Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Monday, July 13, 2015

Melayu boleh bersatu kerana sebuah telefon

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pergaduhan di Lowyat. Banyak pandangan dan pendapat dikeluarkan oleh pelbagai pihak berkenaan isu ini. Disebalik pelbagai pandangan dan pendapat itu, saya mula menyedari satu hakikat yang baru. Yakni, mudahnya melayu itu bersatu apabila mereka berada di dalam suatu keadaan yang terdesak. Saya ulang, terdesak! Teringat kata guru BM saya Encik Azmi semasa di MCKK. Kata beliau, 

"Orang melayu ini sebenarnya hebat. Sangat hebat. Namun mereka perlukan tekanan yang hebat baru boleh jadi hebat". Begitulah kata-kata dari guru saya yang saya hormati yang saya ingat sehingga hari ini.

Ada benarnya bukan? Hakikatnya orang melayu akan menjadi hebat dan luar biasa apabila mereka berhadapan dengan tekanan. Ini terbukti pada kejadian baru-baru ini di lowyat. Saya bukanlah mahu mengadili siapa yang benar dan siapa yang salah. Bukanlah tujuan saya menulis article ini untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana pihak. Namun apa yang menarik minat saya ialah sikap orang melayu itu sendiri. Macam tak percaya, orang melayu yang selama ini berpecah, mampu mencapai satu suara dalam masa yang singkat. Tak kira dari parti politik mana, organisasi mana, masing-masing mempertahankan antara satu sama lain. Kesepaduan yang dapat dicapai. Hebat bukan? Apabila tekanan hebat dirasa, maka ianya bagaikan sebuah catalyst untuk umat melayu bangkit hebat.




Di atas ini ialah tweet saya pada malam semalam. Betul bukan? Kerana sebuah telefon bimbit, Melayu boleh bersatu. Cuba bayangkan! Alangkah indahnya, jika Melayu itu bersatu atas dasar mahu menegakkan islam di muka bumi ini, khususnya Malaysia. Saya ulang Malaysia! Kerana formula menegakkan islam di sesuatu negara dengan negara yang lain berbeza mengikut siapa pendokongnya.  Maka kita di Malaysia, bangsa Melayulah pendokong islam paling ramai. Ini hakikat, kita majoriti. Lemah bangsa ini, maka mudahlah islam diperkotak katikkan di bumi Malaysia.

Jadi insyaAllah, dalam article ini saya mahu cuba kaitkan penyatuan Bangsa Melayu dengan kekuatan umat islam di Malaysia. Saya akan mengulas bagaimana jika melayu itu sepakat, islam di Malaysia akan terus berdaulat!

Tiada siapa akan menyangkal dan menidakkan perjuangan untuk menegakkan deen Islam ini, kecuali mereka yang fanatik dan taksub sehingga tidak betah melihat orang lain berbuat pekerjaan yang sama. Maka, untuk perjuangan ini memerlukan pula orang untuk bekerja menegakkannya. Mustahil deen ini akan tertegak dengan sendirinya tanpa ada pendiri, kerana Islam ini Allah turunkan dengan hujjah bukannya keajaiban dan mukjizat semata-mata. Bangkitnya islam pasti ada pendokongnya, lihat sahajalah sejarah islam di muka bumi ini. Setiap sejarah yang agung itu, kita lihat siapakah bangsa pendokongnya.

Di Malaysia, secara umumnya deen ini perlu ditegakkan oleh orang Melayu, ini wajib! Kerana sejarah awalnya bangsa Melayu dan perkaitan Melayu dengan Islam sangat rapat. Ada yang mempertikaikan kenapa Melayu, sedangkan Islam itu adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada itu. Tidak kurang ada yang bertanya bagaimana pula dengan mereka yang bukan Melayu tetapi Islam?


Mudah jawabnya, saya tidak pernah menafikan peranan bangsa selain Melayu dalam menegakkan Islam di Malaysia. Namun kita jangan lupa untuk melihat bilangan total Muslim yang Melayu vs Muslim yang bukan Melayu di Malaysia. Secara statistiknya Muslim selain Melayu tidak sampai pun sejuta orang di Malaysia, sedangkan Melayu Muslim ialah seramai 16 juta orang. Saya ulang 16 juta! Sudah pastilah golongan majoriti ini perlu sedar akan tanggungjawab mereka.

