Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, June 28, 2015

Gay

Lihatlah bagaimana akhirnya liberalisme membawa kepada pengiktirafan golongan minoriti LGBT di Amerika dan menjadi legal dalam undang-undang. Pada tanggal 27 Jun 2015, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa perlembagaan mengiktiraf kedudukan dan hak LGBT, dan sekaligus membenarkan perkahwinan sejenis di kesemua 50 buah negeri AS. Ini salah satu bukti jelas betapa liberalisme membawa manusia yang dikatakan sudah mencapai kemuncak peradaban mundur ke belakang, ke zaman purba prasejarah.


Mereka (golongan liberal) akan tampil dengan hujah kononnya liberal itu banyak menerapkan nilai baik ke dalam masyarakat. Nilai bebas dari penghambaan contohnya. Namun mereka lupa, nilai-nilai yang mereka laungkan sebenarnya telah lama berada di dalam islam. Namun mungkin kerana mereka ini saya kira memiliki penyakit 'inferiority complex' terhadap agama islam yang mereka anuti. Itu yang buat mereka lebih selesa mengimport isme dari barat ini. Sedangkan islam sudah lama mengangkat dan membebaskan manusia dari penghambaan. Bahkan islamlah satu-satunya membebaskan manusia dari penghambaan sesama manusia secara mutlak (total). Manusia yang ditetapkan hanya untuk menjadi hamba Allahu rabb yang esa.


Paradoks liberal yang terbesar adalah memaksa orang lain untuk menganut liberalisme juga. Memaksa majoriti rakyat mengikitraf kewujudan, menerima ‘fitrah kewujudan’ mereka dan membiarkan mereka lakukan apa yang dihajati atas alasan hak asasi dan kebebasan bersuara.





Orang yang liberal akan mula bermain dengan ayat-ayat yang keliru untuk membuat orang lain keliru dengan hujah mereka. Kata-kata atau penulisan yang lahir dari otak yang keliru ini bukanlah saya terus buang ke dalam tong sampah. Namun saya teliti dengan hati-hati cuba sedaya upaya untuk mencari rasional dalam hujah mereka namun tetap tidak dijumpai. Benarlah! Jika jahiliyah dulu datangnya dari orang bodoh. Namun kini jahiliyah datangnya dari orang pandai mahir dalam putar belit ayat dan berhujah batil demi menegakkan nafsu mereka.


Golongan ini akan mempertahankan benang yang basah. Mereka pantang ditegur, kononnya mereka golongan yang paling 'master' dalam bidang falsafah. Sehinggakan mereka pula mengajar orang kritik mereka dengan cara yang tertentu. Semua ini tidak lain dan tidak bukan satu permainan dari otak keliru (golongan liberal) dalam cubaan menegakkan kebatilan. Beretorik bagai, menejerit sana sini seakan-akan mereka lah yang membawa panji kebenaran. Sudah pasti mereka yang 'islam' liberal ini tidak akan mengakui bahawa mereka pro- perkahwinan sejenis. Namun hakikatnya di dalam jiwa mereka itulah yang tertanam. Hak kebebasan!

Mereka juga akan 'play safe', dengan hujah seperti contoh,

aku tak pro kepada perkahwinan sejenis.
tapi aku taknak lebih - lebih condemn mereka.
Tuhan (jika kau percaya) sendiri boleh hentikan kelahiran mereka,
Tuhan boleh matikan mereka, tak benarkan kelahiran mereka,
sampai tahap kau tak akan jumpa perkataan 'LGBT' dalam mana - mana ensiklopedia, dalam mana - mana kamus di dunia, takkan Tuhan (yang kau percaya) tak mampu ? takkan Tuhan tak boleh buat ?
tapi Tuhan biar juga mereka lahir, beranak dan mempunyai berahi.
aku siapa untuk lebih - lebih dari Tuhan ?
mereka untuk disayangi, bukan untuk dibenci.

Dipetik dari facebook Benz Ali.

Hujah seperti ini lahir dari otak yang keliru dan tidak mempunyai pendirian dan pegangan prinsip yang kukuh. Kononnya bukan pro-perkahwinan sejenis. Namun hakikatnya jiwa mereka memang sudah sebati dan setuju dengan perkahwinan sejenis.

