Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Wednesday, July 1, 2015

Kau murabbi?

"Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperolehi menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak merasa kepahitan menuntut ilmu walau sedetik, ia pasti akan menelan kehinaan kejahilan sepanjang hayatnya."


Daripada kalimat-kalimat mutiara yang disuarakan oleh ulama' tersohor dunia iaitu Imam al-Syafie ini adalah, pertama sekali adab yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu yang ingin menuntut ilmu adalah keteguhan hati dan kesabaran yang tidak berbelah bagi. Kerana dalam proses menimba lautan ilmu yang tidak bertepi itu bukan kepalang susahnya. Susah mencari guru itu satu, susah menyesuaikan diri dengan garis peraturan yang ditentukan oleh mua'lim itu juga satu hal yang menduga hati, namun jika kesabaran dan disiplin yang dipertaruhkan itu dipandang enteng, maka sampai bila-bila pun berkat dalam menuntut ilmu itu tidak akan diperolehi.


"Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang." (Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)


Rasulullah s.a.w sendiri mengangkat darjat seorang mu'alim atau guru ini di satu tahap yang tidak kurang tingginya lantaran jasanya yang bertindak menyebarkan ilmu pengetahuan dan memberi pendidikan supaya kita hidup di atas muka bumi ini sebagai seorang yang berbakti melalui ilmu yang disampaikan.

Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama lah seperti hidup dalam kegelapan. Guru ibarat nur ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin yang membakar diri dan menerangi kegelapan. Sebab itulah guru jatuh sebagai golongan yang paling wajib kita hormati selepas ibu bapa kita.


Murabbi pula ialah gelaran yang diberikan kepada seorang pentarbiyah (orang yang mendidik). Perkataan murabbi ini sendiri sangat besar maknanya, sesuai dengan tangungjawab yang digalasnya.


Ada empat elemen utama dalam tarbiyah:

Murabbi, Mutarabbi (orang yang ditarbiyah), Manhaj (silibus), Biah (persekitaran/suasana)


Kesemua elemen ini saling melengkapkan. Tanpa salah satu daripadanya, tarbiyah tidak mungkin dapat dihidupkan. Namun, antara keempat-empat elemen ini, tidak dapat diragukan lagi bahawa murabbi itulah yang paling penting.


Mengapa?


Tidak mungkin akan ada istilah mutarabbi itu jika tiada murabbi yang mencarinya. Manhaj tidak mungkin dapat dihidupkan tanpa ada tangan-tangan murabbi yang membangunkannya. Dan biah juga tidak dapat dibina andai si murabbi tidak memainkan peranannya.


Untuk kita yang telah dan sedang merasakan betapa manisnya tarbiyah dalam erti katanya yang sebenar, sudah pasti jauh di dalam lubuk hati kita tertanam sebuah impian untuk menjadi seorang murabbi.


Sudah pasti ramai yang telah tersentuh dengan sosok yang bernama murabbi itu. Anda yang melihat sendiri pengorbanan, kesungguhan, keikhlasan dan semangat sang murabbi, pastinya menanam azam dan tekad untuk menjadi seorang murabbi juga; jika tidak sama hebat dengan murabbi anda, lebih hebat lagi!


Ganjaran menjadi seorang murabbi ini juga tiada tolok tandingnya.



"Demi Allah! Sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana [usaha dakwah] mu, maka itu lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta merah."

[Hadith Riwayat Muslim]

Kalaulah unta merah pada hari ini kita umpamakan seperti sebuah kereta ferarri mewah. Maka ketahuilah, ganjaran untuk sang murabbi ialah jauh dari itu.


Tidakkah kita kagum dengan kehebatan dan kesungguhan mereka yang bergelar murabbi? Seringkali mereka sabar dan terus tabah tanpa mengenal erti lelah dalam usaha mendekati mutarabbi. Dengan pelbagai perangai yang pelik-pelik dipaparkan oleh seorang mutarabbi. Yang ini begini, yang lain pula sedemikian. Semuanya mempunyai cara dan kerenah yang berbeza.


Baik dari yang sering memberi alasan, kadang-kadang apabila dihubungi murabbi bukan tidak sedar, tetapi sengaja buat-buat tak perasan. Tambahan lebih sedih lagi dugaan yang dihadapi para murabbi apabila whatsaap tak berbalas, menunggulah sang murabbi menatap screen smartphonenya menunggu balas dari sang mutarabbi yang dikasihi. Sudah di seen, tetapi tidak dibalas. Sampai tertidur sang murabbi menunggu balasan dari mutarabbi. Itu satu, belum lagi kita lihat kedalam usrah mingguan, sang murabbi dengan penuh bersemangat membeli buah-buahan, menyiapkan minuman untuk makan-minum sambil usrah seketika nanti. Namun pilu hatinya, melihat hanya sekerat yang hadir, bahkan pernah juga tiada langsung yang hadir. Duduklah murabbi bersendirian di dalam bilik memikirkan dimana silapnya.

Begitulah antara hebatnya pengorbanan dan keikhlasan sang murabbi yang tidak pernah kenal erti lelah. Orang yang sudah lama di dalam tarbiyah pasti lebih memahami apa yang disampaikan disini, mungkin mampu tersenyum sendiri mengimbau pengorbanan sosok tubuh ini. Ingatlah pembaca, jika sosok tubuh ini ada dihadapan kita, maka jangan kita lepaskan mereka. Mereka ikhlas mahu mentarbiyah kita kerana Allah tanpa mengharap balasan sedikitpun. Apa yang mereka mahu ialah sedikit masamu untuk kita duduk bersamanya mengulangkaji fikrah dan update tarbiyah amal. Hakikatnya ialah untuk kebaikan kita sendiri juga. Manusia itu sifatnya alpa, leka dan lalai, maka peringatan memang perlu sentiasa diberi.


Subhanallah.

Seorang murabbi itu tidak akan pernah berhenti mendidik, membina dan menyantuni mutarabbinya sehinggalah dia mencapai misi dan obejktifnya; mati syahid atau hidup mulia!