Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, June 6, 2010

Ulama vs Daie


Dua title yang bebeza, namun tidak mustahil untuk berada di dalam sebuah sosok tubuh yang sama.


a. Dia ialah seorang pendakwah dan dalam masa yang sama dia adalah ulama.

b. Dia ialah seorang pendakwah namun dia bukanlah seorang ulama.


Ulama ialah orang yang alim dan tempat menjadi rujukan orang ramai. Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu.

Manakala daie pula ialah mereka yang mengajak ke arah kebaikan. Daie ini tidak semestinya alim dan mempunyai kesarjanaan. Namun mereka menyeru masyarakat untuk menuntut ilmu. Mereka mengajak masayarakat untuk mendekati para ulama. Daie yang bukan ulama terbatas dalam hal-hal yang tertentu. Contohnya, mereka tidak boleh mengeluarkan fatwa atau menghukum hal-hal tertentu atas dasar ilmu mereka yang tidak sempurna.

Maka, apa yang penting disini ialah, kita perlu memahami bahawa seorang pendakwah itu perlu menyedari tugas, ilmu, dan kemampuan dirinya. Inilah sifat yang penting di dalam jiwa daie original. Kita tidak mahu melahirkan daie yang syok sendiri sehingga mengangkat diri mereka sama taraf dengan ulama.

“Sehingga berani mengeluarkan fatwa. 

Sehingga berani mentafsir al-Quran dan hadis tanpa ilmu dan berguru. 

Sehingga berani menghukum itu dan ini sesuka hati.”


Ini bukan daie, namun ini namanya ulama google. Seringkali hujah atau pendapat yang diberikan oleh golongan ini datangnya dari sumber-sumber yang tidak sahih. Berguru dengan ustaz google, membuat diri menjadi gile-gile. Sedangkan kaki tidak pernah menjejak di pondok, telinga tidak penah mendengar talaqi dan tangan yang tidak pernah membelek helaian kitab.


Ianya akan menjadi sebuah kerosakan yang besar apabila daie yang bukan ulama salah faham akan tugas dan tanggungjawab mereka. Kerosakan ini berlaku apabila seseorang yang tidak layak suka meletakkan dirinya sebaris dengan para ulama.


Oleh yang sedemikian, penting untuk seorang daie itu menyedari hakikat tugas, dan kemampuannya. Menjadi seorang daie itu tidak semestinya mengizinkan kita bertindak sebagai seorang ulama. Namun seorang daie perlu berusaha membawa orang lain untuk mendekati para ulama. Inilah kefahaman seorang daie original yang tidak berlebihan dalam menjalankan tugasnya.


Ulama ialah guru kepada pendakwah muda, dan para pendakwah muda ini menyampaikan ajaran guru mereka kepada masyarakat.