Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Thursday, December 9, 2010

Acah gempak


Satu perkara penting yang perlu kita hadam betul-betul ialah mengenali perbezaan antara ‘acah gempak’ dan ‘ambil berat’.

Acah gempak

Orang yang macam ini kebiasaannya nak tunjuk diri dia hebat semuanya. Apa sahaja isu baru pasti dia akan jadi orang yang mahu mengeluarkan pendapat. Contohnya isu habib-habib yang dikaitkan dengan tarekat-tarekat tertentu yang diharamkan di Malaysia. Maka terus dia jadi orang yang pakar dalam bidang agama.


“Pada pendapat ana.. habib-habib ini.. dia begitu.. dan ana rasa pendapat ana paling wajar diterima dan pendapat yang lain semua salah.”


Lepas tu mungkin ada isu-isu bola sepak, maka dia berubah pula menjadi seorang yang pakar perundangan dalam bidang bola sepak.


“Mengikut undang-undang bola sepak FIFA yang terkini.. sepatutnya offside.. mana ada gol.. reff tak tahu undang-undang bola.. aku dulu wakil kampung!”


Ada sahaja isu semasa dia pasti mengeluarkan pendapat. Sehinggakan isu-isu akidah dan isu-isu yang melibatkan nyawa orang lain pun dia hendak berikan pendapat.


“Kemalangan ini sebenarnya ialah salah pemandu ini, dia sepatutnya… salah diri dia sendiri.. keluarga dia terkorban.”


Sifat acah gempak ini perlu dijauhi. Jangan terlalu ghairah untuk memberi komen atau pandangan terhadap sesuatu isu. Untuk sesetengah isu ianya adalah lebih baik sekiranya kita berdiam diri, dari sibuk menjual diri, menagih puji. Tambahan isu-isu yang melibatkan nyawa orang, ini bukan isu yang boleh kita buat main. Kita khuatir dalam syok sendiri itu, kita mula menyebarkan fitnah. Memburukkan keadaan yang sedia ada.


“Cukuplah nak tunjuk ‘pada pendapat..’, ‘pada pendapat..’, sebab bukan kita seorang yang ada pendapat. Belajarlah erti hormat, agar diri selamat, daripada menjadi agen pemfitnah maklumat.”


Ambil berat

Namun, kita sebagai umat islam, perlu memiliki sifat ambil berat dan ianya sudah pasti sebuah sifat yang berlainan dengan ‘acah gempak’. Orang yang ambil berat akan sesuatu hal, tidak akan mudah untuk mengeluarkan pendapat. Kerana dia sedar, ini bukan perkara yang boleh dihujahkan sewenang-wenangnya. Dia akan menjalankan kajian, membaca kitab-kitab tertentu atau bertanya kepada ahlinya untuk mendapat maklumat yang sebenar.

Sesudah mendapat maklumat yang sahih dari sumber-sumber yang benar, maka dia akan membuat sebuah konklusi. Dia akan lebih mengambil sikap berdiam diri dan memerhati. Segala-gala isu akan disiasat olehnya terlebih dahulu tanpa perlu ghairah untuk mengeluarkan pendapat. Meskipun dia turut keluar dengan sebuah pendapat akhirnya. Namun dia tidak memilih untuk mengutarakan pendapatnya di media sosial namun dia lebih suka untuk berdiscusi dan berbincang face to face bersama sahabat-sahabat seperjuangannya.


Inilah sifat orang yang ambil berat. Jarinya tidak menggelupar untuk update status-status baru tentang isu-isu semasa. Dia lebih banyak berdiam diri dari mengemukakan pandangan. Dia lebih suka menjauhi perdebatan kosong di laman sosial. Dia sedar, segala isu perlu diadili dengan sempurna, dan dia bukanlah orang yang gopoh dan terburu-buru.


Seringkali kita melihat perkara ini terjadi bukan? pasti ada dalam kalangan sahabat kita yang terlalu semangat dengan isu-isu semasa. Ini yang salah. Semangat itu bagus, namun jika semangat berlebihan yang tidak terkawal, ini yang jadi tidak bagus. Golongan sebegini hanya mahukan perhatian, dan seringkali hujahnya bukan hujah yang benar dan hanya berunsur kritikan. Kritikan yang diberikan seringkali sebuah kritikan yang menjatuhkan bukannya sebuah kritikan yang membina.


Jauhi sifat ini, dan jadilah seorang daie yang ambil berat, bukannya seorang yang acah gempak.

p/s Gambar hiasan. Baru lepas habis inspection. Dekat sini, inspection setiap weekend. Ala-ala army macam tu. Hihi.

Till then. Assalamualaikum.