Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, March 30, 2014

Politik dan islam

Istiknaf adalah keengganan untuk bergabung dalam masyarakat, atau organisasi yang ada. Objektif dakwah tidak akan tercapai sekiranya para daie memiliki sifat yang sebegini. Bersikap solo, hanya menjaga diri sendiri dan tidak menghiraukan politik ialah sikap yang perlu dihindari, dan diubati jika terdapat di dalam diri para daie.

Ramai para daie yang enggan untuk terjun ke dalam kencah politik, dengan alasan bahawa politik itu kotor dan pasti mengotori mereka yang berada dalamnya. Atau berpendapat bahawa politik ialah sesuatu yang terlaknat dan terlaknat juga para ahlinya, malah berpegang bahawa politik perlu dihindari. Maka ketahuilah sifat seperti ini tidak menyelesaikan masalah, namun ini ialah sikap hendak lari dari masalah dan tanggungjawab.

Keenggangan ini akhirnya membuka ruang untuk musuh islam menguasai dan seterusnya menjadi penentu kebajikan di negeri-negeri khususnya negeri muslim. Ini membuka ruang mudah untuk musuh islam memerangi islam dan umatnya. Organisasi-organisasi berkepentingan seterusnya dikuasai musuh islam. Lebih parah lagi apabila organisasi tersebut mengeluarkan hujah di tengah masyarakat bagi menyerang gerakan islam yang sudah sedia ada. Dalam erti kata lain, kemaslahatan umat islam pasti akan tercabar dan tidak dibela. Sikap ini jelas akan menjadikan institusi pemerintahan sebagai sarang musuh islam. Akhirnya menjadi penghalang utama gerak dan perkembangan pergerakan islam itu sendiri.

Para daie yang dikasihi, ingatlah bahawa asas kepada fiqh dakwah itu sendiri menuntut kita mencegah kebatilan dan menegakkan yang hak. Sebab itu tidak hairan saat ini kita dapat lihat ramai para daie dan ulama terkemuka mula melompat ke dalam kencah politik. Mereka ini menyedari hakikat bahawa pentingnya untuk menggabungkan diri mereka dengan politik.

Sekadar menjerit atau berharap untuk negara menjadi lebih baik, namun tidak dituruti dengan penggabungan diri, bukanlah cara perjuangan yang sebenar. Jadilah seorang daie yang cakna dan buka minda kita untuk minat dan seterusnya ambil berat akan politik, khususnya politik di negara kita yang tercinta. Seterusnya memahami dan menguasai geopolitik dunia yang lebih luas.

Jangan sekadar bermimpi, dan bersemangat di dalam usrah sahaja, namun mulalah bergerak dan berjuang agar islam menjadi ustadziyatul alam. Ini bukan kerja mudah, jangan sangka dengan bergoyang kaki islam akan berjaya. Kita perlu mula bekerja.


 


Wallahu A'lam bish-shawab.

Saturday, March 15, 2014

Sifir politik


Sifir politik 10 markah

Setiap orang pasti memiliki sifir politik masing-masing. Yang dipegang pada fikrah pemikiran masing-masing dan dirasakan sebagai absolute truth yang tidak boleh disangkal. Bagi saya, sifir politik yang perlu kita, para daie pegang ialah sebuah sifir yang lebih terbuka dan melihat pelbagai aspek dan sudut yang perlu diberi perhatian.

Inilah dia sifir politik 10 markah.


Jika 10 itu markah penuh. 5 markah itu adalah dari sudut global seperti pengaruh oleh negara luar, geopolitik asia tengara atau serangan secara unconventional warfare oleh kuasa besar dunia. Diberikan ratio markah yang besar kerana hal ini yang terlebih dahulu perlu diutamakan.


3 Markah ialah dari sudut hubungan luar parti. Bagaimana kerja dan hubungan berkepentingan yang berpengaruh di bawah sesuatu parti. Ideologi atau hujah dan tindakan sesuatu parti pada isu-isu semasa.


Manakala 2 markah terakhir ialah dari sudut masalah dalaman parti itu sendiri. Menyingkap keberhasilan kepimpinan dan perpecahan yang mungkin berlaku didalam sesebuah parti.

