Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, June 1, 2014

Orang Melayu

Apabila kita mahu melihat islam secara realiti di Malaysia, maka kita tidak dapat nafikan bahawa islam di Malaysia berkait rapat dengan bangsa majoriti negara kita yakni orang melayu. Ini realiti dan terbukti di dalam sejarah dan juga secara fakta. Daripada majoriti ini lahirnya kekuatan, dan daripada kekuatan inilah islam dapat didaulatkan di negara kita. Ini ialah realiti islam di negara kita yang perlu para daie fahami dengan betul.


Jangan cepat gelabah atau tidak senang apabila bercakap tentang melayu. Kononnya tidak mahu dianggap racist dan sebagainya. Maka ketahuilah orang yang tidak mahu menegakkan kebenaran itulah yang racist yang sebenarnya. Kamu menipu diri kamu sendiri daripada kebenaran, kamulah sebenarnya yang racist di sini. Golongan ini membiarkan fakta dan sejarah terkubur, kerana mereka malu untuk mengaitkan melayu dan islam. Fahaman seperti ini perlu diperbaiki dan seterusnya kita belajar untuk memahami realiti sebenar di dalam negara kita. Barulah kita nampak ruang yang perlu diperbaiki dan diperkuat agar islam terus berdaulat dan tertegak di negara kita.


“Tapi akhi.. islam itu kan untuk semua, bukan untuk sesetengah bangsa sahaja.”


First sekali kita perlu faham bahawa, apa yang dimaksudkan dengan orang melayu itu sebenarnya? Maka ketahuilah bahawa yang dimaksudkan dengan melayu di sisi undang-undang dan perlembagaan negara kita ialah melalui keturunan atau dengan cara seseorang itu menganut agama islam, bertutur dalam bahasa melayu dan juga mengamalkan adat istiadat orang melayu.


Nak senang faham macam ni,


Melayu kahwin dengan India atau Cina, maka anaknya itu akan turut dikira melayu di sisi undang-undang. Hari ini, kalau kita melihat orang-orang hebat melayu pun, kebanyakannya berasal daripada orang india atau cina. Maka jelaslah disini bahawa transformasi bangsa itu boleh berlaku dalam konteks negara kita Malaysia.


Benar dan tidak dinafikan, bahawa islam itu untuk semua bangsa tanpa mengira warna kulit. Tapi saudara, apakah dengan dakwaan itu saudara maksudkan kita perlu memansuhkan bangsa? Apakah islam itu turun untuk memansuhkan bangsa? Maka ketahuilah bahawa islam tidak pernah menghapuskan bangsa, bahkan islam menggunakan kekuatan sesuatu bangsa untuk menguatkan islam.


Maka ayuh sama-sama kita selusuri sejarah islam. Dalam sejarah islam, bangsa tidak pernah dihapuskan, bahkan setiap bangsa memainkan peranan mereka untuk menegakkan Islam. Ini berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. dimana kita dapat lihat sepanjang peristiwa sirah, baginda tidak pernah menghapuskan bangsa.


Cuba kita ingat balik peristiwa Baiatul Aqabah, 12 naqib itu adalah mewakili setiap kumpulan bangsa mereka; sama ada daripada Aus ataupun Khazraj. Begitu juga peristiwa yang berlaku sewaktu pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah masuk ke Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan. Allah berfirman di dalam al-Quran,


“Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.” 
(Al-Hujurat : ayat 13). 



Apabila Allah ciptakan bangsa, kaum atau kabilah, sudah tentu ada peranannya tersendiri. Hubungan semula jadi sesama kaum itu sendiri merupakan kekuatan sepanjang sejarah politik Islam.


Hal ini sudah dihuraikan oleh Ibnu Khaldun dalam kajian beliau. Beliau dapati sebab yang paling penting untuk kita fahami mengapa bangsa itu perlu diutamakan dalam pemilihan kepimpinan ialah kerana ‘syaukah’ atau kuasa. Kerana sebuah kepimpinan yang wujud ialah sebuah lambang kuasa, dan kuasa ini tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan.


Mana-mana pemerintah yang datang dan tidak ada kekuatan sokongan, maka arahannya tidak akan ditaati dan seterusnya mengundang robohnya institusi pemerintahan.


Oleh yang sedemikian, jika kita melihat secara realitinya di Malaysia, kalau kita hendak tegakkan agama, hendak tegakkan Islam, daulah Islam, ia mesti disokong dengan satu bagsa majoriti islam yang kuat dalam kelompok masyarakat kita. Maka, apabila kita mengisytiharkan bahawa kita hendak melaksanakan Islam dan sebagainya, pengisytiharan itu tidak mampu dan tidak boleh dicabar oleh orang lain, oleh sesiapapun.


Maka jelaslah disini, tuntutan memilih pemimpin dari bangsa islam majoriti yang kuat itu sendiri sesuai dengan tuntutan syariah, dalil-dalil yang wujud dan juga dalam nas-nas yang ada. Dalam hal ini, secara realitinya di Malaysia, terdapat satu bangsa yang majoriti bilangannya dan juga islam agamanya, tidak lain dan tidak bukan inilah bangsa Melayu. Jelaslah disini, untuk memastikan islam tertegak dan terus berdaulat di negara kita, orang Melayu itu sendiri mesti kuat dan seterusnya memimpin masyarakat.


Buanglah jauh-jauh sifat malu dengan bangsa sendiri. Kononnya tidak mahu mengaku Melayu, takut nanti digelar racist. Jika ini yang ada di dalam pemikiran kita, maka ketahuilah kita telah termakan dek agenda-agenda politik atau musuh islam yang tidak mahu melihat islam tertegak di negara kita.


Hakikatnya, apa yang diperkatakan di atas tiada masalah pun sebenarnya, bahkan turut mendapat sokongan dari orang bukan melayu sendiri seperti Dr. Ridhuan Tee seorang berbangsa Cina, beragama Islam. Kenapa dia menyokong ketuanan melayu? Sebab dia melihat realiti dan melihat kebenaran islam itu sendiri. Dia yakin akan konsep kekuatan yang mampu lahir dari bangsa islam yang majority, seterusnya mampu menjamin kedaulatan islam di negara kita. Sudah pastilah dia sebagai seorang Islam mahu lihat negara kita terus berdaulat dengan Islam. Maka tidak ada alasan lagi untuk dia tidak menyokong konsep ketuanan ini. Dia tidak mahu menjadi melayu pun, bahkan dia kata, ‘sampai bila-bila takkan jadi melayu punya’, dia nak jadi Cina, tapi dia celik dan nampak hakikat kebenaran. Jika orang Cina Islam pun boleh nampak dan akui kebenaran ini, tapi pelik orang Melayu yang memang Islam itu sendiri duduk risau itu dan ini.




Hakikatnya, apa yang menjadi masalah adalah permainan dan agenda yang bersembunyi di sebalik tabir. Agenda yang musuh islam bawa, kerana mereka tidak mahu melihat islam tertegak di negara kita. Kalau boleh, mahu sahaja mereka ubah perlembagaan dan undang-undang negara kita menjadi sebuah undang-undang sekular dan liberal. Celiklah mata, dan sedarlah akan realiti ini. Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi memastikan islam terus tertegak di bumi kita, bumi Malaysia.


“Inilah pandangan yang perlu ada dalam diri seorang daie yang melihat perjuangan dari sudut realiti bukan sekadar mimpi dan tertipu dalam dimensi.”