Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, September 12, 2010

Futur



Futur

Ianya ialah penyakit yang sering menyerang para daie. Uniknya penyakit ini, kerana ia terus menyerang pada qalbun atau hati seseorang. Ianya membuatkan seseorang rasa kecewa, malas dan berputus asa. Penyakit ini boleh di diagnosis dengan mudah, terutama apabila seseorang kelihatan mula menjauhi jemaah atau kerja-kerja dakwah. Penyakit ini menyerang tanpa mengira usia, jantina dan warna kulit. Ianya menyerang para daie tanpa mengira sama ada daie tersebut ialah veteran dakwah ataupun daie yang baru nak jinak-jinak dengan lapangan dakwah.


Penyakit ini sukar diubati, namun dapat dikenal pasti, 

Ubatnya tidak dijual-beli, namun dapat dibuat sendiri, 

Ketika itu diri teruji, mahu dipuji atau mencari yang hakiki, 

Semuanya bergantung pada diri, mahu mengubati, atau cabut lari. 


Apabila seseorang daie itu dihinggapi penyakit futur ini. Dia mula rasa penat dengan usaha dakwahnya. Dia rasa kecewa atas sedikit kegagalannya dan kurang pencapaiannya. Dia rasa dirinya seakan-akan tidak dihargai. Orang lain memandang rendah akan dirinya. Rasa benci kepada sesetengah sahabatnya mula meninggi. Perjuangan orang lain mula diraguinya. Dia sedih dan rasa muram. Menjauhi sahabat seperjuangan. Menutup pintu bilik dan duduklah si dia bersendirian. Kitabnya dan catatan usrahnya dibuang ketepi. Kecewa dan penat, duduklah dia bersendiri.


“Akhi.. saya sudah penat dengan kerja dakwah ini, saya kecewa dengan sikap sesetengah ahli jemaah yang bajet baik nak tunjuk hebat. Orang lain sering salah faham akan niat baik saya. Apa yang saya buat semuanya salah. Saya sudah pasrah dengan kerja dakwah ini. Semuanya poyo. Maafkan saya akhi.. saya nak keluar jemaah..”


Saya kira ayat di atas itu tergolong dalam ayat futur tahap 6, tinggi la kiranya, boleh masuk Ripley's Believe it or Not! Kekecewaannya menggunung tinggi sehingga dia mahu keluar jemaah dan seterusnya mahu tinggal kerja dakwah. Pergh. Hardcore bukan penyakit futur ini? Tambahan kata-kata itu bukan dilafazkan oleh orang baru dalam dakwah, namun kadang-kadang yang sampai tahap macam ini ialah orang yang sudah lama dalam perjuangan dakwah. Orang yang sudah lama memakai title daie. Orang yang sudah menjadi naqib atau naqibah usrah. Namun akhirnya dikalahkan juga dengan perasaan futur ini. Semuanya kerana Allah nak uji keikhlasan di dalam hati para pejuang ini. Apakah kerja kita selama ini sebuah kerja yang hipokrit atau sebuah kerua yang ikhlas keranaNya. Dengan ujian itu, ikhlas akan terbukti original atau ciplak.


Disaat kita rasa mahu putus asa itu, cuba ingat balik mengapa kita mahu menaiki gerabak ini satu ketika dahulu. Carilah kekuatan dan semangat itu kembali.


Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ingin saya kongsikan sebuah analogi menarik untuk diambil iktibar dan pengajaran buat kita semua.


Perjuangan dakwah ini ialah umpama menaiki sebuat kapal yang besar. Berlayar di tengah lautan menuju ke sebuah destinasi yang pasti. Di dalam kapal itu pastinya terdapat ramai orang, dengan perangai yang pelbagai. Ada jurumudi kapal, ada yang mengawal layaran, ada yang sekadar menumpang kapal, dan bermacam-macam lagi. Kita juga turut sama di dalam kapal itu. Mungkin kita tidak berasa selesa dengan sesetengah orang yang berada di atas kapal. Mungkin ada yang tak mandi, busuk dan mungkin juga ada yang suka main-main dan tidak serious. Kita rasa rimas dengan mereka, lantas kita mengambil keputusan untuk meninggalkan kapal.

