai individu terkaya di US buat masa kini, tidak hairanlah untuk kita lihat orang yang memberi dana kepada badan ini juga adalah orang yang menyokong AIPAC. Justeru menguatkan lagi pendirian  bahawa Clinton ialah pilihan utama Israel.


2. Bernie Sanders

Sanders buat masa sekarang diletakkan pada kedudukan kedua dibelakang Clinton berdasarkan hasil undi. Walaubagaimanapun, beliau tidak menghadiri persidangan AIPAC. Salah satu sebab yang dapat diberikan mungkin kerana beliau tidak menerima dana yang banyak dari pelobi-pelobi Israel seperti yang diterima Clinton.

Namun itu bukanlah bermaksud beliau tidak menyokong kerjasama US-Israel malah ucapan beliau telah diberikan semasa beliau di Utah – bagaimana mungkin beliau boleh menolak kerjasama ini sedangkan beliau pernah tinggal di bumi Israel. Sepertimana calon president yang lain, beliau juga menjanjikan kerjasama yang berterusan di antara US dan Israel.

Sedikit kelainan pada beliau ialah, ucapan beliau turut mengkritik tindakan Netanyahu yang meneruskan pembinaan penempatan haram di west bank. Tindakan Israel yang menyekat wang cukai milik Palestin dan economic blockade terhadap Gaza turut dikutuk Sanders. Tidak dilupakan, Sanders menyokong  2 state solution yang dirancang oleh United Nation terhadap isu Israel-Palestine. Apakah janji manis ini boleh dipercayai? Kita jangan lupa, nada dan janji yang seakan-akan sama pernah juga dijanjikan Obama semasa zaman pencalonan beliau. Namun apa yang kita lihat sekarang merupakan perbuatan yang bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini.

Satu lagi fakta yang menarik sekali untuk kita tahu ialah – Bernie Sanders adalah satu-satunya calon pilihanraya kali ini yang berketurunan Yahudi. Ironinya, beliau tidak hadir ke konferens AIPAC, yang mengumpulkan penyokong-penyokong Israel di US. Sunggu ironi tapi tidak melayakkan beliau untuk digelar anti-Israel setakat ini.


3. Trump

Satu nama yang pada masa ini amat dikenali sebagai anti-muslim. Janji pertama beliau kepada Israel ialah untuk menghalang Perjanjian Nuklear Iran. Seperti yang kita tahu, Iran sebagai salah satu negara yang tidak disukai Israel. Iran dikatakan Trump membantu perjuangan Hamas di Gaza.

Tindakan United Nation yang seakan-akan memihak kepada Palestin turut dikecam Trump. Beliau berjanji sekiranya dijadikan Presiden, beliau akan gunakan kuasa veto beliau bagi menghalang apa-apa keputusan UN yang tidak memihak kepada Israel. Bahkan Trump menghina pejuang Hamas sebagai pembunuh dan menzahirkan rasa lucu beliau terhadap rakyat Palestin yang menganggap Hamas sebagai hero.

Masjid di Palestin dikatakan beliau sebagai tempat peyebar keganasan dan perlu dihentikan segera. Beliau mengakhiri rangkap ucapan beliau dengan “I love the people in this room. I love Israel. I love Israel”.


Kesimpulan

Berdasarkan ucapan ketiga-tiga calon teratas buat masa sekarang dapatlah kita simpulkan bahawa sebenarnya untuk menjadi Presiden US ianya menjadi satu keutamaan untuk memberikan sokongan kepada negara haram Israel. Seolah-olah, mereka bukannya bertanding untuk menjadi President US namun untuk menjadi President Israel.



Najmi Nawawi
Ahli Kajian IRIS