Bukankah Allah telah menyuruh kita mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran? Apakah kita mahu biarkan semua kemungkaran melata di atas bumi? Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan! Kita yang pilih. Kalau macam tu senanglah, orang bunuh mak ayah kita contohnya. Kita redha dan tengok je. Nak buat macam mana. Allah biarkan dia lahir. Allah yang tetapkan dia jadi pembunuh. Hakikat, hidup ini medan ujian tempat kita berpenat. 

Orang yang mengambil pendirian liberal ialah orang yang penakut. Mereka takut untuk menentang nafsu mereka. Mereka tidak boleh bersabar dan tergesa-gesa dalam mencari kemenangan. Islam itu pasti akan menang cuma ia pasti mengambil masa yang sangat lama. Mungkin tidak dapat kita lihat masa kita hidup. Tapi satu hari nanti, itu kepastian. Tempoh lama inilah yang buat orang liberal tidak senang dan mereka cuba mencipta kemenangan awal lantas mengambil isme dari luar.

Ingatlah sahabat, syahadah kamu bukanlah syahadah yang benar selagi mana kamu tidak meletakkan Allah di tempat yang tertinggi dan manhaj islam sebagai jalan utama.

Allahualam.

Para habaib

Satu fenomena yang berlaku, ialah sejak kebelakangan ini kita dapat lihat terutamanya di laman sosial, pelbagai tomahan dan penghinaan ditujukan kepada para habaib ini. Seolah-olah para habaib ini semuanya membawa ajaran sesat dan khurafat. Ada sahaja, video-video atau article-article di laman sosial yang menyatakan keburukan para habaib ini. Menyembah kubur, dzikir sambil menari, sujud di kaki dan banyak lagi perkara yang memaparkan keburukan para habaib. Semuanya telah membanjiri laman sosial. Sebelum saya mengulas lebih lanjut, ingin saya jelaskan konsep yang perlu kita pegang jika mahu berbicara tentang para habaib ini.

Kita perlu berhati-hati apabila berbicara atau berkongsi sesuatu berkenaan para habaib ini, kerana gelaran habib-habib ini kebiasaannya digunakan kepada keturunan baginda Muhammad S.A.W.. Kita sebagai umat islam perlu hormat dan sayang kepada keluarga baginda. Contohnya kita sayang kepada kawan kita, maka anak kepada kawan kita juga pasti kita sayangi. Inikan pula anak, cucu-cicit baginda, sepatutnya lagilah kita sayangi.

Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad

Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad.

Inilah bacaan kita dalam tahiyat pada setiap kali solat. Kita meminta kepada Allah untuk berikan selawat kepada baginda kekasih kita Muhammad S.A.W. dan juga kepada keluarga baginda. Beginilah kecintaan seorang muslim terhadap ahli keluarga baginda. Hal ini perlu difahami oleh kita semua. Tambahan jika ahli keturunannya itu ialah baik dari sudut akhlaknya. Sudahlah akhlaknya baik, keturunan pun baik. Akhlakan wa nasaban. Ilmu ada, akhlak ada dan nasab pun baik. Maka sudah pasti kita menyayangi mereka.

Namun, jangan kita terlalu mengangkat tinggi keturunan sehingga lupa untuk melihat dari sudut keilmuan. Ya kita perlu sayang pada keluarga baginda. Namun sifat taksub berlebihan ini sehingga mengikut membuta tuli tanpa mengikut landasan syara’ sudah jelaslah hukumnya tidak boleh. Yang mana baik, berilmu maka kita hormati dan sayangi. Namun jika ada dikalangan para habib yang tidak baik akhlaknya, mungkin silap apa yang dibawanya, maka kita jauhi mereka. Kenal pasti yang mana kita perlu hormat dan yang mana kita perlu jauhi. Jangan pula kerana seorang habib yang buat salah, kita pukul rata semua habib. Bukan semua habib itu tidak betul namun ramai lagi habib-habib yang mulia dan berilmu yang perlu kita hormati.

