Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Tuesday, July 7, 2015

Tarawih je pun

Assalamualaikum bloggers. Alhamdulillah. Kita sudah berada pada 10 terakhir ramadhan. Disebut sebagai itqun minannaar (pembebasan dari neraka). InsyaAllah. Kali ini saya nak menulis tentang solat tarawih dan sindrom-sindrom yang terdapat di dalamnya. Moga sama-sama kita mengambil iktibar dan mendapat manfaat darinya.

1) Tarawih tu sunnah je

Dengan beralasan bahawa tarawih tu sunnah je. Maka kebanyakan dari kita mula menggunakan alasan ini sebagai ruang untuk melepaskan diri dari menunaikan solat sunat tarawih. "Alah kau.. Solat wajib tak nampak pulak kat surau, time tarawih je bersemangat, Dasar hipokrit!" Tomahan-tomahan sebegini yang menjadi masalah, dan sering buat orang yang mula mahu berjinak-jinak untuk berjemaah hilang semangat. Tapi jangan pula sampai, sebab kita dah pergi jemaah yang wajib maka tarawih berjemaah kita tinggalkan. Lebih teruk lagi. Dua-dua kita tak buat. Semua solat solo.

2) Cop tempat sujud

Masing-masing bawa phone, ibu kunci dengan keychain pelbagai. Bila dah saf. Masing-masing susun phone atau kunci kat depan saf. Tak jadi masalah selagi tak mengganggu jemaah lain. Tapi akan jadi masalah bila untuk rapatkan saf. Kita akan jadi malas untuk bergerak merapatkan saf. Nanti gerak takut tak align dengan tempat kita parking kita punya phone atau kunci. Maka kesannya, kita dapat lihat saf tidak lurus dan tidak rapat. Sebab tu, sebelum pergi tarawih tu, bawak benda yang wajib je ke surau atau masjid. Kunci pun setakat kunci kederaan tu cukup. Tak perlu bawak sekali dengan keychain besar-besar. Setidaknya kita boleh simpan je dalam pocket. Phone tak perlu bawa pun sebenarnya. Kita nak mengadap Allah. Tinggalkanlah sekejap phone di rumah.

Dari sahabat Nu'man bin Basyir ra: Dulu Rasulullah meluruskan saf kami sehingga seakan beliau meluruskan anak panah, sampai beliau menganggap kami telah memahaminya. Beliau pernah keluar pada suatu hari, lalu beliau berdiri sampai beliau hampir bertakbir, maka tiba-tiba beliau melihat seseorang yang membusungkan dadanya dari saf. Maka beliau bersabda,

"Wahai para hamba Allah, kalian akan benar-benar akan meluruskan saf kalian atau Allah akan membuat wajah-wajah kalian berselisih." [HR Muslim]

3) Nak space

Ada juga segelintir yang tidak mahu duduk rapat-rapat dengan jemaah lain. Dia akan sengaja menyediakan 'space' atau ruangan solat peribadi miliknya tersendiri. Ingatlah, jika tidak mahu merapatkan saf. Bukan masalah kudis di kaki, namun ianya masalah kudis di hati. Hati yang sakit pasti tidak mahu merapati jemaah lain. Mungkin dia merasakan diri dia lebih mulia dari jemaah sebelahnya. Tambahan jika disebelahnya itu mungkin orang miskin atau makcik-pakcik yang pada hematnya menyusahkan atau menggelikan.

Semua ini gara-gara hati yang busuk. Hati yang berpenyakit takjub dan kagum dengan diri sendiri ini perlu segera diubati sebelum hati menjadi mati.

4) Moreh

Dalam solatnya, sibuk terfikir-fikir untuk moreh lepas tarawih nanti. Teringat olehnya juadah berbuka puasa yang masih tidak berhabisan di rumah. Maka lepas tarawih ini berazam untuk menghabiskannya. Apabila fikiran banyak melayang-layang tentang makanan, maka pastilah sukar mendapat khusyuk di dalam solat. Dia akan menjadi seorang yang tidak sabar untuk balik. Setiap kali habis dua rakaat, akan dilihat jam, begitulah berterusan sehingga tiba rakaat ke 20. Itupun kalau buat 20. Rugilah.

5) Sendawa

Berbuka tadi dengan juadah yang pelbagai, ayam panggang, daging kambing, kari dan bermacam-macam lagi. Apabila tarawih nanti, perut yang terlalu kenyang itu akan mudah sendawa. Lalu keluarlah bau kari ayam mula mencecah hidung-hidung para jemaah yang lain. Hilang khusyuk. Kalau wangi boleh tahan, kalau sendawa jenis bau tak enak, kesian kepada jemaah lain.Sebab itulah, jangan berbuka sehingga terlalu kenyang. Berpada-padalah dan berhenti sebelum kenyang macam sunnah baginda Muhammad SAW.

