Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Saturday, August 3, 2013

Liberalisme

Hari ini kita boleh melihat golongan neo-muktazilah atau Islam liberal ini semakin galak dan semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi. Sukar dihidu, namun bisa dikenali dengan timbangan neraca iman dan taqwa.


Ancaman ini jika tidak ditangani dengan segera oleh semua pihak di kalangan umat Islam, nescaya akan menghakis kefahaman agama islam yang soheh di kalangan umat Islam dengan pantas sekali.






Hari ini mereka berdiri menyebarkan fikrah mereka dengan berani dan penuh gah.

Dengan bercakap atas nama mereka sebagai seorang muslim dan di atas platfom pertubuhan yang memakai nama Islam (seperti Sister In Islam dan sebagainya), golongan Islam liberal sememangnya lebih berbahaya dari pendakyah-pendakyah agama lain kerana suara mereka lebih mudah didengari oleh kaum muslimin. Hari ini, pemikiran islam liberal banyak didokong oleh golongan mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.



Mereka berhujah kononnya liberal ialah satu gagasan pemikiran yang sangat bermanfaat kepada umat. Liberal mampu memupuk keharmonian sejagat dan keamanan dunia. Mereka akan berhujah dengan merujuk kepada contoh-contoh dari negara barat dan juga negara-negara timur tengah. Semuanya tidak lain dan tidak bukan untuk membuatkan orang yang mendengar terpesona dan rasa kagum akan ideologi liberal ini.


Hakikatnya nilai-nilai yang kononnya baik yang terdapat dalam liberal ini sebenarnya ialah dari islam itu sendiri. Islam itu sebuah agama yang syumul, baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Jadi, mengapa masih perlu mengimport pemikiran liberal kedalam hidup kita? Sedangkan nilai-nilai yang dijaja liberal itu sebenarnya sudah terdapat dalam islam.


Walau bagaimanapun, penting untuk kita ketahui di sini, bahawa fahaman liberal datang dengan pakej kebebasan yang lain. Sehingga menghalalkan apa yang haram, membolehkan apa yang tidak boleh. Kebebasan menukar jantina, kebebasan memilih agama, kebebasan mengkritik dan banyak lagi. Hal ini jelas menjadi ancaman kepada islam itu sendiri.


Penting juga untuk kita memahami bahawa, adil dari fahaman liberal tidak sama dengan adil dari pandangan islam. Demokrasi dari fahaman liberal juga tidak sama dengan demokrasi yang dibawa oleh islam. JIka dikaji dengan saksama, perbezaan itu pasti ditemui. Jadi mengapa masih perlu mengimport pemikiran ini kedalam masyarakat kita di Malaysia yang majoritinya orang islam. Liberal hanya menggunakan istilah-istilah demokrasi dan keadilan untuk menghalalkan agenda haram mereka yang jauh lebih besar dari itu, yakni untuk meliberalkan umat. Untuk melahirkan umat yang ‘bebas’. Ini jelas sebuah ancaman, terutamanya dari sudut akidah seseorang muslim.



Kita lihat liberal dari satu sudut dan mula menganggap ianya sangat baik dan bermanfaat kononnya seperti yang diperomosikan oleh pendokong mereka, namun hakikatnya, pemikiran yang telah diracuni liberal ini akhirnya akan melahirkan manusia yang mahukan kebebasan dari agama dan perundangan. Hal ini akan mengancam kemaslahatan umat islam itu sendiri.


Kita sudah ada sistem islam yang menyeluruh. Yang meletakkan al-Quran dan as sunnah sebagai tempat rujukan tertinggi. Maka kita perlu bangga dengan itu! Inilah sifat individu muslim yang sebenar.


Mengapa kita perlu mengenali islam liberal?


Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. Hal ini telah dinasihati oleh Saidina Umar dalam satu ucapannya;


“Akan terungkailah ikatan Islam satu-persatu dari seorang yang lahir/membesar di dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah”.

Sebenarnya, melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulama Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi (liberal) tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka (golongan liberal) meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.



Mereka bagaikan anak kutu, kecil kehitaman, yang berselindung di sebalik helaian rambut yang hitam namun masih dapat dikesan apabila dilihat dengan adil dan saksama. Pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini.



Mereka akan cakap, bahawa mereka ialah liberal, tapi mereka tidak sekular. Namun hakikatnya, mereka hanya menipu diri sendiri. Kerana isme-isme ini datang dengan pakej. Kita ambil satu, maka yang lain akan turut menyusuli. Inilah isme-isme yang menjadi ancaman umat.



Akhirnya mereka akan membawa umat Islam untuk bersikap anti-Islam dan memusuhi ulama-ulamanya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian.

Itu sahaja dari saya pada kali ini. Moga bermanfaat.

Wednesday, July 31, 2013

Saya nak kahwin

Saya fikir ini juga sebuah perkara yang sering difikirkan oleh anak muda yang memegang title daie ini. Perkahwinan bukan suatu perkara yang boleh dibuat main, namun ianya ialah sebuah gerbang yang menentukan masa hadapan kita. Seringkali anak muda memikirkan halangan dan tentangan yang bakal dihadapinya sekiranya dia berhasrat untuk berkawin. Halangan daripada ibubapa, kritikan saudara mara, sindiran rakan-rakan dan lain-lain menimbulkan rasa risau di hati. Rasa risau dan takut inilah yang akhirnya membantutkan hajat suci muda-mudi kita untuk berkahwin awal. 



