Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, September 12, 2010

Futur



Futur

Ianya ialah penyakit yang sering menyerang para daie. Uniknya penyakit ini, kerana ia terus menyerang pada qalbun atau hati seseorang. Ianya membuatkan seseorang rasa kecewa, malas dan berputus asa. Penyakit ini boleh di diagnosis dengan mudah, terutama apabila seseorang kelihatan mula menjauhi jemaah atau kerja-kerja dakwah. Penyakit ini menyerang tanpa mengira usia, jantina dan warna kulit. Ianya menyerang para daie tanpa mengira sama ada daie tersebut ialah veteran dakwah ataupun daie yang baru nak jinak-jinak dengan lapangan dakwah.


Penyakit ini sukar diubati, namun dapat dikenal pasti, 

Ubatnya tidak dijual-beli, namun dapat dibuat sendiri, 

Ketika itu diri teruji, mahu dipuji atau mencari yang hakiki, 

Semuanya bergantung pada diri, mahu mengubati, atau cabut lari. 


Apabila seseorang daie itu dihinggapi penyakit futur ini. Dia mula rasa penat dengan usaha dakwahnya. Dia rasa kecewa atas sedikit kegagalannya dan kurang pencapaiannya. Dia rasa dirinya seakan-akan tidak dihargai. Orang lain memandang rendah akan dirinya. Rasa benci kepada sesetengah sahabatnya mula meninggi. Perjuangan orang lain mula diraguinya. Dia sedih dan rasa muram. Menjauhi sahabat seperjuangan. Menutup pintu bilik dan duduklah si dia bersendirian. Kitabnya dan catatan usrahnya dibuang ketepi. Kecewa dan penat, duduklah dia bersendiri.


“Akhi.. saya sudah penat dengan kerja dakwah ini, saya kecewa dengan sikap sesetengah ahli jemaah yang bajet baik nak tunjuk hebat. Orang lain sering salah faham akan niat baik saya. Apa yang saya buat semuanya salah. Saya sudah pasrah dengan kerja dakwah ini. Semuanya poyo. Maafkan saya akhi.. saya nak keluar jemaah..”


Saya kira ayat di atas itu tergolong dalam ayat futur tahap 6, tinggi la kiranya, boleh masuk Ripley's Believe it or Not! Kekecewaannya menggunung tinggi sehingga dia mahu keluar jemaah dan seterusnya mahu tinggal kerja dakwah. Pergh. Hardcore bukan penyakit futur ini? Tambahan kata-kata itu bukan dilafazkan oleh orang baru dalam dakwah, namun kadang-kadang yang sampai tahap macam ini ialah orang yang sudah lama dalam perjuangan dakwah. Orang yang sudah lama memakai title daie. Orang yang sudah menjadi naqib atau naqibah usrah. Namun akhirnya dikalahkan juga dengan perasaan futur ini. Semuanya kerana Allah nak uji keikhlasan di dalam hati para pejuang ini. Apakah kerja kita selama ini sebuah kerja yang hipokrit atau sebuah kerua yang ikhlas keranaNya. Dengan ujian itu, ikhlas akan terbukti original atau ciplak.


Disaat kita rasa mahu putus asa itu, cuba ingat balik mengapa kita mahu menaiki gerabak ini satu ketika dahulu. Carilah kekuatan dan semangat itu kembali.


Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ingin saya kongsikan sebuah analogi menarik untuk diambil iktibar dan pengajaran buat kita semua.


Perjuangan dakwah ini ialah umpama menaiki sebuat kapal yang besar. Berlayar di tengah lautan menuju ke sebuah destinasi yang pasti. Di dalam kapal itu pastinya terdapat ramai orang, dengan perangai yang pelbagai. Ada jurumudi kapal, ada yang mengawal layaran, ada yang sekadar menumpang kapal, dan bermacam-macam lagi. Kita juga turut sama di dalam kapal itu. Mungkin kita tidak berasa selesa dengan sesetengah orang yang berada di atas kapal. Mungkin ada yang tak mandi, busuk dan mungkin juga ada yang suka main-main dan tidak serious. Kita rasa rimas dengan mereka, lantas kita mengambil keputusan untuk meninggalkan kapal.