“Sudahlah.. aku sudah tak mampu bertahan lagi.”

Maka terjunlah kita ke dalam laut. Mengambil keputusan untuk berenang sahaja untuk sampai ke destinasi. Mungkin sehari dua kita mampu untuk terus berenang dan berenang. Namun pasti akan tiba satu masa kita sudah keletihan dan tidak mampu untuk berenang lagi. Sejuk di malam hari dan belum kira lagi pemangsa-pemangsa seperti ikan jerung yang banyak di lautan itu. Bagaimana pula dengan perut yang kian kelaparan?


Saat itu kita mula merindukan makanan yang terhidang di dalam kapal, mungkin bukanlah makanan yang enak, namun tetap ada makanan untuk mengisi perutnya. Mungkin katil yang di atas kapal itu tidak empuk namun itu lebih baik dari kesejukan diselimuti air laut. Mungkin kawan-kawan di atas kapal itu menjengkelkan, tapi itu jauh lebih baik dari jerung-jerung yang mahu membuat kita jadi santapan.


Begitulah analogi mudah untuk kita fahami perjuangan di dalam medan dakwah ini. Kita perlu sentiasa ingat, meskipun rakan seperjuangan kita tidak menyenangkan hati kita namun jauh di dalam lubuk hati mereka terdapat jiwa daie yang sama seperti kita. Mahu berjuang seperti kita. Mahu mendapat rahmat, keampunan dan keredhaan dariNya. Meskipun luarnya kita berbeza namun jauh di dalam lubuk hati setiap daripada kita itu terdapat sebuah kesamaan yang indah untuk menggapai satu tujuan yang abadi. Inilah yang terdapat dalam jiwa daie. Janganlah kita mengharap kesempurnaan, hakikatnya kita semua ialah manusia yang mempunyai banyak kelemahan. Mereka dan kita bukannya malaikat. Meskipun abang naqib atau kakak naqibah kita sekalipun, mereka itu juga manusia biasa, yang tidak akan lari dari membuat silap.


Kita mudah mempunyai rasa tidak senang terhadap orang lain, tapi jangan kita lupa diri, pastinya dalam masa yang sama bukan semua orang menyenangi kita. Inilah lumrah kehidupan. Medan persahabatan ini juga medan ujian buat para daie. Duduk dalam jemaah menuntut kita untuk berlapang dada. Jangan mengangkat diri mulia dan kita hendaklah saling hormat menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.


Para daie yang original itu pasti dan wajib memahami akan realiti ini. Dia akan menjadi seorang yang sangat pemaaf dan mudah menerima orang lain. Dia sedar di dalam hati-hati ini terdapat kesamaan, dan dengan kesamaan inilah dia terus mengikat dirinya pada jalan Allah ini. Cintanya pada jalan ini tidak dapat dihitung lagi, datanglah ujian dan mehnah setinggi ombak tsunami sekalipun, pasti dapat dia tempuhi dengan redha. Dia sedar, Allah sedang mengujinya, dan dia yakin bahwa semua yang berlaku itu, adalah dengan izinNya.


Nasihat saya, meskipun kadang-kadang kita rasa letih dan penat, tak mengapalah, ambil masa duduk dan berehat sejenak. Namun pastikan dalam rehatmu itu tidak melepasi ‘lower limit’, yakni jangan sampai tinggal solat, tinggal amal wajib, jangan sampai tinggal semuanya. Namun berehatlah sekadar perlu. Apabila sebuah kekuatan telah dapat dicari, maka bangkitlah kembali dengan penuh bergaya seperti sepakan kuat dan padu Lionel Messi membolosi gawang gol. Macam tuh!


Kali ini bangkitmu bukan bangkit yang biasa-biasa. Namun kali ini kamu bangkit dengan misi untuk menjadi jauh lebih hebat dari sebelumnya. Inilah sifat yang perlu ditanam dalam jiwa sang daie original.

Monday, September 6, 2010

Ijismina

Biasakah pembaca menaiki bus? Contohnya pulang ke kampung atau kembali ke kolej. Mungkin ada juga yang menaiki bus bagi menuju ke tempat kerja. 