Saya akan cuba menulis article ini secara seimbang agar kita dapat memahami kebenaran hajat baik si pemuda atau pemudi yang mahu berkahwin dan kasih sayang ibubapa yang tidak membenarkannya.


Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seorang lelaki yang engkau sukai agama dan akhlaknya melamar, maka nikahilah dia (dengan puterimu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, maka akan ada fitnah di atas bumi dan kerosakan”.


Rasulullah SAW juga bersabda,

“Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang memiliki kesanggupan, maka hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya berkahwin lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan.”


Berdasarkan kedua-dua hadis di atas maka jelaslah disini bahawa kahwin awal itu ialah suatu yang dituntut dalam agama. Apabila seseorang telah meminati atau jatuh hati kepada seorang ajnabi, hatinya berubah menjadi tidak keruan. Kotak hatinya tidak lagi diisi dengan pujian kepada Allah, namun kini dia mula mengingati orang yang diminati itu. Perkara ini melalaikan jiwa seorang beriman, bahkan ianya dikhuatiri membawa kepada syirik kecil apabila hatinya tidak lagi meletakkan Allah ditempat yang sepatutnya.


Mana tidaknya, jika di dalam solat pun dia sukar untuk mendapat khusyuk, kerana hatinya sentiasa merindui dan memikirkan tentang si dia. Meletakkan suatu yang tidak halal di dalam hati itu dikhuatiri mengundang syirik kecil. Jalan penyelesaian bagi masalah ini, tidak lain dan tidak bukan ialah melalui perkahwinan.


Kata Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin, menunda perkahwinan adalah sikap yang bertentangan dengan perintah Rasulullah S.A.W.. Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin menasihati wali wanita, dan wanita itu sendiri; janganlah menolak untuk berkahwin dengan alasan belajar atau mengajar.


Seperti yang dikatakan oleh syeikh, dapatlah kita katakan bahawa menangguh perkahwinan atas alasan belajar atau mengajar itu tidak relevan.


Seringkali sebuah nasihat daripada seorang ulama yang hanif, akan memberikan ketenangan hati. Ibarat sebuah dakapan erat yang menenangkan jiwa bergelojak, ibarat tegukan air segar yang menghilangkan dahaga. Semoga nasihat dari para ulama soleh yang sarat akan hikmah-hikmah besar ini dapat menjadi pelipur hati yang sedang menanti, dan jiwa merindui.


Apabila perkahwinan yang halal itu disukarkan, maka kita akan menyaksikan zina yang haram pula seolah-olah dimudahkan. Apabila perkahwinan menjadi mahal, maka zina akan menjadi murah. Berapa ramai pada hari ini, pemuda kita tengelam dengan masalah sosial. Lihat sahaja pada statistic bilangan anak luar nikah yang kian meningkat dari tahun ke tahun.


Jika merasakan diri kita sudah bersedia, baik dari sudut ekonomi, emosi, dan rohani, maka berkahwinlah. Pujuklah kedua ibu-bapa kita untuk membenarkan kita berkahwin. Lamarlah si dia dengan merujuk terus kepada walinya. Jika niat kamu itu suci dan ikhlas mahu berkahwin demi menjaga hatimu dari dicemari sesuatu yang tidak halal, maka insyaAllah urusanmu akan dimudahkan. Moga Allah permudahkan dan memakbulkan hasrat suci kamu itu. Jadikanlah si dia halal buatmu dengan cara yang digariskan oleh islam.


“Susah akhi.. Saya memang nak berkahwin, tapi parents.. hm.. mesti tak bagi.”


Suka untuk saya petik kata-kata dari Dr. Nik Roskiman Abdul Samad yakni seorang pengarah di Institute Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


“Kepada para ibubapa yang mempunyai anak-anak yang sudah belia remaja, usahakanlah mempercepatkan perkahwinan mereka. Dunia yang semakin mencabar keimanan ini, semakin perlu disegerakan bagi mengelakkan zina dll yang semakin berleluasa. Seakan zina, homo, gay, sudah menjadi biasa hari ini. Sedih mendengar apa yang menimpa pelajar Malaysia di London. Naudhubillah!

Saya antara ibubapa yang menyokong anak-anak berkahwin awal walaupun masih belum tamat pengajian di IPT kerana usia sebegitulah paling mencabar.

Kepada adik-adik yang masih bujang, saya berpesan dengan sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka bernikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang syahwat.”
[Bukhari/Muslim]



Namun itu tidak beerti kamu tidak perlu berusaha. Kamu sebagai seorang yang mahu berkahwin perlu membuktikan kepada ibu bapa yang kamu telah bersedia. Jika bangun solat subuh pun kita masih mengharapkan mereka mengejutkan kita. Sudah pastilah mereka risau untuk mengizinkan kita berkahwin. Tunjukkanlah yang kita sudah bersedia, rajinkanlah ke masjid, ringan-ringankan tulang membantu mereka mengurus urusan keluarga dan lain-lain.


Kalau boleh, untuk beli barang-barang keperluan diri, kamu mengunakan duit kamu sendiri, lebih baik lagi kamu pula yang belanja keluarga. InsyaAllah apabila ibubapa melihat kita sudah matang dan kita telah membuktikan kepada mereka bahawa kita benar-benar bersedia, silap-silap mereka pula yang akan menyuruh kita berkahwin. Inilah seni memikat hati ibubapa.



