Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Monday, September 6, 2010

Ijismina

Biasakah pembaca menaiki bus? Contohnya pulang ke kampung atau kembali ke kolej. Mungkin ada juga yang menaiki bus bagi menuju ke tempat kerja. 




Contohnya saya sendiri ialah seorang yang sudah biasa menaiki bus. Berulang pergi dan balik dari rumah saya di Pahang dan sekolah MCKK di Perak. Perjalanan yang memakan masa 5 jam duduk di dalam bus bermusafir itu sudah menjadi kebiasaan. Pasti juga ramai pembaca yang seperti saya bukan?

Saya menulis article ini kerana saya mahu berkongsi kepada pembaca bahawa sebenarnya aura bus ini sebenarnya ialah aura tarbiyah.

Hairan bukan?

Tapi itulah yang sering saya rasakan apabila bermusafir menaiki bus. Terutama jika bermusafir di waktu malam sambil ditemani oleh lagu-lagu nasyid yang shahdu didengari melalui earphone. Perjalanan musafir seorang pelajar. Sungguh, sangat mudah air mata saya mengalir keinsafan. Waktu yang lama duduknya kita di dalam bus itu ialah waktu yang sangat sesuai untuk kita memikirkan kembali apa yang kita lakukan dan menginsafi diri. Kadang-kadang tu saya menangis dalam gelap rasa malu dengan dosa-dosa yang dibuat. Orang tak nampak, hanya cahaya lampu jalan yang malap menemani, cukuplah untuk saya melepaskan air mata keinsafan sampai puas. Seribu ketenangan dapat dirasai sepanjang perjalanan dengan menaiki bus. Saya juga biasa bermusafir menaiki kapal terbang, kereta, train, namun aura bus tetap jauh lebih hebat dari menaiki pengangkutan lain. Kalaulah diberi pilihan untuk memilih kenderaan bagi perjalanan musafir, pasti saya akan memilih bus. Kerana bagi saya, bus ialah bagaikan sebuat pit stop yang sesuai untuk saya kembali menilai diri dan menginsafi diri di sepanjang perjalanan. Itulah kelebihan aura bus yang saya dapati tidak terdapat pada pengangkutan awam lain.

Saya mahu mengajak para pembaca untuk turut sama merasai aura bus ini, lahirkan suasana menginsafkan diri, banyakkan beristighfar di dalam perjalanan sambil mengenang dosa kita, maka insyaAllah sekeras mana pun hati kita pasti mampu dilembutkan apabil menyebut nama-nama Allah.

Mata yang merenung ke luar tingkap bus, disebalik halangan langsir kita mengintai ke luar. Melihat manusia yang pelbagai gaya dan cara menuju ke sana dan kesini dengan tujuan masing-masing. Ada yang miskin ada yang kaya.

Kemudian kita melihat pula tumbuhan-tumbuhan hijau yang menyejukkan mata. Allah… tidakkan itu mampu membuatkan hati itu tenang. Dan ketahuilah bahawa hati yang tenang ini mudah untuk menangis kinsafan. Ijismina.. Duduk dan beriman sejenak. Memikirkan kehidupan kita, dan apa yang telah kita lakukan padanya.

Tambahan aircond bus yang mula membuatkan diri sejuk, kita mengetatkan baju sejuk memeluk diri sendiri. Allah.. Allah.. Sungguh, jika kita betul-betul mahu menginsafi diri pasti kita mampu melakukannya sepanjang duduknya kita di dalam bus itu. Yang penting kita benar-benar ikhlas mahu bermuhasabah. InsyaAllah, hidayah akan menyapa ke muka pintu hati, berusahalah. Hidayah itu perlu dicari, kerana sukar untuk mengharap ia datang tiba-tiba bergolek kepadamu. Tambahan kita ialah manusia yang sering alpa dan leka.

Ayuhlah kita, bagi yang mahu bermusafir, jadikanlah perjalanan kita suatu yang bermanfaat dan menginsafkan. Usahalah mencipta suasana shahdu yang melembutkan qalbu. Jika saya suka akan aura bus, mungkin pembaca suka akan aura pengangkutan yang lain. Terpulanglah, namun yang penting di sini ialah hati kita, mahu atau tak mahu.

Di kala malam sunyi sepi, kita bermusafir, mencari redha, hadirnya hidayah. InsyaAllah. Ijismina.