Contohnya saya sendiri ialah seorang yang sudah biasa menaiki bus. Berulang pergi dan balik dari rumah saya di Pahang dan sekolah MCKK di Perak. Perjalanan yang memakan masa 5 jam duduk di dalam bus bermusafir itu sudah menjadi kebiasaan. Pasti juga ramai pembaca yang seperti saya bukan?

Saya menulis article ini kerana saya mahu berkongsi kepada pembaca bahawa sebenarnya aura bus ini sebenarnya ialah aura tarbiyah.

Hairan bukan?

Tapi itulah yang sering saya rasakan apabila bermusafir menaiki bus. Terutama jika bermusafir di waktu malam sambil ditemani oleh lagu-lagu nasyid yang shahdu didengari melalui earphone. Perjalanan musafir seorang pelajar. Sungguh, sangat mudah air mata saya mengalir keinsafan. Waktu yang lama duduknya kita di dalam bus itu ialah waktu yang sangat sesuai untuk kita memikirkan kembali apa yang kita lakukan dan menginsafi diri. Kadang-kadang tu saya menangis dalam gelap rasa malu dengan dosa-dosa yang dibuat. Orang tak nampak, hanya cahaya lampu jalan yang malap menemani, cukuplah untuk saya melepaskan air mata keinsafan sampai puas. Seribu ketenangan dapat dirasai sepanjang perjalanan dengan menaiki bus. Saya juga biasa bermusafir menaiki kapal terbang, kereta, train, namun aura bus tetap jauh lebih hebat dari menaiki pengangkutan lain. Kalaulah diberi pilihan untuk memilih kenderaan bagi perjalanan musafir, pasti saya akan memilih bus. Kerana bagi saya, bus ialah bagaikan sebuat pit stop yang sesuai untuk saya kembali menilai diri dan menginsafi diri di sepanjang perjalanan. Itulah kelebihan aura bus yang saya dapati tidak terdapat pada pengangkutan awam lain.

Saya mahu mengajak para pembaca untuk turut sama merasai aura bus ini, lahirkan suasana menginsafkan diri, banyakkan beristighfar di dalam perjalanan sambil mengenang dosa kita, maka insyaAllah sekeras mana pun hati kita pasti mampu dilembutkan apabil menyebut nama-nama Allah.

Mata yang merenung ke luar tingkap bus, disebalik halangan langsir kita mengintai ke luar. Melihat manusia yang pelbagai gaya dan cara menuju ke sana dan kesini dengan tujuan masing-masing. Ada yang miskin ada yang kaya.

Kemudian kita melihat pula tumbuhan-tumbuhan hijau yang menyejukkan mata. Allah… tidakkan itu mampu membuatkan hati itu tenang. Dan ketahuilah bahawa hati yang tenang ini mudah untuk menangis kinsafan. Ijismina.. Duduk dan beriman sejenak. Memikirkan kehidupan kita, dan apa yang telah kita lakukan padanya.

Tambahan aircond bus yang mula membuatkan diri sejuk, kita mengetatkan baju sejuk memeluk diri sendiri. Allah.. Allah.. Sungguh, jika kita betul-betul mahu menginsafi diri pasti kita mampu melakukannya sepanjang duduknya kita di dalam bus itu. Yang penting kita benar-benar ikhlas mahu bermuhasabah. InsyaAllah, hidayah akan menyapa ke muka pintu hati, berusahalah. Hidayah itu perlu dicari, kerana sukar untuk mengharap ia datang tiba-tiba bergolek kepadamu. Tambahan kita ialah manusia yang sering alpa dan leka.

Ayuhlah kita, bagi yang mahu bermusafir, jadikanlah perjalanan kita suatu yang bermanfaat dan menginsafkan. Usahalah mencipta suasana shahdu yang melembutkan qalbu. Jika saya suka akan aura bus, mungkin pembaca suka akan aura pengangkutan yang lain. Terpulanglah, namun yang penting di sini ialah hati kita, mahu atau tak mahu.