Satu faktor lagi yang membuatkan ibubapa sukar menerima keputusan kita ialah kerana mereka risau dengan pilihan kita. Mana tidaknya, tiba-tiba kita datang kepada mereka cakap nak kahwin. Mereka mahu juga memastikan pilihan anaknya ini ialah pilihan yang baik. Sebab itu, sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, nasihat saya, sejak kita mula jatuh hati atau berkenan kepada seorang, jangan rahsiakan, namun teruslah cerita kepada ibu bapa bahawa kamu telah jatuh cinta.

“Ummi.. Abanglong ada minat seorang budak ni. Dia baik sangat ummi..hm..”

Hah.. macam tu, baru la macho tahap hokage. Ada berani? Setidaknya mereka mengikuti perkembangan kita dari awal. Ini tidak.., tiba-tiba cakap nak kahwin, pastilah ianya sukar untuk mereka membuat kata putus.

Ibubapa ni para pembaca, mereka sayang pada kita, sebab itu mereka risau akan kita. Seringkali kita menyalahkan ibubapa apabila mereka menolak hajat kita untuk berkahwin. Kita mengatakan mereka tidak faham itu dan ini. Namun hakikatnya diri kita sendiri yang gagal membuktikan kepada mereka bahawa kita mampu, kerana jika kita berjaya buat dengan cara dan kefahaman yang betul insyaAllah hati mereka akan lembut untuk membenarkan kita berkahwin.

Jika perjuangan kamu itu ialah satu perjuangan yang ikhlas, insyaAllah akan dipermudahkan atas izinNya. Ikhlas itu jiwa yang murni, rahsia Allah di dalam hati, terlalu sembunyi, tapi dapat dikesan jika disuluh dengan saksama. Banyakkanlah berdoa, dan sujud padaNya, kerana semuanya berlaku atas izinNya tuhan yang Maha Esa.

“Akhi ni dah kahwin ke?”

Ini soalan paling lajen abad ini, haha. Belum lagi sahabat. InsyaAllah satu hari nanti, doakan saya.

Saturday, July 13, 2013

Geng MTDM




Bagi yang tidak biasa dengar mesti tertanya-tanya apakah itu MTDM? Maktab Tentera kah? Sebuah kolej kah? atau ianya sebuah Jabatan kerajaan? Bukan.. Bukan.. MTDM yang saya maksudkan ialah Majlis Ta’lim Darul Murtadza. Jika saya balik ke Malaysia dan berpeluang untuk ke majlis ini pasti saya akan pergi. Majlis ini diadakan seminggu sekali pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Bersama beberapa orang sahabat yang lain kami akan menghadiri majlis ini. Sebuah majlis ilmu, majlis ta’lim yang dibawa oleh Al- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid. Di dalam majlis ini kita akan belajar kitab tafsir, kitab Riyadhus Shalihin, kitab Syarah Hadis Jibril dan lain-lain. Kebiasaannya, ruang masjid pasti akan dipenuhi dengan jemaah dan hadirin yang datang dari seluruh Malaysia.


Bagi saya, seorang daie itu perlu mempunyai minat untuk berguru seperti ini, bertalaqi dengan alim ulama. Dapatkan ijazah dari guru-guru agama yang ada. Ilmu islam itu cantik, kerana kita dapat tahu siapa guru kita, dan juga siapa guru kepada guru kita. Ijazah ini bukan sekadar ijazah yang diperoleh setelah khatam kitab-kitab agama, namun untuk perkara-perkara sunnah seperti memakai serban, memakai rida dan lain-lain semuanya turut ada ijazahnya, ada gurunya. Saya masih ingat semasa menerima ijazah pemakaian rida’ dari Ustaz Muhadir bin haji Joll as- Sanariy. Saat beliau menyarungkan rida pada saya, beliau memberitahu saya nama guru-guru yang telah menurunkan ilmu pemakaian rida’ ini. Setelah tamat pengijazahan, kami menyedekahkan al-Fatihah kepada guru-guru kami. Inilah pengijazahan yang sebenar. Kita tahu siapa guru kita, dan siapa guru kepada guru kita. Cantik bukan? Kita beruntung, di bumi Malaysia Allah kurniakan dengan ramai alim ulama, hanya kitalah yang menjadi penghalang sama ada mahu atau tak mahu untuk berguru.


Hari ini yang menjadi masalah ialah terlalu ramai daie yang berguru dengan Ustaz Google. Terlalu ramai nak jadi daie, tapi mengambil jalan shortcut dan belajar dari article-article di laman sosial sahaja. Ada juga yang hanya cukup sekadar membaca kitab dan faham mengikut kefahaman sendiri tanpa pernah berguru.


Lebih buruk lagi, apabila daie yang syok sendiri ini mula mahu menjadi guru pula kepada orang lain. Entah apa yang diajarnya pun kita tidak tahu. Sedangkan jika ditanya siapa gurunya, pasti dia akan terduduk, terdiam, kerana dia langsung tidak pernah berguru. Inilah yang dimaksudkan daie shortcut. Baca kitab secara pantas, dapat gambaran dan mula menggoreng bicara.


Ketahuilah sahabat, jika seorang daie itu tidak mempunyai guru, maka gurunya tidak lain da tidak bukan ialah syaitan dan iblis. Dia menyangka dia hebat dan mulia dengan ilmu yang dibacanya tapi tanpa disedari, dia hanyalah penyebar ajaran sesat tanpa panduan mengikut pemikiran dan pandangan diri sendiri.


Daie ini mempunyai satu sifat hamasah dalam diri mereka. Yakni sifat semangat yang tinggi. Ya benar, semangat itu satu perkara yang baik. Namun semangat para daie ini perlu juga dikawal. Kita tak mahu para daie ini buat perkara yang tak patut sebab semangat yang berlebihan itu tadi. Berapa ramai hari ini, daie yang terlebih semangat? Kerana nak jadi daie, apa cara pun dia sanggup buat, meskipun salah. Inilah sikap yang perlu dijauhi.