“Sudahlah.. aku sudah tak mampu bertahan lagi.”

Maka terjunlah kita ke dalam laut. Mengambil keputusan untuk berenang sahaja untuk sampai ke destinasi. Mungkin sehari dua kita mampu untuk terus berenang dan berenang. Namun pasti akan tiba satu masa kita sudah keletihan dan tidak mampu untuk berenang lagi. Sejuk di malam hari dan belum kira lagi pemangsa-pemangsa seperti ikan jerung yang banyak di lautan itu. Bagaimana pula dengan perut yang kian kelaparan?


Saat itu kita mula merindukan makanan yang terhidang di dalam kapal, mungkin bukanlah makanan yang enak, namun tetap ada makanan untuk mengisi perutnya. Mungkin katil yang di atas kapal itu tidak empuk namun itu lebih baik dari kesejukan diselimuti air laut. Mungkin kawan-kawan di atas kapal itu menjengkelkan, tapi itu jauh lebih baik dari jerung-jerung yang mahu membuat kita jadi santapan.


Begitulah analogi mudah untuk kita fahami perjuangan di dalam medan dakwah ini. Kita perlu sentiasa ingat, meskipun rakan seperjuangan kita tidak menyenangkan hati kita namun jauh di dalam lubuk hati mereka terdapat jiwa daie yang sama seperti kita. Mahu berjuang seperti kita. Mahu mendapat rahmat, keampunan dan keredhaan dariNya. Meskipun luarnya kita berbeza namun jauh di dalam lubuk hati setiap daripada kita itu terdapat sebuah kesamaan yang indah untuk menggapai satu tujuan yang abadi. Inilah yang terdapat dalam jiwa daie. Janganlah kita mengharap kesempurnaan, hakikatnya kita semua ialah manusia yang mempunyai banyak kelemahan. Mereka dan kita bukannya malaikat. Meskipun abang naqib atau kakak naqibah kita sekalipun, mereka itu juga manusia biasa, yang tidak akan lari dari membuat silap.


Kita mudah mempunyai rasa tidak senang terhadap orang lain, tapi jangan kita lupa diri, pastinya dalam masa yang sama bukan semua orang menyenangi kita. Inilah lumrah kehidupan. Medan persahabatan ini juga medan ujian buat para daie. Duduk dalam jemaah menuntut kita untuk berlapang dada. Jangan mengangkat diri mulia dan kita hendaklah saling hormat menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.


Para daie yang original itu pasti dan wajib memahami akan realiti ini. Dia akan menjadi seorang yang sangat pemaaf dan mudah menerima orang lain. Dia sedar di dalam hati-hati ini terdapat kesamaan, dan dengan kesamaan inilah dia terus mengikat dirinya pada jalan Allah ini. Cintanya pada jalan ini tidak dapat dihitung lagi, datanglah ujian dan mehnah setinggi ombak tsunami sekalipun, pasti dapat dia tempuhi dengan redha. Dia sedar, Allah sedang mengujinya, dan dia yakin bahwa semua yang berlaku itu, adalah dengan izinNya.


Nasihat saya, meskipun kadang-kadang kita rasa letih dan penat, tak mengapalah, ambil masa duduk dan berehat sejenak. Namun pastikan dalam rehatmu itu tidak melepasi ‘lower limit’, yakni jangan sampai tinggal solat, tinggal amal wajib, jangan sampai tinggal semuanya. Namun berehatlah sekadar perlu. Apabila sebuah kekuatan telah dapat dicari, maka bangkitlah kembali dengan penuh bergaya seperti sepakan kuat dan padu Lionel Messi membolosi gawang gol. Macam tuh!


Kali ini bangkitmu bukan bangkit yang biasa-biasa. Namun kali ini kamu bangkit dengan misi untuk menjadi jauh lebih hebat dari sebelumnya. Inilah sifat yang perlu ditanam dalam jiwa sang daie original.