Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Friday, June 4, 2010

Budak Usrah

“Harap je pergi usrah, subuh pun tak bangun.”


“Buat apa pergi usrah, kalau jadi macam kau, belajar pun result teruk.”


“Aku tak cakap usrah tu tak elok, tapi kau kena tahu apa yang lagi utama.”

********

Ayat-ayat diatas saya kira ialah antara ayat yang sering didengari bukan? Seringkali usrah disalahkan. Menjadi satu bebanan kehidupan yang membuat orang menjadi gagal. Budak usrah lemah itu dan ini.


Pada pandangan saya, apa yang dikatakan itu tidak kena pada tempatnya. Kebiasaannya orang yang mula-mula berjinak dengan usrah pasti menghadapi masalah yang seperti ini. Sebab itu tak pelik ada yang boleh asyik dan leka dengan game sedangkan dia ialah seorang budak usrah. Bahkan ada juga yang hisap rokok mungkin, tapi dia budak usrah. Mereka semua ini ialah diperingkat awal tarbiyah. Mereka baru menerima tarbiyah dan baru mula belajar berjinak-berjinak dengan usrah. Namun dengan cepat kita menampar dan menyepak mereka dengan hujah yang menjatuhkan tahap gigabytes, terabytes punya. Ini suatu tindakan yang sangat kejam sahabat.


Mereka yang mula berjinak-jinak ini seringkali kecewa dan putus cinta dengan usrah. Kata-kata dan tomahan rakan sebaya terhadap dirinya membuatkan dirinya benci akan usrah dan seterusnya menjauhinya.


Orang baru nak berubah, namun kita menilainya serba serbi. Kita melihat kekurangan yang dimiliki bagaikan suatu yang besar menutupi segala yang lain. Sedangkan banyak lagi kebaikan yang dia dapat sejak memasuki usrah.


Begitulah kita perlu memahami dan lebih berhati-hati dengan tutur bicara kita. Kadang-kadang kita sibuk risaukan orang lain tapi lupa untuk melihat diri sendiri. Kita cakap budak usrah itu bermasalah, namun apakah kita yakin kita tiada masalah? Mungkin zahirnya nampak seperti tiada, namun tepuk dada tanya iman.


Tarik nafas.. cuba bau hidung sendiri. Ada bau?

“Err akhi, hidung sendiri mana ada bau.”


Tahupun.. itulah kita manusia, bau orang lain cepat menghidu, tapi bau diri kita sendiri, kita tak kenal pula. Sebab tu kita mudah mengkritik, tapi sukar untuk bermuhasabah. Sebab itu kita mudah memandang, tapi sukar merefleksi diri. Kadang-kadang kita perlu kurang berbicara dengan orang lain, agar kita lebih banyak berdialog dengan diri sendiri.


Saya yakin, mereka yang mengikuti usrah sekian lama, dan memahami fikrah dengan sebaiknya pasti mampu menjadi seorang yang cemerlang. Baik dari apa sudut sekalipun. Bahkan ini telah pun dibuktikan oleh ramai murabbi atau orang lama usrah yang berjaya.


Kerana hakikatnya usrah itu mengajar seseorang untuk menjadi berdisiplin, bijak mengagihkan masa, cemerlang semuanya terutamanya dari sudut rohani. Mereka yang sudah lama dalam tarbiyah ini pastinya, suatu ketika dahulu pernah melalui perjalanan yang sama, dan ini semua ialah pahit manis perjalanan tarbiyah.



Yakinlah, usrah bukan bebanan, berikanlah masa untuk budak-budak usrah membuktikan diri mereka. Satu hari nanti insyaAllah, mereka bangkit dengan penuh bergaya. Tarbiyah itu sendiri ialah bertujuan untuk mendidik kita, dan mendidik itu bukan magic, wingardium laviossa atau expecto petroneum bagai, kerana ianya perlukan masa. Masa inilah kita membesar dalam tarbiyah. Mungkin tak nampak sekarang, satu hari nanti kesannya itu pasti jelas kelihatan. Bersabar dan yakinlah.


“Akhi.. kenapa perit sangat hidup dekat dunia ni?”

Kalau dunia ni indah, sudah pasti kita tidak berhajat kepada syurga.