Sudah pastilah keburukan ini suka untuk disebarkan oleh orang yang membenci kepada kebangkitan tasawuf. Terutamanya kebangkitan ilmu tasawuf di dalam negara kita. Orang yang tidak suka dakwah para habib ini, akan membesarkan perkara yang kecil, yang kadang-kadang tiada kaitan dengan habib di Malaysia, tapi sengaja diperbesarkan untuk menimbulkan kebencian kepada para habib. Maka masyarakat yang tak pernah pergi ke majlis-majlis ilmu para habib ini mula menghukum itu dan ini. Termakan fitnah kebencian yang dihebahkan di laman sosial. Sedangkan diri mereka tidak pernah pun menghadiri mana-mana majlis ilmu. Cukup sekadar video pendek dilihatnya di laman sosial, dia telah melontarkan kata-kata fitnah dan cacian.


Saya sendiri ialah seorang yang mengikuti Majlis Taalim Darul Murtadza yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid. InsyaAllah jika saya pulang ke Malaysia, saya akan cari ruang dan kesempatan untuk mengunjungi Masjid Muadz di Setiawangsa untuk mengikuti majlis talaqqi dari beliau. Alhamdulillah. Sehingga hari ini, saya tak nampak lagi ruang-ruang kesesatan yang ditunjukkan oleh guru mulia ini. Maka dari mana datangnya fitnah-fitnah ini? Ketahuilah bahawa semuanya fitnah dek media masa yang allergy dengan kebangkitan tasawuf di Malaysia. Mereka yang berkata buruk kepada para habaib ini kebiasaannya ialah golongan yang tak pernah berjumpa dan dengar sendiri dari para habib. Inilah silap masyarakat kita.

Berhati-hatilah dengan apa yang kita sebarkan, dan apa yang kita kongsikan, baik di dunia nyata mahupun di dunia maya. Semuanya akan dipertanggungjawab ke atas kita di yaumul hisab kelak. Akhir zaman ini dipenuhi dengan fitnah. Terutamanya fitnatul maklumat yang sering sahaja tersebar dengan mudahnya di laman sosial. Berhati-hatilah dan mintalah perlindungan dariNya. Moga para pembaca sekalian dihindari dan celik daripada fitnah yang melata.

Wednesday, June 24, 2015

Pena dakwah

Seringkali usaha penulisan diperlekeh, kononnya, tidak membawa faedah, dan manfaat. Menulis dianggap bukan medium yang sesuai untuk dakwah.

"Setakat menulis semua orang boleh menulis, dakwah yang sebenar kena secara depan-depan, melalui wasilah tarbiyah seperti mukhayyam, daurah dan lain-lain." 


Dengan pandangan sedemikian, seolah-olah meletakkan penulisan di luar wasilah tarbiyah, dan dakwah. Maaf, saya tidak bersetuju dengan pandangan sebegini. Saya juga ialah orang yang mengikuti tarbiyah, namun apabila saya pergi ke kedai buku, kadang-kadang buat saya sedih. Lambakan buku-buku yang cuba merosakkan prinsip dan jati diri umat islam terdapat di mana-mana kedai buku.

Bagaikan, usaha tarbiyah selama ini hancur sekelip mata jika masyarakat masih membaca buku-buku liberal, sekular, islam moderate, yang berlambak di pasaran. Saya melihat bahawa medan penerbitan buku ini bagaikan satu medan perang. Ketahuilah bahawa medan perang ini, masih kekurangan para pejuang islam. Lihat sahajalah banyaknya karya yang mampu mencabar kemaslahatan umat islam, berbanding karya yang mempertahankannya.

Orang yang biasa ke kedai buku, pasti memahami apa yang cuba saya sampaikan. Apakah kita mahu merelakan sahaja buku-buku merosakkan fikrah ini menyerang masyarakat? Kita kata kita daie, kita kata kita pejuang islam, maka ya akhi, ya ukhti, angkatlah pen itu dan mula menulis.

Jangan biarkan medan ini dipenuhi musuh islam, kita perlu bangkit. Jika pen itu laksana pedang, maka dakwatnya umpama darah pejuang. Biarlah darah hitam ini menjadi saksi kita di akhirat kelak, yang memberatkan timbangan amal kita.


Mungkin usaha ini dilihat kecil pada pandangan kita, namun yakinlah, besar ganjarannya di akhirat kelak. InsyaAllah.

Tweet famous

Orang cakap, kalau nak kenal seseorang melalui status, maka bukalah status-status miliknya di twitter. Kerana twitter lebih menyerlahkan watak seseorang itu. Mungkin atas faktor limitasi huruf, maka tweet lebih 'precise' dan 'accurate' untuk menggambarkan pendirian dan pemikiran seseorang.