Milikilah semangat yang original. Hamasah as Syabab. Membawa agenda perubahan.

Tuesday, July 2, 2013

10 tanda hati mati

1. Kita kata kita kenal dan cinta ALLAH S.W.T., tapi dalam 

masa yang sama kita tidak mahu menunaikan perintahnya. 



2. Kita mengaku bahawa kita cinta Rasulullah S.A.W. namun 

kita malu bahkan mengabaikan sunnahnya. 



3. Kita membaca al-Qur'an tapi tidak pula kita turut beramal 

dengan hukum-hukum didalamnya. 



4. Kita sentiasa dianugerahkan nikmat oleh ALLAH SWT 

tapi bibir dan hati kita tidak pernah melafazkan dan mensyukuri 

segala nikmat pemberiannya. 



5. Kita mengaku bahawa syaitan itu musuh kita, syaitan itu 

cuba menarik kita ke neraka, tapi dalam masa yang sama 

kita masih mengikutinya. 



6. Kita mengakui nikmat syurga, kita tahu akan indahnya syurga yang 

tidak dapat dibayang dek fikiran manusia, tapi kita tidak pula 

mahu beramal untuk mendapatkannya. 



7. Kita juga mengakui siksa neraka, perit, derita dan azabnya 

jahannam, tapi kita tidak pula berusaha menjauhinya. Bahkan kita 

seakan-akan menempah tiket VVIP untuk memasukinya. 



8. Kita mengakui bahawa mati itu satu kepastian, kematian itu 

datang pada setiap jiwa, tapi tidak pula kita berusaha 

mempersiapkan bekal untuk dibawa mati. 



9. Kita sibuk membuka aib orang lain, tapi tidak pernah ingat 

akan aib diri sendiri. 



10. Kita menghantar dan menguburkan jenazah, menangis dan 

bersedih, tapi tidak pula kita mengambil hikmahnya. 



Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ingatlah... bahawa hati kita itu sakit, jika lebih dari tiga hari mata kita dibiarkan kering tidak menangis keinsafan akan dosa-dosa yang kita lakukan. Menangislah didunia ini, agar kita tidak menangis di akhirat nanti, dan sesungguhnya tangisan di akhirat itu ialah tangisan yang sia-sia. Meskipun tangisan itu, sebuah tangisan yang mengalirkan air mata darah sekalipun. Bertaubatlah...

Tuesday, June 11, 2013

Unpercayable

Dalam mengharungi medan perjuangan dakwah ini, kita pasti berhadapan dengan pelbagai onak dan cabaran. Ya. Jalan dakwah tidak pernah menjanjikan kita kesenangan. Orang yang sudah lama dalam perjuangan ini pasti lebih memahami selok belok perjuangan yang penuh dengan onak dan duri.Tentangan demi tentangan hadir ke muka pintu. Seringkali menjatuhkan semangat para daie untuk terus berjuang.


Tahukah kalian bahawa tentangan itu bukan hanya datang dari orang bukan islam. Namun, tentangan yang hebat itu biasanya datang dari orang islam sendiri yang juga berdakwah.


"Eh akhi.. Kenapa jalan dakwah ditentang oleh orang islam sendiri. Tambahan si dia turut berdakwah?". 


Maka ketahuilah wujud perasaan hasad dan dengki di dalam diri orang yang berdakwah ini. Mereka tidak senang melihat orang lebih hebat dari mereka. Mereka akan cuba sedaya upaya menjatuhkan daie yang lain. Pelbagai hujah dan fitnah dilontarkan. Hati ini ialah hati yang sakit.


"Ada juga ya orang yang macam itu.. hm." 


Orang yang sebegini kebiasaannya mempunyai ego yang tinggi dan taksub dengan diri sendiri. Dia merasakan dia yang paling sempurna dalam perjuangan dakwah ini. Sebab itu dia senang untuk memperlekehkan perjuangan orang lain.


Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dari Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,


“Tidak akan masuk surga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” 


Oleh itu, para daie yang diredhai Allah sekalian. Ingatlah. Jangan sesekali kita merasakan kitalah yang paling baik. Jangan mudah menilai orang lain sedangkan kita belum betul-betul pasti apakah amal kita diterima Allah atau sebaliknya. Hormat menghormati dan lahirkan tawadhu' dalam diri. Seringkali orang yang kita pandang rendah dan hina itu lebih banyak dan baik amalnya berbanding kita. Namun tidak mereka hebahkan. Mereka tidak menagih pandangan dan pujian manusia. Bertaubatlah.. kembalilah ke jalan yang benar.


Bila kita dah start menghukum, 

Bila kita dah start nak judge orang lain, 

Bila kita dah excited menyalahkan orang lain, 

Bila kita dah boleh tentukan syurga neraka orang lain, 

Bila kita tahu kita ahli syurga dia ahli neraka, 

Sungguh. Ini unpercayable. 





Bukankah tuhan itu satu. Sejak bila kita ambil alih tugas tuhan? 

Saturday, May 4, 2013

Christian vs Islam


Tahukah kamu

Seperti yang kita semua tahu. Agama Christian ialah agama yang bertempat pada kedudukan ke-dua mengikut statistic bilangan penganut-penganut agama di negara kita. Manakala dari sudut dunia pula, ianya ialah agama paling mempunyai ramai penganut dan diikuti dengan islam pada tempat ke-dua.

