Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Monday, January 10, 2011

Buih-buih

Sabda Baginda S.A.W.: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut." 




Begitulah baginda menggambarkan keadaan umat di akhir zaman, bagaikan buih dilautan. Hakikatnya, benar kata baginda, lihatlah hari ini ternyata bahawa bilangan umat islam di dunia sudah cukup banyak. Namun jumlah yang banyak ini tetap tidak berjaya untuk menjaga kemaslahatan umat. Apabila penyakit wahan menjadi barah di dalam jiwa umat, akhirnya umat menderita dan terus dipijak dan dihina. Umat yang akhirnya hanya bagaikan buih di lautan.

Pernah tak kita listkan ciri-ciri buih dan cuba kaitkan dengan diri kita, agar dapat kita mengambil pengajaran, dan iktibar. Apakah buih ini sinonim dengan kehidupan kita? Mari kita sama-sama perhatikan.


Salah satu daripada sifat buih ini ialah kembung tidak berisi. Tidakkah kita melihat ramai antara kita yang luarnya kelihatan gah, berhujah, berpidato dan menulis sana sini. Namun apabila dilihat dari sudut amal, jauh sekali. Subuh pun sukar untuk bangun bahkan ada juga yang solatnya culas, berjemaah jauh sekali. Apakah ciri ini terdapat di dalam diri kita? Hebat dengan status dakwah panjang lebar, namun practicalnya kosong. Maka istighfarlah, jangan jadi orang yang hipokrit. Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang menjadikan agama sebagai topeng untuk menyembunyikan diri yang sebenar. Malulah. Buih ini juga sifatnya mudah pecah baik dengan sentuhan yang kasar mahupun yang lembut. Jadi bagaimana kita mahu kaitkan dengan umat? Baik dari sudut semangat, azam, dan cita-cita, hakikatnya kita mudah berputus asa. Apabila datang sedikit dugaan dan mehnah dariNya, kita cepat putus harapan dan menyerah. Inilah kelemahan yang dapat kita saksikan, seringkali menyalahkan takdir, dan buruk sangka pada Allah apabila menerima ujian. Lupakah kita, bahawa Allah tidak menguji hambaNya melainakan sesuai dengan kemampuannya. Meskipun kita rasa sukar, namun yakinlah yang sebenarnya kita mampu menghadapinya. Kuatlah dan jangan biarkan diri kita pecah baik dari segi harapan mahupun semangat.


Tidak dilupakan buih ini juga sifatnya ringan ditiup angin. Suka untuk saya gunakan analogi ini untuk menggambarkan umat islam pada hari ini tidak mempunyai prinsip yang kuat. Pegangan iman yang lemah yang mudah ditiup ke kiri dan ke kanan oleh mainan media liberal, sekular dan lain-lain. Tidakkah kita melihat hari ini umat islam khususnya di negara kita seringkali tertipu dan mudah terikut dengan agenda yang di bawa oleh musuh islam, terperangkap dengan agenda toleransi dan apolegetik berlebihan. Orang cakap begini dan begitu, semua ikut tanpa mendasari perinsip iman yang benar. Lupa untuk menimbang dengan neraca iman baik buruk suatu perkara. Sedihnya, apabila ada golongan yang cuba mempertahankan islam, mereka pula yang dipersalahkan dan dituduh dengan alasan tidak ikut arus peredaran masa dan ketinggalan kononnya. Tepuk dada dan tanya iman kita, apakah islam perlu ikut masa, atau masa yang perlu ikut islam? Kuatkanlah prinsip hidup dan banggalah dengan islam, jangan biarkan islam dipermainkan dan dihina. Kenali mana musuh kita. Kerana untuk menjadi umat islam yang baik maka dia perlu mengenali siapa yang menentang islam, yakni musuh.


Buih ini juga saling memecahkan antara satu sama lain. Bayangkan dua buih sabun yang letaknya bersebelahan, jika salah satunya pecah, maka percikannya akan memecahkan yang sebelahnya. Tidakkah ini jelas melambangkan sikap umat pada hari ini? Tiada sikap bantu membantu dan kerjasama antara negara islam contohnya. Bahkan ada diantara negara islam itu sendiri yang saling bermusuhan. Cuba menjatuhkan antara satu sama lain. Tak dinafikan perpecahan umat islam disebabkan oleh campur tangan kuasa asing, namun bak kata abang maher zain, 'it's easy to blame everything on the west, but in fact, all focus should be in ourselves.' Benar bukan? Jika hendak salahkan America atau Yahudi itu memang kerja mudah. Namun hakikatnya ialah salah diri kita sendiri. Kita yang gagal mengamalkan islam yang sebenarnya. Sibuk dengan agenda sekular dan liberal yang dibawa barat. Meletakkan agama hanya di masjid, maka kesannya dapat dilihat apabila umat sering bergaduhan dan mengebom sesama sendiri. Sukar menghulurkan bantuan dan sibuk dengan perpecahan dalaman. Insaflah. Jika kita hendak mengubah dunia, maka mulakan dengan mengubah diri kita sendiri. Kita boleh melakukannya.


Selain itu, buih ini juga sifatnya tidak kekal kemaraannya, lihat sahaja buih ombak di pantai, ia mara menyentuh kaki kita dan terus kembali semula kebelakang, kemudiannya kembali lagi dan begitulah seterusnya. Jelas bukan? Inilah salah satu lagi kelemahan umat islam pada hari ini, apabila ada perpaduan atau kerjasama yang dicapai ia tidak kekal istiqamah. Contoh mudah yang dapat saya berikan ialah kampen boikot MacDonald. Pada mulanya semua umat islam dapat bersatu dalam usaha boikot MacDonald, sehingga MacDonald mendapati penurunan keuntungan. Namun kesepakatan ini tidak lama, apabila umat islam kemudiannya seakan-akan lupa dan mula membeli kembali. Inilah yang dimaksudkan tidak kekal kemaraannya, yakni tidak istiqamah dan hanya bertindak mengikut trend. Dimanakah keikhlasan dalam perjuangan? Ayuhlah sahabat, kita ikhlaskan perjuangan kita, bukan sekadar ikut-ikut orang. Ingatlah bahawa kemaraan yang istiqamah hanya mampu lahir dari niat yang benar.


Ambillah ibrah dan pengajaran dari ciri-ciri buih itu tadi. Mungkin pembaca dapat memikirkan banyak lagi ciri-ciri yang boleh kita kaitkan dengan masalah umat. Perbaiki diri dan sebarkan kebaikan agar kita sama-sama bangkit dalam memperbaiki diri. Menjadi sempurna itu mustahil, kerana kita manusia biasa, namun yang membezakan kita ialah sejauh mana usaha kita untuk berubah. Kerana sekadar menjerit untuk berubah namun tidak disertakan dengan perbuatan hanyalah sia-sia. Yakinlah, bahawa buih-buih ini mampu terbang tinggi dan digeruni musuh islam jika kita benar-benar mengikut al-Quran dan sunnah baginda. InsyaAllah dengan ilmu dan kefahaman islam yang sebenar, ianya akan menjadi umpama antibiotik yang dapat membasmi pengakit wahan. Berubah!