Ok, saya bagi contoh yang lain. Mungkin kita lupa, 300 000 orang di Gaza mengikut tarbiyyah HAMAS barulah boleh mempengaruhi baki rakyat Gaza yang membentuk 1.5 juta orang. Secara kira-kira, amat mencabar untuk kuantiti Muslim selain Melayu yang berjumlah 700 000 orang untuk mempengaruhi baki rakyat Malaysia yang membentuk 27 juta orang. Kerana ini kita perlu sedar dan memahami hakikat, tanggungjawab itu akan lebih mudah dan jelas dengan cara Melayu dikuatkan agar mereka dapat menguatkan Islam. Realiti!

Saya pernah menulis article panjang lebar berkenaan islam dan hubungannya secara langsung dengan bangsa melayu di Malaysia pada tahun lepas. Click sini.

Masalah sosial remaja masa kini yang mencurah-curah membanjiri tanahair sudah jelas bahawa kitalah juaranya, Melayu. Semua Melayu. Bohsia, bohjan, pelacur, penagih dadah, perbuatan lucah, sumbang mahram, homoseksual, buang bayi, berpeleseran, atau yang terkini pedofile, sebutlah apapun semuanya ada pada bangsa yang kita sayangi ini. 

Saya secara peribadi, tidak mengatakan bahawa Muslim selain bangsa Melayu tidak terjebak dengan masalah sosial, tetapi kalau kita menghitung nisbah Melayu dan bukan Melayu Muslim yang terlibat dalam masalah sosial, subhanAllah, besar jurangnya. Kalau dahulu bangsa ini dimuliakan dengan Islam, kenapa tidak ianya kembali dimuliakan hari ini? Kalau dahulu bangsa ini kuat dengan Islam, mengapa tidak ianya kembali dikuatkan dengan Islam? 

Melayu mungkin berasa selesa bahawa mereka ada perlembagaan yang melindungi kedudukan mereka. Namun jika satu hari nanti, hak-hak ini diambil dari mereka, kita akan saksikan kemaslahatan umat islam gugur satu persatu di bumi Malaysia ini. Maka kita perlu mengambil langkah untuk memperkasakan semula bangsa Melayu supaya jati diri Islam mereka kembali bertakhta.

Hakikat yang terakhir, berapa kali kedaulatan Islam sejak kebelakangan ini cuba untuk digegarkan dan dicabar oleh orang kuffar? Penghinaan demi penghinaan terhadap islam berlaku. Jika bukan kita orang Melayu hendak pertahankannya, nak harap siapa lagi? Kita sebagai umat Islam yang majoriti di negara Malaysia perlu bangkit mempertahankan islam. Jangan biarkan islam diperlekeh atau dicabar kedudukannya.

Bukan sekali orang-orang kuffar cuba untuk menempelak rang undang-undang dan perlembagaan yang berkaitan dengan Islam. Namun dah banyak kali. Hanya kesepakatan Melayu akan menjanjikan kunci untuk memastikan Islam terus berdaulat. Bukan dari aspek politik semata-mata atau ketuanan Melayu, tetapi ketuanan Islam! Hanya apabila semua Muslim bersatu dan bersepakat barulah kalian boleh berbicara tentang menegakkan undang-undang Islam. Ini hakikat.

Di akhirnya yang kita ingin tegakkan ialah Islam. Namun, tanpa pendirinya, Islam ini tidak mampu ditegakkan. Keadaan orang Melayu yang parah sekarang akan menyumbang kepada kegagalan aspirasi semua pihak yang memperjuangkan Islam.

Ramai orang menjerit sana-sini untuk menegakkan islam di Malaysia. Namun mereka seakan-akan tidak tahu bagaimana caranya. Usah gusar lagi, formulanya sangat mudah, jika majoriti di negara kita yakni (Melayu) boleh bersatu, insyaAllah. Islam akan terus kekal berdaulat.

Sebaliknya? Jika melayu terus leka dengan masalah sosial dan perpecahan antara satu sama lain, sedikit demi sedikit, kemaslahatan umat islam di Malaysia akan tercabar. Musuh islam akan menuntut untuk menggubal undang-undang bagi menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang liberal, bukan lagi negara islam seperti sekarang. Jika ini berlaku, kerugian yang amat besar dihadapi oleh umat islam di Malaysia. Maka jelaslah bahawa kita perlu mengembalikan Melayu kepada kemuliaannya dengan Islam, inilah prasyarat untuk mengembalikan dan seterusnya mengekalkan kedaulatan Islam di Malaysia.

Allahu'alam.