Oleh yang sedemikian, para daie perlu bersedia dengan ilmu dan hujah bagi menyampaikan dakwah dan melawan dakyah kristian baik di negara kita dan juga dunia. Berikut adalah antara hujah yang saya kira menarik dan boleh kita gunakan untuk berdakwah kepada mereka yang beragama kristian.


1. Tahukah kamu di dalam al Quran terdapat satu surah bernama Maryam? Jom baca. Kamu mesti nak tahu kan.


2. Tahukah kamu agama Islam dan Christian adalah agama samawi. Dari sumber yang sama.


3. Tahukah kamu, agama Christian datang menggantikan Judaism. Dan agama Islam pula datang selepas itu menggantikan Christian. Ke tiga-tiganya agama samawi.


4. Tahukah kamu, kitab injil yang kamu miliki sekarang telah banyak diubah jika perbandingan dibuat dengan kitab injil yang lama. Boleh kaji kitab lama dalam bahasa hebrew. Ini telah dibuktikan.


5. Tahukah kamu, kitab kamu sekarang ada dua yang utama yakni, new and old testament. Yang mana satu rujukkan kamu. Oh. Lagi satu tu betul tak?


6. Tahukah kamu, di dalam kitab kamu sekarang itu adalah quotation dari 'John', 'Matthew' dan lain-lain. Maaf, saya nak dengar dari master himself, yakni Jesus bukan mereka. Buat apa dengar orang lain.


7. Tahukah kamu, Jesus itu adalah manusia biasa. Bisa berdarah, luka, bahkan mati. Itu manusia bukan tuhan.


8. Tahukah kamu, kamu mengaku yang Jesus dibunuh di salib. Tapi kamu bangga memaparkan lambang itu, bagaikan tidak menghormati dia yang dibunuh. Hm. Apakah ini sebuah penghinaan?


9. Tahukah kamu, dalam ajaran Christian Jesus di salib bagi mengampunkan dosa kamu semua. Tapi kamu tahu tak, bukan Jesus sorang sahaja yg disalib. Ramai lagi yang telah disalib sebelum Jesus. Yang lain tu tuhan jugak ke.


10. Tahukah kamu, teknik salib dah lama diperkenalkan sebelum Jesus disalib.


11. Tahukah kamu pada 519 BC, 3000 political opponents disalib di babylon dan itu lama sebelum Jesus disalib. Ini fakta.


12. Tahukah kamu maksud ‘before century’. Before century bermaksud sebelum kelahiran Jesus. Jadi kamu harus akui, yang sudah ramai disalib sebelum itu.


13. Tahukah kamu, di dalam bible, tiada statement yang dikatakan oleh Jesus sendiri yang mengatakan dia adalah tuhan maka sembahlah aku. Cuba cari.


14. Tahukah kamu, kami umat islam lebih "Christian" dari kamu. Sebab kami ikut ajaran "christian" lebih dari diri kamu.


15. Tahukah kamu, agama christian melarang memakan babi. Boleh lihat Leviticus 11:7-8. melarang hubungan sex sebelum kahwin lihat Corinthians 7:2 dan banyak lagi. Tapi kamu tidak mengamalkannya.


16. Tahukah kamu kami umat islam tidak memakan babi, dan tidak melakukan hubungan sex tanpa perkahwinan.


17. Tahukah kamu, kami lebih menghormati christian lebih dari diri kamu sendiri.


18. Tahukah kamu, kitab bible yang tertua di dunia sekarang ialah King James Bible. Bahkan bible ini mengandungi kesilapan yang berat.


19. Tahukah kamu versi yang terbaik dikeluarkan pada abad ini kata akhbar Church Of England. Versi sebelum ini salah ke? Boleh wujud versi baru pula.


20. Tahukah kamu banyak perkataan digantikan dengan perkataan lain di dalam bible oleh sarjana-sarjana Bible yang unggul. Ini pencabulan.


21. Tahukah kamu, terlampau banyak perbezaan antara New Revised Standard Version dan King James Version.


22. Tahukah kamu, ada antara ayat asal diubah perkataannya dan dijadikan footnote di dalam bible.


23. Tahukah kamu islam menceritakan perihal Maryam dan Nabi Isa dengan lengkap di dalam al Quran.


24. Tahukah kamu nama nabi Isa (Jesus) lebih banyak disebut berbanding Muhammad di dalam al Quran. Tidakkah ini membuat kamu tertarik untuk membacanya.


25. Tahukah kamu, islam mengajar kami mencintai nabi Isa (Jesus) seperti mana kami mencintai nabi-nabi yg lain.


26. Tahukah kamu, islam adalah satu-satunya agama dimana pengakuan terhadap tuhan yang satu. Tidak beranak dan tidak diperanakkan.


27. Tahukah kamu, di dalam bible telah dikatakan akan kemunculan nabi akhir zaman Muhammad SAW.


28. Tahukah kamu, kamu sebenarnya tidak adil dalam mencari kebenaran. Jika kamu mahukan kebenaran. Bacalah al-Quran dan lihatlah kesaksian yang sebenarnya. Jangan takut untuk mencari kebenaran.


Berdakwahlah kepada mereka. Sambil-sambil berbual tu, cubalah sembang-sembang agama dengan mereka. Mana tahu, dengan hujah bicara kamu yang kamu lihat biasa itu sebenarnya mampu membuka pintu hidayah di hatinya. Kita tak tahu. Maka berusahalah, tak rugi sedikit pun.


