Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Tuesday, December 28, 2010

Al-Haya'


Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalang kita dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu itu dimana seseorang tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Bahkan baginda Muhammad S.A.W sendiri adalah seorang yg sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir. Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud,


"Iman itu mempunyai lebih daripada 60 cabang, dan haya' (malu) itu satu cabang dari iman." (HR Muslim).

Hakikat malu itu ialah sifat yang mengerakkan seorang untuk meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan akhlak orang lain. Sifat malu ini umpama perisai orang beriman. Malu dengan Allah, dan rasulNya, malu kepada manusia dan malu kepada diri sendiri. Orang yang tidak mempunyai rasa malu kepada Allah sudah pasti tidak mempunyai rasa malu pada diri sendiri. Sebab itu, hari ini maksiat tidak lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi, namun dilakukan secara terang-terangan. Bahkan ada yang berbangga dengan maksiat yang dilakukan bagaikan maksiat itu perkara biasa. Inilah yang berlaku apabila perisai malu itu luntur.

“Malu itu umpama tembok besi adamantium yang mampu menjaga diri dan hati kita. Namun sekukuh adamantium sekalipun mampu menjadi selembut kapas jika tewas dek godaan hawa nafsu dan bisikan syaitan.”

Maka, letakkankah malu pada pandangan, percakapan, dan perbuatan. Barulah bila dikatakan malu sebahagian daripada iman.


Bagi orang yang mempunyai maruah dan harga diri, setiap perbuatan yang memalukan, samaada dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara pasti dia sedaya upaya mengelak dari melakukannya. Inilah yang dikatakan malu menjadi perisai diri daripada melakukan perkara yang ditegah agama, undang-undang dan juga tatasusila kemanusiaan.

“Janganlah sekadar mengaku malu, tapi sebenarnya tidak malu, seperti meletakkan gula tanpa bungkusan di tengah jalan. Apabila dikerumuni semut-semut, maka semut pula yang dipersalahkan. Padahal, diri sendiri lupa untuk sarung dengan bungkusan”.

Usaha mengelak melakukan perkara dan perbuatan yang memalukan bukan sahaja daripada pengetahuan manusia namun yang utama itu ialah daripada Allah. Namun, sudah pastilah Allah Maha mengetahui apa yang dilakukan oleh manusia meskipun cuba disembunyikan.

Sesiapa yang tidak mempunyai rasa malu merefleksikan iman yang lemah. Kalau kita hari ini, tak solat, tak puasa, tak tunaikan kewajiban sebagai individu muslim, maka ketahuilah puncanya ialah daripada benteng malu kita yang telah roboh.

Ayuhlah sahabat, kita kembali mengutip dan menyusun batu-bata iman dan disemen dengan air mata taubat agar benteng malu itu kembali berdiri kukuh. Kita belum terlambat, bahkan kita tak pernah terlambat untuk berubah, selagi kita masih mampu bernafas maka azamkan perubahan dalam diri kita. Allah Maha pengampun dan Maha penerima taubat.

Till then. Assalamualaikum.