Secara keseluruhannya. Tonggak sifir politik yang kita perlu pegang ialah "Tidak boleh mencederakan kemaslahatan umat islam"


Perasan tak? Terdapat dakwaan kononnya golongan minoriti bukan islam di negara kita dilabel sebagai warga 2nd class. Ingin saya ingatkan, sebelum kita percaya bulat-bulat apa yang digembar-gemburkan di laman sosial tersebut perlu kita tanya diri kita. Benarkah? Apakah mereka dizalimi? Di manakah penindasan itu? Dan bandingkan dengan keadaan minoriti muslim di negara lain yang kononnya dibawah payungan demokrasi dan liberal? Apakah ianya sedemikian? Jika jelas keadaan mereka baik-baik sahaja dan mereka punya nasib terbela seperti golongan majoriti. Jadi dari manakah dakwaan serupa ini muncul? Tidakkah sahabat nampak bahawa jelas agenda tersembunyi itu wujud disebalik ini?

Cuba kita lihat dan selami fakta yang lebih jelas pula, yakni terdapat kelompok besar bukan islam yang memperjuangkan agar negara kita Malaysia yang disayangi ini menjadi sepenuhnya negara sekular, institusi raja dihapuskan, dan hak sama rata Melayu dan bukan Melayu, termasuk untuk menjadi pemimpin tertinggi negara (yang mana rakyatnya majoriti muslim). Apakah ini yang kita mahu? Berdiri di atas prinsip equality mengikut fahaman sekular liberal.


Kita perlu paham, keadilan tidak semestinya kesamarataan. Tak dinafikan kita perlu berkejasama dengan sesiapa pun dalam hal kebaikan, termasuk dengan orang kafir. Namun ingat. Jangan kita duduk di kerusi yang karat. Bekerjasama dengan orang kafir ada batasnya, iaitu antara yang terpenting ialah TIDAK BOLEH MENCEDERAKAN KEMASLAHATAN UMAT ISLAM.


Bukan kita tidak tahu dan tidak perasan laungan kebebasan yang membanjiri laman sosial, facebook contohnya. Menyebarkan propaganda ‘bebas’ membawa hujah-hujah dari buku-buku indie (independence) barat. Dengan sangkaan berfikir tanpa garis panduan syarak itu adalah sebenar-benar erti bebas.


Hakikat diri tertipu.
Jiwa dan akal di dalam penjara nafsu.


Jauhilah pemikiran sebegini. Politik bukan soal, siapa yang menang sorak. Namun ianya ialah soal menjaga kemaslahatan umat. Politik perlu dilihat dari aspek yang luas. Tidak cukup jika kita menilai politik dari hal-hal dalaman negara tanpa mengambil kira pengaruh dan kesan daripada geopolitik dunia.


Secara kesimpulan, letakkanlah pasak kepada pemikiran politik kita kepada satu level yang lebih tinggi. Bukan tertakluk pada prinsip dan kepentingan kepartian semata-mata. Politik bukan bermain di radar PKR-BN-UMNO-PAS-DAP semata-mata. Namun ia perlu dilihat dari aspek yang lebih luas.

Friday, March 14, 2014

Mengkaji sebelum demonstrasi

Satu perkembangan yang tidak sihat dapat dilihat dalam diri anak muda kita hari ini. Masing-masing cuba mencari identiti diri. Ianya tidak menjadi masalah jika pencarian identiti itu berkembang dengan baik seiring dengan perkembangan rohani. Namun, apa yang berlaku pada hari ini ialah anak muda tidak berjaya berkembang dengan seimbang. Kebanyakan anak muda menyangkakan diri mereka berkembang dan matang apabila mereka ambil tahu akan isu semasa. Namun ketahuilah, perkembangan yang berdasarkan isu semasa semata-mata bukanlah satu perkembangan yang baik.


Dalam mencari identiti diri, seseorang itu perlu menjawab soalan yang paling asas yakni, ‘siapakah yang mencipta diri?’. Jika soalan ini dapat dijawab dengan saksama insyaAllah perkembangan diri itu akan menjadi seimbang. Seseorang yang hebat itu berkembang dari sudut rohaninya dan dalam masa yang sama dia turut berkembang dengan isu semasa. Inilah perkembangan yang matang.