Namun, seperti biasa, persedian yang lengkap dan rapi perlu kamu sediakan. Baik dari sudut ilmu dan juga kemahiran seni penyampaian. Barulah dakwah dapat berlangsung dengan sempurna. Ayuh!



Tuesday, April 9, 2013

Kiamat


Tanda-tanda kiamat muncul satu per satu, makin hari makin banyak tanda-tanda kiamat yang muncul. Tidakkah kita sedar akan hakikat ini? Tanda-tanda kiamat yang mula berlaku dengan cepat, bagaikan bijian tasbih yang gugur tatkala putus talinya.


Zina bermaharajalela, orang soleh meninggal dunia, alat muzik yang banyak, anak luar nikah yang ramai, dan banyak lagi tanda-tanda kiamat telah menjadi realiti. Bahkan ada ulama mengatakan bahawa tanda-tanda kecil kiamat sudah lengkap, dan sekarang hanya tinggal tanda-tanda kiamat yang besar. Ingatkah kita tentang gempa bumi yang berlaku di Nepal? Banyak video-video saat gempa bumi dikongsikan di internet. Ini bukan video lakonan, tapi ini video sebenar, bukan green screen, lihatlah manusia berlari ketakutan, meninggalkan anak, harta dan lain-lain, kerana masing-masing mencari tempat untuk berselindung. Itu baru gempa bumi, suasana hiruk pikuk, bangunan tumbang sana sini, manusia menjerit ketakutan, hilang arah tuju bagai menunggu saat mati sahaja. Namun bayangkan jika hari kiamat? Sudah pastilah ketakutan yang amat sangat akan menimpa umat manusia jauh lebih menakutkan berbanding gempa bumi. Nauzubillah. Moga kita semua tidak tergolong dalam golongan manusia yang wujud pada saat berlakunya hari kiamat. Kata ulama, umat yang paling buruk nasibnya ialah umat yang mana hidup apabila berlakunya kiamat.


Ingin saya ingatkan pembaca tentang satu nama yang tidak disebut di dalam al-Quran kerana nama ini hina, namun nama ini ada disebut dalam kebanyakan hadis. Orang yang empunya nama ini, jika dicelup tangannya ke dalam laut, pasti dia mampu menyentuh dasar lautan. Ramai pengikutnya ialah dari kalangan perempuan. Mampu menghidupkan orang yang mati dan dia mempunyai syurga dan neraka sendiri. Maka ketahuilah dialah fitnah terbesar akhir zaman, dialah Al-Masih Ad Dajjal.


Inilah salah satu tanda kiamat besar. Dia akan keluar dari Timur dari Khurasan, lalu ia berjalan di muka bumi ini keseluruhannya kecuali Tanah suci Makkah dan Madinah. Bagaimana mungkin Allah membenarkan makhluk yang paling hina ini pijak tanah yang dibawahnya ada jasad yang paling mulia yakni jasad baginda Muhammad S.A.W.. Malaikat menjaga pintu-pintu masuk kota suci ini dari dimasuki dajjal.

Dajjal akan pergi melata di seluruh dunia. Mengumpul pengikutnya dan menghukum mereka yang tidak mahu mengikutnya. Keadaan ketika itu pastilah huru-hara. Manusia-manusia hipokrit akan mudah mengkut Dajjal, manakala yang beriman pula akan diseksa olehnya.


Persoalannya sekarang, apakah kita sudah bersedia bagi menghadapi fitnahnya dajjal? Kalau hari ini kita masih leka dengan kpop, lelaki berlari (running man), raja lawak, maka ketahuilah dengan mudah saja kita menjadi pengikut dajjal. Nauzubillah. Maka sahabat, perbaikilah diri kita, bertaubatlah, jauhi maksiat agar nanti bila dajjal muncul, kita mampu menentangnya. Amalkan membaca surah al Kahfi, sekurangnya 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir setiap hari, hafallah agar kita terlindung dari fitnah dajjal. InsyaAllah.


Melihat tanda-tanda kiamat sepatutnya membuat kita insaf dan bertaubat padaNya. Bukan terus leka melayan hawa nafsu. Moga kita semua tidak tergolong dalam golongan yang leka. Yakni golongan yang disebut dalam hadis nabi sebagai golongan yang menghidap penyakit 'wahan' yakni cinta akan dunia dan takut akan mati.


Pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ingatlah bahawa hari kiamat itu pasti, cuma kita tidak tahu bila ianya akan berlaku, maka persiapkanlah dirimu. Kata ulama, kiamat kecil pada diri manusia itu ialah kematian dirinya, yakni keluarnya roh dari jasadnya. Sakit dan menakutkan. Apakah kita sudah bersedia? Selalulah bertanya pada diri kita, andai aku mati saat ini, apakah nasibku syurga atau neraka? Insaflah, cukuplah dengan gelak tawa hiburan dunia yang sia-sia, kelak kita binasa.

Hari ini tanah dibawah kita, satu hari nanti pasti tanah pula yang berada di atas kita. Saat gelap itu hanya mampu diterangi dengan amal kita di dunia. Dalam kubur nanti kita SOLO, takkan nak jawab SO-SO. Dipukuli palu atau berehat ketenangan bergantung kepada apa yang kita buat sekarang saat kita hidup. Mati tidak mengira usia. Bertaubatlah.

Allah itu tujuan utama, 

(Allahu ghayatuna) 

Rasul itu contoh tauladan, 

(Ar-Rasul qudwatuna) 

Quran itu panduan utama, 

(Al-Quran dusturuna) 

Jihad itu jalan juang pilihan, 

(Al-Jihad sabiluuna) 

Mati di jalan Allah adalah cita-cita yang tertinggi. 