Di kala malam sunyi sepi, kita bermusafir, mencari redha, hadirnya hidayah. InsyaAllah. Ijismina.

Realiti perjuangan

Realiti perjuangan

Apa yang dimaksudkan dengan perjuangan Islam ialah usaha untuk mempertahankan agamanya dan seterusnya mengatasi pihak-pihak yang menentangnya, yakni musuh-musuh islam. Bahkan erti kata perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam. Perkara ini akan dihadapi oleh umat Islam ‘fi kulli makan wa fi kulli zaman’, tanpa mengira tempat dan masa.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk individu atau secara berjemaah. Demikianlah, sunnatullah sejak generasi Islam yang pertama lagi. Umat Islam sentiasa akan berhadapan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan cabaran dan halangan.

Perlu kita fahami bahawa islam meletakkan akidah sebagai toggak utama perjuangan. Bahkan inilah merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Islam tidak meletakkan isu semasa sebagai matlamat perjuangan. Perjuangan yang berasaskan isu semasa akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Ianya sebuah perjuangan yang jauh lebih agung dan mulia kerana perjuangan kita ialah perjuangan menegakkan syahadatul haq.

Bukan lafaz syahadah yang kosong tanpa entiti, namun, syahadah yang diperjuangkan ialah syahadah yang haq! Sebuah syahadah yang besar pengertian dan kebenarannya. Kita tidak mahu melahirkan daie yang mengaku bersyahadah, namun kesaksiannya hanyalah kesaksian yang palsu dan diikuti dengan perjuangan yang palsu. Ini yang kita tidak mahu.

Sebaliknya para daie itu perlu meghayati kosep syahadah yang benar dan seterusnya direalisasikan dengan pengorbanan dan perjuangan yang benar tidak sia-sia.

Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi landasan tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi yang akan membawa kepada perubahan besar-besaran di dalam jiwa dan kehidupan seorang manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan,

"Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada." 

Hari ini, kita dapat lihat banyak kelompok yang mengaku mereka berjuang untuk menegakkan islam, namun benarkah perjuangan mereka itu lahir dari sebuah perjuangan yang hak? Atau hanya sekadar retorik berlebihan, menjerit sana sini untuk menjadikan islam sebagai ustadziyatul alam tapi tidak selari dengan tindakan. Tidak mengenali erti perjuangan yang sebenar, dan tidak pula melihat realiti sebenar perjuangan sesuai dengan masa dan keadaan.

“Kerana kita tidak mahu melahirkan daie yang tengelam dalam slogan, tapi tidak mengerti erti reality. Hal ini hanya akan membuatkan mereka tengelam dalam sebuah dimensi yang memakan diri. Terlalu besar pengharapannya terhadap umat, tapi tidak tahu dimana harus dimulakan perubahan. Bagai mengaharap untuk terus ke bulan tapi tidak mempelajari bagaimana untuk ke bulan.” 

Maka jelaslah disini, bahawa perjuangan seorang daie itu perlu tepat dengan realiti semasa. Celik dan tidak buta, agar tidak tertipu dengan propaganda yang memperdaya.

Seorang daie itu perlu belajar mengenal realiti semasa, dan seterusnya merancang dan bertindak sesuai dengan realiti. Angan-angan yang tinggi perlu disuluh dengan saksama, agar ia bukan sekadar angan-angan kosong namun mampu menjadi sebuah reality. Semua ini hanya berlaku sekiranya perjuangan yang dilakukan ialah sebuah perjuangan yang kenal erti dan entiti sebuah realiti.

Kita pelu sedar dimana kita berdiri, dan dari situlah kita perlu memulakan langkah. Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan. Kita perlu belajar untuk kenal negara, kenal mazhab, kenal politik, kenal pemimpin, kenal musuh dan banyak lagi yang perlu kita kenal dan celik barulah kita sedar akan realiti. Sebuah perjuangan yang sedar akan realiti akan lebih tersusun dan seterusnya mampu membawa dakwah pergi lebih jauh. Inilah misi untuk menjadi seorang daie yang faham realiti dan tidak tengelam dalam mimpi.

Till then. Assalamualaikum.