Tidak seperti facebook atau blog. Kerana penulisan yang panjang lebar boleh menyembunyikan identiti dan pandangan sebenar si penulis. Sebab itu twitter ialah medium lebih sesuai jika kita hendak menilai pandangan seseorang. Apa-apa pun ini hanya teori. Betul ke tak. Allahualam.

Bagi saya sendiri, amat suka menggunakan twitter untuk mengemukakan pandangan, pendapat atau nasihat. kerana ia lebih 'direct to the point'. Mudah faham dan lagi suka dibaca oleh pembaca.

Sehingga hari ini, twitter milik saya memiliki 7ribu followers. Taklah ramai dan tak famous macam abang-abang tweetfamous lain. Tapi bagi saya bukanlah bilangan itu yang utama. Kerana itu saya sentiasa nasihatkan diri saya. Dengan meningkatnya followers maka meningkatnya amanah. Amanah! ini bukan kerja yang boleh diambil mudah.


Setiap apa yang kita sampaikan akan didengari oleh ribuan orang. Apakah kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Atau perkara-perkara yang lagha dan boleh membawa kepada maksiat. Lebih buruk lagi apakah kita menjadi agen penyebar fitnah? Maka semuanya bergantung kepada tuan empunya account.

Ingatlah, jadikanlah laman sosial kita, tempat kita menanam benih-benih pahala dengan dakwah dan motivasi. Setidaknya ada manfaatnya laman sosial kita dan boleh memberatkan timbangan amal. InsyaAllah.

Mulai hari ini, ayuh kita tukar laman sosial yang kita miliki sebagai sebuah medan dakwah, medan nasihat dan medan motivasi. Ini bukan isu poyo atau belagak baik. Namun ini soal tanggungjawab. Tajdid dan perbetulkan niat kita. Moga setiap masa yang kita luangkan di laman sosial menjadi masa yang bermanfaat.

Bukan apa, kadang-kadang saya sedih melihat segelintir account milik abang-abang atau akak-akak tweetfamous. Tapi timelinenya dipenuhi dengan perkara-perkara lagha dan maksiat. Laman sosial yang menjadi ladang menuai dosa. Nauzubillah.

Maka sahabat,

Jangan sia-siakan peluang yang ada. Lebih teruk lagi menyalahgunakan peluang yang ada. Followers yang ramai, datang dengan amanah yang besar! Ingat tahu.

Okay. Itu sahaja dari saya pada kali ini. Dah nak berbuka puasa. Dekat sini, India lambat 2 jam 30 minit dari Malaysia. Nak siap-siap dulu. Assalamualaikum.

Sunday, June 21, 2015

Virus Ramadhan

“Nak air apa bang?”
“Aiiiir love you”

****

“Do you prefer teh tarik for iftar?”
“Not really, why?”
“Because I’m tehtarik to you.”

****

“Saya nak berbuka dengan awak boleh tak hari ini.”
“Kenapa?”
“Sebab sunat berbuka dengan benda-benda manis.”

****

“Mari akak, abang, beli kuih kuih”
“Hmm..”
“Awak suka tepung pelita kan?”
“Macam mana awak tahu?”
“Sebab kehadiran awak, menerangi gerai saya.”

****

“Bang, nak ikat tepi ke nak ikat mati?”
“Selepas tengok awak tiba-tiba saya mahukan ikatan yang sah.”

****

Saya kira, ayat –ayat diatas, ialah ayat-ayat manis terlebih gula yang menjadi viral pada Bulan Ramadhan ini. Aduh! Rasa kecewa dengan segelintir remaja kita yang masih alpa dan leka, sibuk bermain-main ayat-ayat pickup line pada bulan ramadhan yang mulia ini. Bagaikan jiwa penghayatan Ramadhan itu tidak wujud dalam diri mereka.

Ramadhan yang suci perlu kita lalui dengan hati yang terpelihara, bukannya dicemari dengan unsur-unsur jiwang karat yang membawa ke lembah maksiat. Ada juga yang pada bulan ramadhan, iftar dengan pasangan couple masing-masing.  Sweet macam uncang teh dan gula, rasa nak jirus dengan air panas je.