(al-Mautu fi sabilillah asma amanina)

Sunday, March 24, 2013

Hormat ibu bapa

Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.

Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.

Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.

Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)

Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.

“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.

“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.

Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.

Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.

“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )

Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.

Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)

Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.

Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.

Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat

dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.


p/s Gambar hiasan : Ummi dan abi saya yang tercinta.

Wednesday, February 27, 2013

Air mata

Air mata ialah sesuatu yang sangat bernilai harganya. Air mata itu sangat mahal harganya, maka jangan biarkan ia gugur berderai atas sebab-sebab yang remeh temeh. Kata ulama, setitis air mata yang gugur di dunia kerana takut akan Allah mampu memadam selautan jahannam (neraka), namun sebanyak mana pun air mata yang gugur akhirat kelak hanya tangisan yang sia-sia.


Cuba kita lihat dan renung balik diri kita, apakah kita meletakkan nilai air mata sesuai pada tempatnya ataupun tidak?


Hari ini orang menangis bukan lagi atas sebab rasa insaf, dan penyesalan atas maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan. Namun seringkali kita melihat orang menangis kerana hal-hal yang remeh temeh.


Contohnya, menangis apabila melihat drama-drama korea. Kononnya, simpati dan kasihan kepada watak di dalam sebuah drama.


“Kesiannya Go Mi Nam kena macam ni.. kejamnya..” 
kata Alia di dalam hatinya, sambil menahan sebak didada.


Menonton drama-drama korea sehingga membuatkan air mata mengalir ialah suatu yang tidak wajar. Ini bukan soal, ada perasaan atau tidak. Namun ini soal harga dan nilai titisan air mata kamu yang sudah hilang harga dan nilainya.


“Baik akhi.. saya tukar siaran lain.” 
Alia mengalih pula ke rancangan lawak-lawak.


Sambil menonton, dia mula ketawa berdekah-dekah, terbatuk-batuk apabila adegan lawak berjaya mencuit hatinya. Tanpa disedari air mata turut mengalir akibat ketawa yang berlebihan.


“Hahaha.. lawak betul mamat ni.”



Maka sedarlah sekali lagi air mata telah di downgrade-kan serendah-rendahnya. Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud:


“Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia).”


Kita perlu ingat, bahawa air mata seorang daie original itu tinggi value-nya. Maka jangan lah dengan mudah kita biarkan ia mengalir atas asbab yang sia-sia. Lebih-lebih lagi membiarkan dia mengalir apabila menonton drama korea atau maharaja lawak. Ini semua langsung tidak meletakkan nilai kepada air mata kita. Air mata orang beriman itu dicurahkan di tikar sejadahnya dalam sujudnya di sepertiga malam, dan di dalam tadahan tangannya semasa berdoa kepada Allah. Ayuhlah sahabat, kita kembali mengangkat harga setitis air mata.


“Belumkah tiba masanya bagi orang-orang yang beriman, supaya hati mereka tunduk mengingati Allah.” (Al-Hadid: 16)



p/s : Gambar hiasan : Bersama adik-adik saya, Lepas ni nak gi majlis khatan dekat rumah sedara,

Sunday, January 27, 2013

4D ancaman Daie



Dating

Apabila bergerak sebagai seorang daie, dia mula dilihat baik, soleh dan solehah pada pengamatan orang lain. Orang melihat dia selalu post benda-benda baik dan kadang-kadang berdakwah pada orang, menasihati orang lain dan banyak lagi. Tambahan dia juga mungkin makin bertambah sopan dari sebelumnya. Maklumlah kini dia ialah seorang daie. Dia bukan lagi budak hingusan yang tiada tujuan hidup.


Nilai-nilai inilah yang dilihat oleh orang lain, dan sering kali orang suka untuk mendekati mereka yang alim dan solehah ini sebab mereka baik.


Si Kiah mula tertarik dengan sifat warak Si Leman yang selalu azan di masjid, dan di tempat lain pula Si Jebon tertarik dengan Si Rosmah yang bertudung labuh.


Ini kenyataan saudara, manusia lain menilai kita dan akan tertarik dengan ciri-ciri baik yang dimiliki kita. Lebih-lebih lagi kita ialah seorang yang islamic. Lagilah ramai yang tertarik.


Jika kita menjadi daie, untuk menarik minat ajnabi, maka ketahuilah, inilah hipokrit terbesar di dunia. Anjurkan program dakwah, dan berucap di depan orang ramai sebab nak mengorat ajnabi. Buat group whatsaap, dengan nama ‘usrah online’ kononnya, ikhtilat entah kemana, ‘haha’ sini dan ‘hihi’ sana, tunjuk baik dan alim sebab nak mengorat. Masing-masing mahu dianggap ‘akulah lelaki paling soleh idaman semua wanita’ atau bagi yang akhwat pula mahu dianggap, ‘akulah wanita paling solehah idaman semua lelaki. Hancur.. hancur.. hilanglah daie dan bangkitlah romeo dan juliet versi islamic. Versi enta dan enti.


Download


Apabila semuanya di hujung jari, dunia tidak mengerti lagi erti sempadan yang dibuat dari batuan atau lautan yang menghalang. Baik tempat setinggi gunung atau gelap di laut yang dalam, semuanya boleh dicari di internet. Cakap sahaja apa mahu. Puff.. terpaparlah di screen smartphones, laptop atau ipad.


Hari ini bukan setakat pemuda dan pemudi yang didedahkan dengan gadget-gadget canggih, budak kecil, bahkan atok dan nenek yang tua pun boleh jadi lebih expert dari kita.


