Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Tuesday, April 1, 2014

Jemaah

Suka tengok national geographic tak?


Masa si harimau memburu binatang, kebiasaannya yang menjadi sasaran favourite ialah binatang yang terasing dari kumpulan. Mudah bagi si harimau untuk memburu, membunuh dan memakannya. Namun bayangkan jika binatang buruannya itu duduk di dalam sebuah kumpulan yang besar. Pasti sukar untuk harimau itu menyerang. Silap-silap dia hanya mencari nahas. Ketua kawanan yang menjaga kumpulan itu pasti akan menyerang dan menghalau sang harimau. Itulah kelebihan duduk dalam kumpulan atau kita sebut sebagai jemaah. Musuh tidak akan mudah menjatuhkan kita. Kekuatan yang terbina dari sebuah jemaah mampu memelihara kebajikan ahlinya.


Kita kena sedar dalam dunia akhir zaman ini, iman kita sering diuji dengan dugaan yang pelbagai. Maka kekuatan, nasihat, dorongan, panduan, dan perbincangan mesti dilakukan agar dapat kita hadapi dugaan itu dengan jayanya dan seterusnya memelihara iman didada.


Namun semua perbuatan tersebut memerlukan individu lain untuk bersama-sama kita. Kerja ini bukan kerja bersendirian. Mana mungkin seseorang itu boleh membuat dorongan atau berbincang sendirian. Maka inilah dikatakan wujudnya kumpulan islam atau jemaah islamiyyah. Maka jelas bahawa kita sangat-sangat memerlukan kepada perbentukkan kumpulan dakwah yang dapat menggerakkan dakwah dalam segenap skop dan medium yang ada.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w :

“ Hendaklah kamu sentiasa dengan Jamaah kerana tangan Allah bersama dengan Jamaah, dan sesiapa yang menyimpang dia akan menyimpang ke dalam api neraka ” 
(Riwayat At-Tarmizi). 


Jika sekarang anda masih lagi seorang, masih lagi tiada usrah atau halaqah, masih lagi bersenang lenang, ayuh lakukan usaha mencari! Mencari jemaah, usrah, halaqah yang boleh terus membimbing anda selama anda hidup.


Jangan sia-siakan hidup anda dengan aktiviti tidak bermanfaat di hujung minggu atau waktu rehat untuk berseronok. Namun, isilah ia dengan program-program hujung minggu yang bermanfaat. Minggu-minggu yang sentiasa ada pengisian rohani. Rakan-rakan dan sahabat yang apabila kita melihatnya, buat kita rasa mahu beribadah dan mengingati ALLAH. Sebuah jemaah yang benar itu pasti mementingkan pembangunan tarbiyah individu di dalam setiap ahlinya melalui wasilah tarbiyah yang pelbagai. Bukan sekadar usrah, namun ada juga mukhayyam, riadah, jaulah dan lain-lain.


“Kalau saya nak usrah je boleh tak akhi?” 


Macam kita nak buat sebuah kek yang sedap, kalau takde sesetengah ingredients maka kek tu jadi tak sempurna. Begitulah juga pembentukan tarbiyah individu. Variasi wasilah yang disediakan ialah untuk memastikan kita berkembang secara syumul (melengkapi setiap aspek). Barulah dapat jadi daie original. Kalau setakat usrah, sedih-sedih ukhwah fillah, maka ketahuilah masih banyak yang kita ketinggalan.


“Jika kamu berubah hanya sekadar sebab nak join usrah, maka kamu masih belum mampu mengangkat pedang jihad.” 



Nampak sedap bukan kek ni, bayangkan sebuah kek itu diperlukan untuk mengisi perut seorang daie. Jika hanya sepotong yang kita ambil, pasti daie itu masih merasakan kekosongan. Dah makan semua, barulah ada kekuatan untuk mengangkat pedang jihad. Ibarat cerita avengers, bukan semua superhero boleh angkat tukul thor, hanya thor sahaja yang memenuhi ciri-ciri yang membolehkan dia mengangkatnya. Macam tu lah analoginya dengan pedang jihad. Kalau ciri-ciri tak lengkap, kita khuatir, kita tak mampu mengangkat pedang jihad itu. Gituh.


Maka carilah sebuah kek yang sempurna, agar dapat kita memastikan perut kita puas dengan tarbiyah, barulah boleh bergerak dengan penuh tenaga sebagai seorang daie yang original. Namun ini semua takkan dikecapi tanpa kita hidup berjemaah.


“Tapi akhi, jemaah mana yang perlu saya ikut. Macam banyak je kat Malaysia ni?” 

Jeng.. Jeng.. Jeng.. 


Soalan paling mahal era ini. Jemaah mana yang perlu kita ikut? Bagi saya, benda ni mudah, dan saya minta kalian buat homework masing-masing. Agak-agak antum, jemaah mana yang paling lantang mempertahankan islam? Jemaah mana yang banyak melahirkan orang-orang yang hebat? Jemaah mana yang membawa ciri-ciri yang lengkap dalam sebuah pembentukan individu muslim? Jemaah yang mana paling jelas fikrah pendiriannya, tidak bercampur aduk hak dan batil? Jemaah mana yang sangat dimusuhi oleh musuh islam?