Janganlah biarkan virus ini menjangkiti dan seterusnya mencemari ramadhan kita.
Para pembaca yang dikasihi sekalian,

Ramadhan hanya datang sebulan dalam setahun, dan belum tentu juga kita akan bertemu ramadhan pada tahun hadapan, bayangkan jika tahun ini merupakan ramadhan kita yang terakhir. Apakah kita dapat melaluinya dengan sempurna. Apakah dapat kita selusuri bulan ramadhan ini dengan penuh kefahaman dan kesungguhan ataupun sebaliknya. Jangan kata nak tunggu hari tua, kerana jika esok ajalmu, maka ketahuilah hari ini kamu sudah teramat tua.


Ayuh kita ingat kembali antara peristiwa-peristiwa sirah yang pernah berlaku  pada bulan ramadhan agar dapat kita serap  aura ramadhan, sekaligus menghidupkan hati yang kian mati dek virus ramadhan yang datang dalam pelbagai bentuk. InsyaAllah, jika kita fahamai dan hayati betul-betul peristiwa yang berlaku pada bulan ramadhan barulah tahap penghayatan kita menjadi lebih baik.

Berikut merupakan 3 peristiwa yang berlaku pada bulan ramadhan yang saya kira sangat mengajar kita erti Ramadhan. Semoga dengan kisah-kisah ini dapat mengangkat kembali rasa penghayatan bulan Ramadhan dalam diri kita seterusnya menjadikan diri kita immune dari virus-virus ramadhan.

Perang Badar

Perang badar merupakan perang pertama dalam Islam. Perang ini ialah perang yang berjaya memisahkan antara yang benar dan yang batil. Perang ini berlaku pada hari Jumaat, bersamaan 17 Ramadhan, tahun kedua hijrah.

Disebutkan sebagai peristiwa besar kerana Perang Badar merupakan pertembungan hebat antara pembela islam dan musuh islam. Hari perperangan ini turut digelah sebagai ‘Yaum Al Furqan’ (hari pembedaan). Allah mengangkat darjat kebenaran dengan jumlah kekuatan yang terbatas, dan merendahkan kebatilan meskipun jumlah kekuatannya 3 kali ganda. Allah menurunkan pertolongan buat kaum muslimin bagi memenangkan mereka terhadap musuh islam.

Perang badar membuktikan bahawa umat islam itu sendiri hebat, mampu berjuang di medan perang pada bulan ramadhan. Bulan ramadhan bukanlah bulan untuk kita menjadi lemah namun inilah bulan untuk kita menjadi gagah dari kebiasaannya.

Sungguh, sayang sekali, apabila hari ini ramai dari kita lupa akan sejarah atau kononnya tidak suka sejarah. Sedangkan peristiwa sejarah seperti ini tidak patut dilupakan dan perlu tersemat di dada masing-masing. Mengingati kembali perjuangan baginda dan para sahabat bermati-matian mempertahankan islam yang hari ini kamu dapat rasai dengan bahagia dan tenang.

Nabi dan para sahabat berdarah dan berkorban untuk kita, tapi kita membalasnya dengan mencemari ramadhan dengna virus jiwang karat? Malulah semalunya.

Fathu Mekah

Pembukaan kota mekah ialah salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah islam. Peristiwa ini merupakan titik pemulaan kekuatan islam dan penyebaran islam mula tersebar seluruh bumi. Malah peristiwa ini merupakan tarikh keramat bahawa islam telah mendapat kejayaan yang sangat bermakna. Fathu Mekah berlaku pada hari selasa 17 ramadhan tahun 8 hijrah.

Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah masuk ke dalam Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan. Ini merupakan bukti, bahawa islam tidak pernah memansuhkan bangsa, bahkan islam menggunakan kekuatan bangsa untuk mengangkat islam.