Bukanlah semua yang di download itu tidak baik, namun jika salah pilih, maka kesannya sangat buruk sehingga mampu membunuh jiwa sang daie.


Games.. seperti clash of clan yakni sebuah game yang popular pada masa ini dapat di download dengan mudah di apps store atau di play store. Saya tak cakap main game itu salah. Namun sebagai seorang daie, kita perlu sedar kita ada tanggungjawab yang lebih besar yang perlu dilaksanakan. Bagaimana mungkin menjadi seorang daie tapi 24jam mengadap game, jaga kampung kononnya, daripada diserang orang. Risau nanti duit dan elixir dalam game itu dicuri. Tapi akhi, masa yang emas itu lagi mahal harganya, dan ironinya, kita biarkan masa itu dicuri dengan rela?


Itu games, kalau drama pula? setiap minggu satu episode baru keluar. Menghitung hari, bila lah nak keluar. Baik drama korea mahupun cerita-cerita bersiri english macam the flash, arrow dan lain-lain yang mampu membuatkan peminat tegar akan gelisah jika dalam masa seminggu takde keluar yang baru. Apabila hati daie itu diisi dengan perkara-perkara sebegini, pasti sukar untuknya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang daie. Mana tidaknya, bayangkan jika hari ini sepatutnya ada usrah, tapi.. naruto episode baru keluar malam ni! Maka dia pun membatalkan usrahnya. Parah.


Derhaka


Apabila berbicara pasal derhaka, kita boleh melihat dari banyak aspek. Tapi yang penting untuk dielakkan ialah derhaka pada tanggungjawab sebagai seorang daie.


Seseorang daie itu sedia maklum akan tanggungjawabnya dan komitmen yang perlu diberi olehnya untuk memperbaiki masalah umat. Dia tahu, tugasan ini wajib buat dirinya. Namun dia malas, dan meninggalkannya terus. Inilah daie yang derhaka. Dia bukan sahaja derhaka kepada tugasnya sebagai daie namun tanpa disedari dia telah derhaka pada perintah Allah S.W.T.. Pelbagai alasan dan helah diberikan, namun dia hanya akan menipu diri sendiri. Tengelam dalam mimpi dan fantasi.


Kadang-kadang terdapat para daie yang merasakan dirinya sudah cukup hebat dan gempak, sehingga dia menderhakai murabbinya. Seorang daie itu pasti memiliki murabbi yang menjaganya yang mentarbiyahnya dari awal pengenalannya dengan tarbiyah. Saban hari dia belajar dan mungkin pada hematnya, perjuangannya sendiri tampak lebih hebat, maka dia bersikap sombong kepada murabbi yang pernah mendidiknya itu.


“Dia sudah tidak mahu mendengar nasihat, kerana dia fikir dirinya sudah cukup sihat, tanpa disedari hatinya mati tanpa nasihat, disangkanya benar tapi sesat”.


Daie yang mempunyai sifat derhaka ini mudah cenderung kepada rasa ujub dan takjub pada diri sendiri. Dia merasakan dirinya paling hebat, maka sudah pastilah apa-apa datang dari orang lain akan dilihat remeh dan akan dipelekehkan olehnya.


Sifat derhaka ini perlu dijauhi oleh para daie, disimpan dalam peti, dan ditanam jauh-jauh di dalam tanah. Kita tak mahu daie yang sebegini, dia ada amanah dan tanggungjawab yang besar. Mana mungkin seorang daie yang derhaka kepada Allah dan tugasan dakwahnya mampu menjalankan dakwah dengan benar. Kita daie original, menjauhi sikap derhaka. Buang ia dari kamus kita.


Dilema


Apakah yang dimaksudkan dengan dilema? Apakah yang dimaksudkan dilema yang menjadi masalah di dalam perjuangan seorang daie? Maka ketahuilah dilema yang dimaksudkan ialah dilema dengan diri sendiri.


Seorang daie itu sering bermonolog dalaman, bercakap dengan dirinya sendiri terutama apabila dia merefleksi diri. Mungkin ujian, cabaran dan dugaan yang dihadapinya dirasakan begitu berat, maka daie ini duduk terperangkap dalam dilema yang memakan diri. Saban hari dia merasakan dirinya terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan dakwah ini. Dia merasakan bahawa dirinya tidak layak untuk bersama sahabat-sahabat yang lain yang pada hematnya jauh lebih hebat dari dirinya. Segala kelemahan diri mula menghantui diri. Dilema ini membuatkan dia berasa bahawa dia ialah seorang yang gagal.


Masalah dilema diri ini bukan masalah kecil, namun ia perlu diambil dengan serius kerana dikhuatiri mampu menjerut mati semangat dakwah sang daie. Daie yang menghadapi masalah dilema ini akan mengundang padah yang lebih buruk sekiranya dia tidak berkongsi masalah yang dialaminya dengan orang lain. Dia mula menjauhkan diri, menyediri dan seterusnya lari. Ini satu penyakit yang berbahaya dan perlu dicegah.


Tanggungjawab terletak pada sahabat-sahabat daie yang lain untuk menjaga dan sentiasa melihat keadaan sahabat-sahabat mereka. Jika dirasakan sahabat itu mempunyai masalah, maka datangilah mereka dan berikan kata-kata semangat. Sesungguhnya memang jalan dakwah ini susah, kita merasai penatnya, letihnya namun inilah pengorbanan dan harga yang dituntut untuk membayar mahar syurga firdausi.