Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Friday, March 14, 2014

Mengkaji sebelum demonstrasi

Satu perkembangan yang tidak sihat dapat dilihat dalam diri anak muda kita hari ini. Masing-masing cuba mencari identiti diri. Ianya tidak menjadi masalah jika pencarian identiti itu berkembang dengan baik seiring dengan perkembangan rohani. Namun, apa yang berlaku pada hari ini ialah anak muda tidak berjaya berkembang dengan seimbang. Kebanyakan anak muda menyangkakan diri mereka berkembang dan matang apabila mereka ambil tahu akan isu semasa. Namun ketahuilah, perkembangan yang berdasarkan isu semasa semata-mata bukanlah satu perkembangan yang baik.


Dalam mencari identiti diri, seseorang itu perlu menjawab soalan yang paling asas yakni, ‘siapakah yang mencipta diri?’. Jika soalan ini dapat dijawab dengan saksama insyaAllah perkembangan diri itu akan menjadi seimbang. Seseorang yang hebat itu berkembang dari sudut rohaninya dan dalam masa yang sama dia turut berkembang dengan isu semasa. Inilah perkembangan yang matang.


Orang yang mengenali identiti dirinya sebagai hamba Allah, tidak mendambakan pujian dan pandangan manusia. Kerana dia tahu, dia bukan sahaja seorang pelajar, mahasiswa, pemuda dan lain-lain, kerana baginya, identiti dirinya yang paling utama ialah dia seorang hamba Allah.


Orang yang menyedari hakikat identiti ini, tidak akan mudah terikut-ikut dengan arus. Orang buat itu, orang buat ini, orang ajak itu, ajak ini, namun dia tidak akan mudah untuk ikut membuta-tuli tanpa menimbangnya terlebih dahulu dengan neraca iman dan taqwa.


Seringkali saya ulang, bahawa jiwa anak muda ini ialah jiwa yang penuh dengan semangat. Namun jika semangat ini tidak dikawal, dikhuatiri ia digunakan di tempat yang salah. Disini saya bukanlah hendak menyalahkan mana-mana pihak, namun saya mahu mengajak para pembaca untuk belajar erti mengkaji sebelum demonstrasi. Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang selalu mengikuti demonstrasi atau perhimpunan orang ramai untuk memperjuangkan kebenaran. Namun kebiasaannya jawapan yang saya dapat ialah sebuah jawapan yang menghampakan.


Contohnya, soalan-soalan mudah yang ditanyakan, seperti kenapa berhimpun? dengan siapa? siapa yang mengetuai? pun mereka tidak dapat jawab. Contohnya mereka yang berhimpun kononnya membangkang GST. Semangat membawa sepanduk-sepanduk penghinaan dengan slogan-slogan tertentu. Menjerit sana-sini. Namun, apabila ditanya kepada mereka, apa itu GST contohnya?

“krik krik.. krik krik..cukai.. beban rakyat..” itu sahaja kah?


Seakan-akan tidak tahu apa yang mereka buat. Ada yang lebih memalukan, saja ikut kawan-kawan ajak. Seronok!

Inikah sikap pemuda atau pemudi yang mahukan perubahan untuk negara? Berdengung kuat namun isi tiada. Malulah.

Anda mahu demonstrasi? Mahu menjerit sana sini? Itu saya tidak kisah. Itu hak anda. Tapi tolonglah tahu apa yang anda buat. Kita sebagai seorang islam perlu ada pendirian. Jangan jadi seperti lalang yang hanya tahu mengikut tiupan angin. Jangan kita jadi orang yang ikut membuta-tuli. Tanamkan sifat mahu mengkaji di dalam diri kita. Apa-apa yang berlaku, kita kaji dan selidik dengan adil.

Berotak sebelum berontak. Keluar mengkaji sebelum keluar demonstrasi.

Kebanyakan orang bijak pandai, yang mengkaji dan arif tentang sesuatu isu pasti tidak gopoh untuk keluar membuat perhimpunan seperti ini. Dia sedar, dia ada tugasan yang lebih besar perlu dibuat untuk membawa perubahan kepada umat. Selagi ada alternatif lain dan saluran lain yang boleh digunakan, maka dia pasti memilih jalan yang lebih bijak untuk menyelesaikan masalah. Sekadar menjerit, sambil merosakkan harta benda awam, melumpuhkan sistem pengangkutan sudah pasti tidak dapat membawa perubahan yang besar. Bahkan sikap seperti ini bukan menyelesaikan masalah, namun ini ialah sikap orang yang mahu lari dari masalah. Tanpa mereka sedari juga, mereka menjadi agen penambah masalah yang sudah sedia ada.

Berdiri atas landasan demokrasi kononnya, tetapi tindakan yang dilakukan hanyalah demo tanpa krasi. Menjadikan medan perhimpunan sebagai tempat untuk melepaskan kemarahan. Inikah sikap orang yang mempunyai identiti diri? Inikah harapan negara? Tepuk dada, tanya iman. Pupuk jati diri dan prinsip yang benar dalam hidup kita, jangan keliru dengan seruan perjuangan sehingga menghalalkan apa yang salah. Perjuangan kita perjuangan yang benar. Perjuangan yang celik dan sedar. Bukan sebuah perjuangan yang dilakukan dengan mata yang tertutup.

Berotak sebelum berontak, 
Keluar mengkaji sebelum keluar demonstrasi. 


Ingat! 


“De..monst..rasi tanpa konsentrasi hanya tinggal emosi, menzahirkan 
monster yang tak reti kawal emosi.”