Orang yang mengenali identiti dirinya sebagai hamba Allah, tidak mendambakan pujian dan pandangan manusia. Kerana dia tahu, dia bukan sahaja seorang pelajar, mahasiswa, pemuda dan lain-lain, kerana baginya, identiti dirinya yang paling utama ialah dia seorang hamba Allah.


Orang yang menyedari hakikat identiti ini, tidak akan mudah terikut-ikut dengan arus. Orang buat itu, orang buat ini, orang ajak itu, ajak ini, namun dia tidak akan mudah untuk ikut membuta-tuli tanpa menimbangnya terlebih dahulu dengan neraca iman dan taqwa.


Seringkali saya ulang, bahawa jiwa anak muda ini ialah jiwa yang penuh dengan semangat. Namun jika semangat ini tidak dikawal, dikhuatiri ia digunakan di tempat yang salah. Disini saya bukanlah hendak menyalahkan mana-mana pihak, namun saya mahu mengajak para pembaca untuk belajar erti mengkaji sebelum demonstrasi. Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang selalu mengikuti demonstrasi atau perhimpunan orang ramai untuk memperjuangkan kebenaran. Namun kebiasaannya jawapan yang saya dapat ialah sebuah jawapan yang menghampakan.


Contohnya, soalan-soalan mudah yang ditanyakan, seperti kenapa berhimpun? dengan siapa? siapa yang mengetuai? pun mereka tidak dapat jawab. Contohnya mereka yang berhimpun kononnya membangkang GST. Semangat membawa sepanduk-sepanduk penghinaan dengan slogan-slogan tertentu. Menjerit sana-sini. Namun, apabila ditanya kepada mereka, apa itu GST contohnya?

“krik krik.. krik krik..cukai.. beban rakyat..” itu sahaja kah?


Seakan-akan tidak tahu apa yang mereka buat. Ada yang lebih memalukan, saja ikut kawan-kawan ajak. Seronok!

Inikah sikap pemuda atau pemudi yang mahukan perubahan untuk negara? Berdengung kuat namun isi tiada. Malulah.

Anda mahu demonstrasi? Mahu menjerit sana sini? Itu saya tidak kisah. Itu hak anda. Tapi tolonglah tahu apa yang anda buat. Kita sebagai seorang islam perlu ada pendirian. Jangan jadi seperti lalang yang hanya tahu mengikut tiupan angin. Jangan kita jadi orang yang ikut membuta-tuli. Tanamkan sifat mahu mengkaji di dalam diri kita. Apa-apa yang berlaku, kita kaji dan selidik dengan adil.

Berotak sebelum berontak. Keluar mengkaji sebelum keluar demonstrasi.

Kebanyakan orang bijak pandai, yang mengkaji dan arif tentang sesuatu isu pasti tidak gopoh untuk keluar membuat perhimpunan seperti ini. Dia sedar, dia ada tugasan yang lebih besar perlu dibuat untuk membawa perubahan kepada umat. Selagi ada alternatif lain dan saluran lain yang boleh digunakan, maka dia pasti memilih jalan yang lebih bijak untuk menyelesaikan masalah. Sekadar menjerit, sambil merosakkan harta benda awam, melumpuhkan sistem pengangkutan sudah pasti tidak dapat membawa perubahan yang besar. Bahkan sikap seperti ini bukan menyelesaikan masalah, namun ini ialah sikap orang yang mahu lari dari masalah. Tanpa mereka sedari juga, mereka menjadi agen penambah masalah yang sudah sedia ada.

Berdiri atas landasan demokrasi kononnya, tetapi tindakan yang dilakukan hanyalah demo tanpa krasi. Menjadikan medan perhimpunan sebagai tempat untuk melepaskan kemarahan. Inikah sikap orang yang mempunyai identiti diri? Inikah harapan negara? Tepuk dada, tanya iman. Pupuk jati diri dan prinsip yang benar dalam hidup kita, jangan keliru dengan seruan perjuangan sehingga menghalalkan apa yang salah. Perjuangan kita perjuangan yang benar. Perjuangan yang celik dan sedar. Bukan sebuah perjuangan yang dilakukan dengan mata yang tertutup.

Berotak sebelum berontak, 
Keluar mengkaji sebelum keluar demonstrasi. 


Ingat! 


“De..monst..rasi tanpa konsentrasi hanya tinggal emosi, menzahirkan 
monster yang tak reti kawal emosi.”