Ambil kertas, tulis dan buat perbandingan. Ianya lebih baik jika kalian sendiri yang pergi berjumpa ahli jemaah bagi setiap satu jemaah. Rujuk mereka, dan tanya hal yang anda rasa khuatir. Mesti anda ada soalan yang pelbagai, kenapa jemaah ni bertindak macam ni? Kenapa pendirian dia begitu? Orang cakap jemaah ini macam ni, betul ke? dan bermacam-macam soalan lagi, maka bertanyalah kepada ahlinya.


Ini tidak! Apabila ada benda yang khuatir, kita pergi tanya ahli jemaah yang satu saja. Masalah Jemaah lain pun, kita rujuk Jemaah yang satu itu. Maka pemikiran kita pun, tidak berkembang dan tidak dapat tangkap hal yang sebenar sebab kita hanya dapat dengar dari sebuah pihak. Ini sikap orang yang takut kepada kebenaran.


Nasihat saya buat para pembaca yang masih mencari jemaah, dan juga yang sudah ada jemaah sekalipun, bertanyalah kalian kepada ahli Jemaah lain sekiranya terdapat kekeliruan. Saya ulang, bertanya kepada ahli mereka (Jemaah lain) secara terus. Jangan takut dalam mencari kebenaran. Jika kita betul-betul mencari kebenaran. Mengapa perlu takut? Atau kita sengaja mahu bersembunyi di balik tabir, dan mahu duduk di dalam dunia selesa ciptaan kita sendiri? Maka silaplah jika ini pendirian kita.

Saya sendiri pun, meskipun kini saya sudah duduk di bawah sebuah jemaah, namun apabila ada kekiluruan tentang jemaah lain, saya akan terus merujuk kepada masul atau orang senior jemaah terbabit. Dengar pendirian mereka, kemudian kita rujuklah kembali dengan fikrah jemaah kita. Jika salah, maka kita tolak jauh-jauh, jika betul maka kita sokong. Timbanglah sesuatu perkara dengan neraca iman dan taqwa. Barulah adil di dalam mencari kebenaran.


“Yang jadi salah, bila kita duduk dalam sebuah rumah, tapi tak ambil tahu hal jiran, hanya dengar dari mulut orang. Cuba kita tanya terus kepada jiran kita. Inilah yang terbaik.” 


Jangan risau ya akhi, ya ukhti. Kalau kamu benar, datanglah hujah macam mana sekalipun, kamu pasti dapat patahkan. Cuma kalau kamu tak benar. Asyik fikir, betul ke jemaah aku ni..betul ke Jemaah aku ni.. Maka fikirlah sendiri. Tepuk dada tanya iman. Moga diberi hidayah dan petunjuk dariNya.


“Akhi ni jemaah mana? Boleh saya tahu?” 

Saya ikut jemaah ISMA. (dengan nada bangga) 



Saya bersyukur kepada Allah kerana saya telah dipertemukan dan duduk di dalam jemaah ini. Cantiknya pembentukan diri melalui wasilah tarbiyah yang disediakan dapat saya rasai kesannya dalam hidup saya. Saya yakin dengan pilihan saya, dan jika ada sebarang persoalan terhadap jemaah ditujukan kepada saya, insyaAllah saya dapat jawab dengan yakin. Saya bangga saya berada di dalam jemaah ISMA, dan tidak segan silu untuk mengumumkannya. Saya selesa dengan ISMA dan menyokong penuh tindakan-tindakan yang telah dibuat organisasi ini. ISMA sesuai dengan hati saya dan memenuhi timbangan neraca iman dan taqwa saya.

Apa yang paling penting. Ingat pesanan saya. Pesanan saya kepada sahabat-sahabat di luar sana, jika masih mencari jemaah, rujuklah kepada ahlinya, jangan dengar dari orang lain. Beranilah dalam mencari kebenaran!

Orang islam yang menggabungkan dirinya dengan jemaah sudah selesai satu tuntutan agama yang besar, tetapi apabila seseorang itu berada dalam jemaah maka keanggotaannya itu meletakkannya kepada satu “mas’uliyyah” tanggungjawab yang tertentu pula, sebagai anggota jemaah, tugasnya tidak tamat dengan menjadi angota semata-mata, di sana ada disusuli dengan beberapa kewajipan-kewajipan yang tertentu yang mesti dikerjakan, dan ditunaikannya.

Imam Al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Saayyidina ‘Umar bin Al-Khattab r.a, bahawa beliau berkata:

“Tidak ada islam melainkan dengan jemaah dan tidak sempurna jemaah tanpa pemimpin (imam), tidak ada, ertinya; kepimpinan tanpa ketaatan”. 


Maka jelaslah disini, bahawa kepentingan untuk berjemaah itu sangat diutamakan dalam merealisasikan sebuah gerak kerja dakwah yang sempura. Jika sudah mempunyai jemaah, maka teruskanlah berbakti dan memberikan sumbangan di dalam kerja dakwah. Jadilah sebuah aset kepada jemaah bukannya sebuah liabiliti.