Baginda bersolat di dalam Kaabah dan turut memberi ucapan di khalayak. Sabda baginda,
“Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan kamu dari kesombongan jahiliyah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah. Kemudian baginda membaca ayat al-Quran :

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana.” (Al-Hujuraat : 13)”

Pada hari itu juga, kunci kaabah dikembalikan semula kepada penjaganya, Bilal r.a. azan di atas kaabah dan seterusnya peristiwa Al-Bai’ah yakni membuat pengakuan taat setia kepada Rasulullah.
Peristiwa pembukaan kota Mekah ini perlu menjadi pembakar obor semangat di dalam diri kita. Ini membuktikan bahawa islam boleh mencapai kemenangan terbesar dalam bulan Ramadhan yakni dengan kejayaan pembukaan kota Mekah. Jangan jadikan ramadhan sebagai alasan untuk kita menjadi lemah gemalai tidak bermaya. Namun jadikanlah ramadhan sebagai bulan kita penuh hamasah semagat dan seterusnya gagah dalam melakukan amal soleh.


Iqra’

Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Muhammad S.A.W. di gua hira’. Peristiwa ini berlaku pada hari isnin, bersamaan 21 Ramadhan. Malaikat Jibril datang kepada baginda di Gua Hira’.

“Bacalah!”

Rasulullah pun segera menjawab, “Aku tak boleh membaca.”

Lalu Jibril memegang dan memeluk tubuh Muhammad dengan sangat kuat.

“Aku sampai merasakan sesak.” Kata baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

Setelah itu Jibril melepaskan pelukannya dan kembali berkata, “Bacalah !”

Muhammad S.A.W. kembali menjawab, “ Aku tak boleh membaca.”
Lagi sekali malaikat Jibril memeluk dan memegang tubuh Nabi S.A.W. dengan sangat kuat.
Hingga akhirnya Jibril melepaskan pelukan dan kemudian berkata,

“ Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah,dan tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Itulah lima ayat al-Quran, Surah al-Alaq yang diwahyukan Allah S.W.T melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan keadaan gementar, Nabi Muhammad S.A.W. bergegas pulang ke rumah menemui isterinya Khadijah.

Demikianlah sedikit sedutan peristiwa yang diambil dari peristiwa turunnya wahyu pertama kepada baginda yang berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia. Melihat pada peristiwa ini, kita perlu merasakan bahawa bulan ramadhan bukanlah bulan yang biasa-biasa. Namun ianya merupakan sebuah bulan yang penuh pengertian dan sarat dengan aura keinsafan. Hargailah masa yang kita ada, saat dan tika ini, dan seterusnya kita cuba lalui bulan ramadhan kali ini dengan penuh rasa ketaatan.

Kesimpulan

Kita ada tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan pada bulan ramdhan ini. Jangan sia-siakan masa yang ada dengan virus-virus ramadhan yang hanya membuang masa dan membawa kita ke lumpur kemaksiatan. Bulan ini bulan yang istimewa, maka manfaatkanlah sebaiknya. Hargailah pegorbanan baginda dan para sahabat yang berjuang mempertahankan islam melalui perang badar, lahirkan semangat juang yang tinggi mencontohi peristiwa pembukaan kota Mekah. Banyakkanlah membaca al-Quran di bulan yang mulia ini, dan ingatlah bahawa bulan ini jugalah bulan turunnya wahyu pertama dari Allah. Bukan bulan Rejab atau Syaaban, namun inilah bulan Ramadhan!

Jadikan ramadhan kali ini ramadhan penuh erti, bukan ramadhan yang syok sendiri, tengelam dalam dimensi memakan diri. Jadikan ramadhan ini sebagai ‘turning point’ untuk kita berubah jadi lebih baik. Henshin!


-najminawawi

Thursday, June 18, 2015

Apakah itu Dubook?

Ayuh kita kenali Dubook pula. Apakah Dubook sama species dengan dubuk? adik beradik, sepupu atau bagaimana? Tahukah para pembaca sekalian perihal buku-buku terbitan Dubook? Sebuah publisher yang tidak asing lagi dalam pencetakan buku-buku indie (independence). 


Dubook sudah bertapak dalam dunia penerbitan buku di negara kita sejak tahun 2010 lagi. Buku-buku keluaran Dubook kebanyakannya hasil tulisan muda-mudi negara yang berkisarkan realiti kehidupan seharian, mahasiswa, politik, pendidikan, agama dan sebagainya. Sebagai contoh Benz Ali Antithesis, Aku Kafir Kau Siapa?, Alif Lam Lam Ha, Masyarakat Melawan Mahasiswa dan banyak lagi. Tajuk-tajuk buku yang sering menarik perhatian orang ramai untuk membacanya. Namun, apakah apa yang terkadung di dalamnya ialah baik dari sudut ilmiah atau hanya karya kosong yang ditulis oleh orang-orang yang keliru dengan diri sendiri?



