Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Wednesday, June 24, 2015

Pena dakwah

Seringkali usaha penulisan diperlekeh, kononnya, tidak membawa faedah, dan manfaat. Menulis dianggap bukan medium yang sesuai untuk dakwah.

"Setakat menulis semua orang boleh menulis, dakwah yang sebenar kena secara depan-depan, melalui wasilah tarbiyah seperti mukhayyam, daurah dan lain-lain." 


Dengan pandangan sedemikian, seolah-olah meletakkan penulisan di luar wasilah tarbiyah, dan dakwah. Maaf, saya tidak bersetuju dengan pandangan sebegini. Saya juga ialah orang yang mengikuti tarbiyah, namun apabila saya pergi ke kedai buku, kadang-kadang buat saya sedih. Lambakan buku-buku yang cuba merosakkan prinsip dan jati diri umat islam terdapat di mana-mana kedai buku.

Bagaikan, usaha tarbiyah selama ini hancur sekelip mata jika masyarakat masih membaca buku-buku liberal, sekular, islam moderate, yang berlambak di pasaran. Saya melihat bahawa medan penerbitan buku ini bagaikan satu medan perang. Ketahuilah bahawa medan perang ini, masih kekurangan para pejuang islam. Lihat sahajalah banyaknya karya yang mampu mencabar kemaslahatan umat islam, berbanding karya yang mempertahankannya.

Orang yang biasa ke kedai buku, pasti memahami apa yang cuba saya sampaikan. Apakah kita mahu merelakan sahaja buku-buku merosakkan fikrah ini menyerang masyarakat? Kita kata kita daie, kita kata kita pejuang islam, maka ya akhi, ya ukhti, angkatlah pen itu dan mula menulis.

Jangan biarkan medan ini dipenuhi musuh islam, kita perlu bangkit. Jika pen itu laksana pedang, maka dakwatnya umpama darah pejuang. Biarlah darah hitam ini menjadi saksi kita di akhirat kelak, yang memberatkan timbangan amal kita.


Mungkin usaha ini dilihat kecil pada pandangan kita, namun yakinlah, besar ganjarannya di akhirat kelak. InsyaAllah.