Lepas berbuka eloklah kita berus gigi dan makan gula-gula yang boleh menghilangkan bau mulut. Barulah kita selesa untuk solat tarawih dan seterusnya tidak mengganggu jemaah lain.

6) Masjid laju

Seringkali masjid yang bacaannya paling pantas akan digemari dan menjadi pilihan ramai. Meskipun masjid itu terletak agak jauh dari rumah. Sanggup berhabis minyak demi solat tarawih yang pantas itu. Masjid depan rumah tidak pergi, tapi memilih untuk pergi ke masjid lain.

Kalau macam ini berlaku, kita kena tanya balik diri kita, kita solat untuk cari keredhaan Allah atau kesenangan diri. Kata ulama, bayangkanlah setiap minit yang kita berdiri untuk tarawih itu akan mengurangkan berdirinya kita di yaumul hisab kelak. InsyaAllah jika kita fikir macam tu, pasti kita tidak gelisah dengan bacaan iman yang panjang dan seronok dengan amal kita. Carilah kemanisan iman dalam ibadah.

7) Delay kejap

"Kau tahu tak? kalau kita sempat time rukuk, rakaat tu masih dikira untuk kita." Maka dia duduk dari awal menunggu imam rukuk. Masa imam baca al-Fatihah dia duduk dulu, urut-urut kaki. Bila imam baca surah, dia lipat-lipas seluar. Bila imam dah nak habis baca surah. Sup! Baru dia bangun angkat takbir.

Jangan anggap tak ada orang seperti ini, percayalah pasti ada golongan yang tidak ambil kisah untuk bersama imam dari awal takbir. Teringat pesan ustaz saya, "Makmum yang paling baik, mengangkat takbir selepas imam mengangkat takbir." Sudah pastilah, solatnya lebih khusyuk dan nampak kesungguhannya. Kita mengharap rahmat dan keampunan dari Allah, tapi jika meminta pun buat sambil lewa. Susahlah.

8) Roadblock

Saya kira situasi ini berlaku apabila ramai jemaah yang solat tarawih 8 rakaat duduk di saf hadapan dan mula keluar beramai-ramai sebelum tarawih bersambung. Apa yang berlaku disini ialah, ruang keluar untuk beredar di tutup oleh jemaah yang tengah bersolat. Maka berlakulah tolak menolak dan lebih teruk lagi, jika hilang sabarnya, mungkin berlaku pergaduhan.

Bukanlah salah buat lapan atau buat dua puluh. Namun salahnya disini ialah tidak bijak mencari tempat untuk solat. Kita sebaiknya tidak menyusahkan orang lain dan berusaha memudahkan urusan orang lain. Berfikiranlah rasional dan pilih tempat solat yang sesuai yang tidak menghalang laluan jemaah lain untuk masuk dan keluar.

Rasulullah saw bersabda: "Barang siapa yang memudahkan urusan saudaranya di dunia, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat." [HR Muslim]

9) Bising di tepi surau

Anak-anak muda yang selesai solat awal akan duduk di tepi masjid berbual dengan rakan-rakannya. Mungkin diceritakan tentang juadah berbuka atau asyik bercerita tentang baju-baju raya. Namun seringkali gelak tawa anak muda yang terlalu kuat berdekah-dekah mengganggu jemaah lain yang masih bersolat. Kalau yang membawa motor pula, berpada-padalah pusing throttle motor tu. Bising dan mengganggu orang yang masih bersolat. Vroom vroom.

Hormatilah jemaah yang masih bersolat dan beredarlah dengan keadaan yang baik, tidak bising dan tidak mengganggu jemaah lain.

10) Solo

Kononnya tak mengapa tak pergi tarawih. Malam ni aku solat bersendirian di dalam bilik buat 20. Barulah khuyuk dan aman. Namun malangnya, apa yang berlaku tidak begitu, Niat untuk bertarawih hanya tinggal niat, dan seterusnya terus tertidur ditemani bantal yang lebut.

Begitulah yang seringkali berlaku kepada 'solo rider'. Ya, saya tak nafikan, memang ada yang boleh buat bersendirian dan istiqamah. Kamu memang hebat, namun ada segelintir yang tidak mampu dan seterusnya gagal menunaikan tarawih. Meskipun tarawih hanya sunnah, namun ia hanya ada pada bulan ramadhan ini sahaja. Kita pun belum pasti dapat bertemu dengan ramadhan tahun hadapan. Jika esok ajal kita, maka hari ini kita sudah teramat tua. Berubahlah. Ayuh kita dapatkan tarawih yang terbaik. Moga Allah terima amal kita. InsyaAllah. Kita masih ada 10 malam terakhir ramadhan, manfaatkan sebaiknya, dan carilah malam lailatul qadr di dalamnya.

Itu sahaja dari saya kali ini. Selamat bertarawih! Assalamualaikum.



p/s : Gambar di dalam masjid Manipal India.