Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Sunday, June 28, 2015

Para habaib

Satu fenomena yang berlaku, ialah sejak kebelakangan ini kita dapat lihat terutamanya di laman sosial, pelbagai tomahan dan penghinaan ditujukan kepada para habaib ini. Seolah-olah para habaib ini semuanya membawa ajaran sesat dan khurafat. Ada sahaja, video-video atau article-article di laman sosial yang menyatakan keburukan para habaib ini. Menyembah kubur, dzikir sambil menari, sujud di kaki dan banyak lagi perkara yang memaparkan keburukan para habaib. Semuanya telah membanjiri laman sosial. Sebelum saya mengulas lebih lanjut, ingin saya jelaskan konsep yang perlu kita pegang jika mahu berbicara tentang para habaib ini.

Kita perlu berhati-hati apabila berbicara atau berkongsi sesuatu berkenaan para habaib ini, kerana gelaran habib-habib ini kebiasaannya digunakan kepada keturunan baginda Muhammad S.A.W.. Kita sebagai umat islam perlu hormat dan sayang kepada keluarga baginda. Contohnya kita sayang kepada kawan kita, maka anak kepada kawan kita juga pasti kita sayangi. Inikan pula anak, cucu-cicit baginda, sepatutnya lagilah kita sayangi.

Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad

Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad.

Inilah bacaan kita dalam tahiyat pada setiap kali solat. Kita meminta kepada Allah untuk berikan selawat kepada baginda kekasih kita Muhammad S.A.W. dan juga kepada keluarga baginda. Beginilah kecintaan seorang muslim terhadap ahli keluarga baginda. Hal ini perlu difahami oleh kita semua. Tambahan jika ahli keturunannya itu ialah baik dari sudut akhlaknya. Sudahlah akhlaknya baik, keturunan pun baik. Akhlakan wa nasaban. Ilmu ada, akhlak ada dan nasab pun baik. Maka sudah pasti kita menyayangi mereka.

Namun, jangan kita terlalu mengangkat tinggi keturunan sehingga lupa untuk melihat dari sudut keilmuan. Ya kita perlu sayang pada keluarga baginda. Namun sifat taksub berlebihan ini sehingga mengikut membuta tuli tanpa mengikut landasan syara’ sudah jelaslah hukumnya tidak boleh. Yang mana baik, berilmu maka kita hormati dan sayangi. Namun jika ada dikalangan para habib yang tidak baik akhlaknya, mungkin silap apa yang dibawanya, maka kita jauhi mereka. Kenal pasti yang mana kita perlu hormat dan yang mana kita perlu jauhi. Jangan pula kerana seorang habib yang buat salah, kita pukul rata semua habib. Bukan semua habib itu tidak betul namun ramai lagi habib-habib yang mulia dan berilmu yang perlu kita hormati.

Sudah pastilah keburukan ini suka untuk disebarkan oleh orang yang membenci kepada kebangkitan tasawuf. Terutamanya kebangkitan ilmu tasawuf di dalam negara kita. Orang yang tidak suka dakwah para habib ini, akan membesarkan perkara yang kecil, yang kadang-kadang tiada kaitan dengan habib di Malaysia, tapi sengaja diperbesarkan untuk menimbulkan kebencian kepada para habib. Maka masyarakat yang tak pernah pergi ke majlis-majlis ilmu para habib ini mula menghukum itu dan ini. Termakan fitnah kebencian yang dihebahkan di laman sosial. Sedangkan diri mereka tidak pernah pun menghadiri mana-mana majlis ilmu. Cukup sekadar video pendek dilihatnya di laman sosial, dia telah melontarkan kata-kata fitnah dan cacian.


Saya sendiri ialah seorang yang mengikuti Majlis Taalim Darul Murtadza yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid. InsyaAllah jika saya pulang ke Malaysia, saya akan cari ruang dan kesempatan untuk mengunjungi Masjid Muadz di Setiawangsa untuk mengikuti majlis talaqqi dari beliau. Alhamdulillah. Sehingga hari ini, saya tak nampak lagi ruang-ruang kesesatan yang ditunjukkan oleh guru mulia ini. Maka dari mana datangnya fitnah-fitnah ini? Ketahuilah bahawa semuanya fitnah dek media masa yang allergy dengan kebangkitan tasawuf di Malaysia. Mereka yang berkata buruk kepada para habaib ini kebiasaannya ialah golongan yang tak pernah berjumpa dan dengar sendiri dari para habib. Inilah silap masyarakat kita.

Berhati-hatilah dengan apa yang kita sebarkan, dan apa yang kita kongsikan, baik di dunia nyata mahupun di dunia maya. Semuanya akan dipertanggungjawab ke atas kita di yaumul hisab kelak. Akhir zaman ini dipenuhi dengan fitnah. Terutamanya fitnatul maklumat yang sering sahaja tersebar dengan mudahnya di laman sosial. Berhati-hatilah dan mintalah perlindungan dariNya. Moga para pembaca sekalian dihindari dan celik daripada fitnah yang melata.