Tak dinafikan, buku-buku keluaran Dubook ini ibarat keropok lekor yang tiba-tiba ada dijual dekat bumi India, sudah pasti ramai pelajar Malaysia terutama saya sendiri akan berkerumun di tempat jualan. Pergh. Keropok lekor Malaysia kot, mana nak dapat dekat sini. High demand! Haha.

Itu hanyalah sebuah analogi, namun begitulah jika kita melihat kejayaan Dubook dalam penjualan buku-buku terbitan mereka. ketahuilah kebanyakan penulisan dalam terbitan Dubook hanyalah penulisan yang mempunyai unsur-unsur liberal, penghinaan terhadap ulama, kekeliruan dengan diri sendiri. Bahkan dalam karya-karya ini juga kita boleh jumpa ayat-ayat yang menghina al-Quran dan Allah. Kita akan jumpa ayat-ayat al-Quran ciptaan mereka sendiri di dalam buku-buku ini. Kononnya, ditulis bukan untuk menghina agama, tapi nak kasi pembaca sentap. Dengan hujah-hujah tertentu, mereka tidak kisah untuk buat ayat macam..

“Sebolehnya kita kena memaksa diri kita untuk mendengar dari pihak mana pun walaupun kebenaran itu sangat 'suck' atau menyakitkan hati. Bukankah Tuhan sudah firmankan kepada kita ? "Jangan sampai kebencian kamu terhadap ISMA mendorong kamu berlaku zalim terhadap ISMA.”

Tulisan Benz Ali.

Memang ISMA akan dibenci oleh puak-puak liberal ini, mana tidaknya, ISMA memperjuangkan sebuah negara islam vs puak liberal yang memperjuangkan negara sekular. Sudah pastilah akan berlaku pertembungan antara hak dan yang batil. Maka jelaslah disini, mereka tidak kisah untuk menggunakan apa cara sekalipun untuk berhujah, meskipun menghina agama sendiri.

Kebiasaannya, mereka akan mengatakan mereka tidak menghina agama, mereka tidak percaya agama perlu dilihat dalam konsep tertentu, kerana mereka ada definisi yang lahir dari minda mereka yang keliru tentang agama. Ini yang bahaya, minda yang keliru akan buat orang lain menjadi keliru dan seterusnya menghalalkan apa cara sekalipun bagi mendapatkan apa yang mereka mahu.

Tidak dinafikan ada juga ayat-ayat mereka yang boleh diterima akal, namun kebanyakannya membawa banyak kesan negatif tambahan dengan penggunaan bahasa yang kesat dan kasar. Ingatlah, apa yang kita baca itu boleh menbentuk diri kita. Hati-hati. Pernah juga kawan saya sendiri yang cakap,

“Tapi kadang-kadang apa yang ditulis dalam buku diorang ni betul juga.”

Ya, itu saya tak nafikan. Kalau yang betul kita sokonglah, tapi yang mana salah kita tentang. Tapi ingat, dalam masa yang sama kita juga perlu faham dan kenal ciri-ciri liberal. Memang hujah meraka kebiasaannya berbelit, sekejap itu dan sekejap ini. Berhati-hatilah.

“Kalimatul haqqin uriida bihal baathil”
Kata-kata yang benar dengan niat yang batil.

Oleh itu, pembaca yang dirahmati Allah sekalian, pilihlah bahan bacaan yang baik untuk pembentukan diri kita. Jangan biarkan minda tercemar dengan agenda-agenda batil yang tersirat. Jarum-jarum liberal ini, kita tolak ketepi jauh-jauh.



Kita tidak mahu mahasiswa atau golongan belia di luar sana turut terperangkap dan seterusnya menyokong intipati hasil air tangan penulisan golongan liberal dan lain-lain. Lebih buruk lagi apabila para pembaca mendokong agenda perjuangan mereka yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Andai kata berniat membeli buku-buku yang disebutkan di atas dengan tujuan mengenali dan mempersiapkan diri bagi menghadapi mereka. Apa salahnya. Mungkin dengan membaca kita dapat bersedia untuk menyiapkan hujah untuk menentang hujah mereka. Inilah yang perlu ditanam dalam diri kita. Sentiasa bersedia untuk menentang dan mematahkan hujah batil.

