Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Friday, June 4, 2010

Ukhwah Fillah

Ramai yang mengikuti usrah, dan tidak kurang juga ramainya orang yang tak kenal apa itu usrah. Seorang daie yang original pasti memerlukan sebuah usrah yang original.

Ada orang cakap, kalau tak join usrah tak semestinya aku tak beriman. Jawabnya macam ni, dan orang beriman itu pastinya mencintai apa-apa yang dapat mendekatkan dirinya kepadaNya. Dengan usrah kita saling ingat mengingati, bermuhasabah diri dan ingat kembali tujuan kita dihidupkan di muka bumi ini. Kalau beriman, mestilah hatinya suka akan usrah.

Orang cakap usrah ni untuk dapat kawan sama-sama menuju ke syurga. Ukhwah fillah gitu.

Benar, namun ukhwah fillah itu bukanlah perkara yang paling utama. Usrah yang sebenar menyediakan kita untuk bersedia berjuang mempertahankan islam. Usrah yang sebenar bukan sekadar basah-basah ukhwah fillah. Namun ia jauh lagi hebat dari itu.

 


Hm. Macam mana nak tahu usrah kita ni bukan sekadar usrah yang basah-basah?

Senang je. Bukak buku nota usrah. Cuba baca apa yang dah kita tulis. Agak-agak lah kan. Kalau Zionist baca buku nota usrah ni mereka takut tak? Kalau tak takut, maknanya ada something wrong la dengan usrah kita.


Usrah yang sebenar juga bukan pada meeting seminggu sekali bawah pokok itu. Namun usrah yang sebenar ialah apabila sudah tamat sesi usrah di bawah pokok. Interaksi selepas itu di luar usrah itulah usrah yang sebenar.


Naqib dan Naqibah usrah


Setiap usrah akan diketuai oleh naqib atau naqibah usrah. Tanggungjawab mereka ialah untuk memastikan kelangsungan usrah dengan jayanya. Sikap amanah ialah satu yang sangat penting untuk dimiliki oleh ketua usrah ini. Hal ini sangat penting bagi memperoleh kepercayaan anak usrah. Naqib dan naqibah usrah bertindak sebagai pemberi nasihat dan cuba memberi langkah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi oleh anak usrah mereka. Namun jika sikap amanah tidak terdapat dalam diri kita. Bagaimana mungkin anak usrah mahu berkongsi masalah mereka dengan kita.


Anak usrah akan mudah selesa dengan abang dan kakak usrah yang pandai menyimpan rahsia. Jika hilang sikap amanah ini, maka hilanglah kepercayaan kepada naqib atau naqibah. Jika hilang kepercayaan ini, seterusnya institusi usrah akan roboh dan tidak mampu berdiri lagi.


“Jika usrah itu umpama rumah, maka amanah itu ialah tiang rumah. Roboh tiang rumah, maka robohlah rumah itu.”


Seringkali kita mendengar, naqib atau naqibah usrah menyalahkan anak usrah. Contohnya, anak usrah enggan menghadiri usrah. Dengan hujah yang menjatuhkan, anak usrah dipersalahkan oleh naqib atau naqibah usrah.


“Dia tak faham perjuangan, itu sebab dia tak datang usrah.”

“Dia nak usrah yang enjoy-enjoy je. Bila usrah serious, dia tak datang.”

“kalau ada makanan baru nak datang, kalau tak takde datang.”


Saya kira ayat-ayat diatas ialah ayat yang sering dikatakan oleh para naqib dan naqibah apabila berhadapan dengan masalah dengan anak usrah. Maka ketahuilah, ini ialah satu sikap yang salah. Ini bukan menyelesaikan masalah, namun ini hakikatnya melarikan diri dari masalah.


Seorang naqib atau naqibah itu perlu berusaha semampu boleh dalam seni memikat hati anak usrah. Inilah cabaran yang dihadapi apabila kita menggalas tanggungjawab sebagai daie. Janganlah begitu mudah menyalahkan mereka, kerana kadang-kadang kekurangan itu datang dari kita sendiri. Muhasabah diri dan seterusnya memperbaiki diri. Jadilah seorang daie yang bertanggungjawab terhadap anak usrah, jangan dengan mudah menghukum dan menyalahkan.


Anak-anak usrah

Namun sedemikian, bukanlah segalanya terletak di bahu naqib dan naqibah usrah. Kerana tarbiyah ini hakikatnya untuk anak-anak usrah. Jika kita sendiri yang tidak mahu ditarbiyah, maka datanglah naqib pandai masak macam mana sekalipun pasti tidak dapat membuat kamu berpuas hati. Gituh.


Jika mahukan tarbiyah, 

Maka kita memang perlu belajar untuk bersusah, 

Mana mungkin tanaman akan berbuah, 

Jika keringat tidak diperah, 

Tanpa ikhlas dan tabah.