Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, March 30, 2014

Politik dan islam

Istiknaf adalah keengganan untuk bergabung dalam masyarakat, atau organisasi yang ada. Objektif dakwah tidak akan tercapai sekiranya para daie memiliki sifat yang sebegini. Bersikap solo, hanya menjaga diri sendiri dan tidak menghiraukan politik ialah sikap yang perlu dihindari, dan diubati jika terdapat di dalam diri para daie.

Ramai para daie yang enggan untuk terjun ke dalam kencah politik, dengan alasan bahawa politik itu kotor dan pasti mengotori mereka yang berada dalamnya. Atau berpendapat bahawa politik ialah sesuatu yang terlaknat dan terlaknat juga para ahlinya, malah berpegang bahawa politik perlu dihindari. Maka ketahuilah sifat seperti ini tidak menyelesaikan masalah, namun ini ialah sikap hendak lari dari masalah dan tanggungjawab.

Keenggangan ini akhirnya membuka ruang untuk musuh islam menguasai dan seterusnya menjadi penentu kebajikan di negeri-negeri khususnya negeri muslim. Ini membuka ruang mudah untuk musuh islam memerangi islam dan umatnya. Organisasi-organisasi berkepentingan seterusnya dikuasai musuh islam. Lebih parah lagi apabila organisasi tersebut mengeluarkan hujah di tengah masyarakat bagi menyerang gerakan islam yang sudah sedia ada. Dalam erti kata lain, kemaslahatan umat islam pasti akan tercabar dan tidak dibela. Sikap ini jelas akan menjadikan institusi pemerintahan sebagai sarang musuh islam. Akhirnya menjadi penghalang utama gerak dan perkembangan pergerakan islam itu sendiri.

Para daie yang dikasihi, ingatlah bahawa asas kepada fiqh dakwah itu sendiri menuntut kita mencegah kebatilan dan menegakkan yang hak. Sebab itu tidak hairan saat ini kita dapat lihat ramai para daie dan ulama terkemuka mula melompat ke dalam kencah politik. Mereka ini menyedari hakikat bahawa pentingnya untuk menggabungkan diri mereka dengan politik.

Sekadar menjerit atau berharap untuk negara menjadi lebih baik, namun tidak dituruti dengan penggabungan diri, bukanlah cara perjuangan yang sebenar. Jadilah seorang daie yang cakna dan buka minda kita untuk minat dan seterusnya ambil berat akan politik, khususnya politik di negara kita yang tercinta. Seterusnya memahami dan menguasai geopolitik dunia yang lebih luas.

Jangan sekadar bermimpi, dan bersemangat di dalam usrah sahaja, namun mulalah bergerak dan berjuang agar islam menjadi ustadziyatul alam. Ini bukan kerja mudah, jangan sangka dengan bergoyang kaki islam akan berjaya. Kita perlu mula bekerja.


 


Wallahu A'lam bish-shawab.