Jika seorang itu sudah mempunyai prinsip yang kuat insyaAllah, bahan bacaan seperti ini tidak dapat menggoyahkan mereka sedikitpun. Bahkan mereka pula yang akan lantang bersuara mengatakan. Ini salah! Itu salah! Jelas akan apa yang hak dan apa yang batil.

Dubuk vs Singa



Tahukah para pembaca akan species mamalia ini? Dapat dijumpai di kawasan Afrika dan juga Asia. Haiwan ini sikapnya pemalas, dan akan mengambil keuntungan dari pergaduhan dan hasil buruan haiwan pemangsa yang lain. Dubuk ialah haiwan yang biasanya bergerak di dalam kumpulan. Hidupnya bergantung kepada hasil buruan dan kerja kuat haiwan lain seperti dari sang singa. Setelah sang singa bertungkus lumus memburu mangsa, maka datanglah dubuk beramai-ramai cuba mencuri hasil buruan sang singa. Meskipun dihalau dan dikejar sang singa, namun sifat degil dan kurang ajar si dubuk ini yang tidak kenal erti malu akan terus mengacau sang singa.


Bila singa hilang upaya, maka dubuk pun bermaharajalela. Memakan hasil buruan sang singa dengan rakus dan ganas. Bagai semut yang mengerumuni gula. Gelojoh dan saling berebut antara satu sama lain. Ada juga diantara dubuk ini tamak, dan mula bergaduh antara satu sama lain. Dicarik-cariknya daging dan kulit binatang buruan sang singa itu tadi hingga terputus-putus dan terdapat darah di merata tempat. Sekejap dijajanya disini, dan kemudian dijajanya di tempat lain pula. Inilah dubuk. Binatang sentiasa keliru dengan kehidupanya. Tidak mengerti perkara-perkara asas kehidupan ini. Apatah lagi nilai-nilai kehidupan.












Kadangkala, dubuk ini juga turut memakan kawannya sendiri. Jika ada dubuk yang lemah di dalam kumpulan mereka pasti mereka membunuhnya dan memakannya. Jijik dan hina. Inilah perangai haiwan yang bernama dubuk. Hanya tahu menjadi pengacau. Binatang yang tiada identiti dan jati diri. Keliru dengan diri sendiri. Tidak kenal akan diri sendiri apatah lagi untuk memebezakan kawan atau lawan. Semuanya dikacau untuk kepentingan diri.


Jangan jadi seperti dubuk. Berdengus sana sini. Bising, berkumpul ramai-ramai dan membuat kekacauan. Hidup tanpa prinsip, dan hanya menjadi pak turut, macai kepada hawa nafsu sendiri.


Namun jadilah seperti sang singa, gagah dan berani, jauh lebih hebat dari dubuk. Boleh sahaja sang singa ini menghukum dubuk. Sudahlah mencuri hasil buruannya, tambahan turut berperilaku jijik, sombong dan biadab di hadapannya. Memang patut dan wajar di hukum sang singa. Barulah dubuk ini sedar diri, bahawa mereka itu sebenarnya tiada apa-apa, cuma bising disana sini menjaja diri. Lagak bagai raja, hakikatnya hanya penglipur lara, yang tak tahu apa-apa. Cuma mungkin, hari ini singa ini masih tertidur, dan hanya melihat tindakan dubuk-dubuk ini dari jauh. Kalaulah singa ini bangkit!


Kata Mohd Hazizi Abdul Rahman, seorang anggota jawatankuasa pusat Isma Malaysia.


“Dubuk haiwan oportunis, merampas beramai-ramai hasil penat lelah buruan singa. Tak berani memburu sendirian, hanya ambil kesempatan atas mangsa yang sudah mati dengan strategi mengacau pemangsa secara beramai-ramai. Sebut dubuk, ingat pengacau yang pengecut. Sebut singa, ingat pejuang yg berani.”


Menjadi seorang daie menuntut untuk kita memiliki sifat gah dan berprinsip seperti sang singa bukan pengacau dan keliru tanpa prinsip seperti dubuk.