Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Sunday, January 27, 2013

4D ancaman Daie



Dating

Apabila bergerak sebagai seorang daie, dia mula dilihat baik, soleh dan solehah pada pengamatan orang lain. Orang melihat dia selalu post benda-benda baik dan kadang-kadang berdakwah pada orang, menasihati orang lain dan banyak lagi. Tambahan dia juga mungkin makin bertambah sopan dari sebelumnya. Maklumlah kini dia ialah seorang daie. Dia bukan lagi budak hingusan yang tiada tujuan hidup.


Nilai-nilai inilah yang dilihat oleh orang lain, dan sering kali orang suka untuk mendekati mereka yang alim dan solehah ini sebab mereka baik.


Si Kiah mula tertarik dengan sifat warak Si Leman yang selalu azan di masjid, dan di tempat lain pula Si Jebon tertarik dengan Si Rosmah yang bertudung labuh.


Ini kenyataan saudara, manusia lain menilai kita dan akan tertarik dengan ciri-ciri baik yang dimiliki kita. Lebih-lebih lagi kita ialah seorang yang islamic. Lagilah ramai yang tertarik.


Jika kita menjadi daie, untuk menarik minat ajnabi, maka ketahuilah, inilah hipokrit terbesar di dunia. Anjurkan program dakwah, dan berucap di depan orang ramai sebab nak mengorat ajnabi. Buat group whatsaap, dengan nama ‘usrah online’ kononnya, ikhtilat entah kemana, ‘haha’ sini dan ‘hihi’ sana, tunjuk baik dan alim sebab nak mengorat. Masing-masing mahu dianggap ‘akulah lelaki paling soleh idaman semua wanita’ atau bagi yang akhwat pula mahu dianggap, ‘akulah wanita paling solehah idaman semua lelaki. Hancur.. hancur.. hilanglah daie dan bangkitlah romeo dan juliet versi islamic. Versi enta dan enti.


Download


Apabila semuanya di hujung jari, dunia tidak mengerti lagi erti sempadan yang dibuat dari batuan atau lautan yang menghalang. Baik tempat setinggi gunung atau gelap di laut yang dalam, semuanya boleh dicari di internet. Cakap sahaja apa mahu. Puff.. terpaparlah di screen smartphones, laptop atau ipad.


Hari ini bukan setakat pemuda dan pemudi yang didedahkan dengan gadget-gadget canggih, budak kecil, bahkan atok dan nenek yang tua pun boleh jadi lebih expert dari kita.


Bukanlah semua yang di download itu tidak baik, namun jika salah pilih, maka kesannya sangat buruk sehingga mampu membunuh jiwa sang daie.


Games.. seperti clash of clan yakni sebuah game yang popular pada masa ini dapat di download dengan mudah di apps store atau di play store. Saya tak cakap main game itu salah. Namun sebagai seorang daie, kita perlu sedar kita ada tanggungjawab yang lebih besar yang perlu dilaksanakan. Bagaimana mungkin menjadi seorang daie tapi 24jam mengadap game, jaga kampung kononnya, daripada diserang orang. Risau nanti duit dan elixir dalam game itu dicuri. Tapi akhi, masa yang emas itu lagi mahal harganya, dan ironinya, kita biarkan masa itu dicuri dengan rela?


Itu games, kalau drama pula? setiap minggu satu episode baru keluar. Menghitung hari, bila lah nak keluar. Baik drama korea mahupun cerita-cerita bersiri english macam the flash, arrow dan lain-lain yang mampu membuatkan peminat tegar akan gelisah jika dalam masa seminggu takde keluar yang baru. Apabila hati daie itu diisi dengan perkara-perkara sebegini, pasti sukar untuknya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang daie. Mana tidaknya, bayangkan jika hari ini sepatutnya ada usrah, tapi.. naruto episode baru keluar malam ni! Maka dia pun membatalkan usrahnya. Parah.


Derhaka


Apabila berbicara pasal derhaka, kita boleh melihat dari banyak aspek. Tapi yang penting untuk dielakkan ialah derhaka pada tanggungjawab sebagai seorang daie.


Seseorang daie itu sedia maklum akan tanggungjawabnya dan komitmen yang perlu diberi olehnya untuk memperbaiki masalah umat. Dia tahu, tugasan ini wajib buat dirinya. Namun dia malas, dan meninggalkannya terus. Inilah daie yang derhaka. Dia bukan sahaja derhaka kepada tugasnya sebagai daie namun tanpa disedari dia telah derhaka pada perintah Allah S.W.T.. Pelbagai alasan dan helah diberikan, namun dia hanya akan menipu diri sendiri. Tengelam dalam mimpi dan fantasi.


Kadang-kadang terdapat para daie yang merasakan dirinya sudah cukup hebat dan gempak, sehingga dia menderhakai murabbinya. Seorang daie itu pasti memiliki murabbi yang menjaganya yang mentarbiyahnya dari awal pengenalannya dengan tarbiyah. Saban hari dia belajar dan mungkin pada hematnya, perjuangannya sendiri tampak lebih hebat, maka dia bersikap sombong kepada murabbi yang pernah mendidiknya itu.


“Dia sudah tidak mahu mendengar nasihat, kerana dia fikir dirinya sudah cukup sihat, tanpa disedari hatinya mati tanpa nasihat, disangkanya benar tapi sesat”.


Daie yang mempunyai sifat derhaka ini mudah cenderung kepada rasa ujub dan takjub pada diri sendiri. Dia merasakan dirinya paling hebat, maka sudah pastilah apa-apa datang dari orang lain akan dilihat remeh dan akan dipelekehkan olehnya.


Sifat derhaka ini perlu dijauhi oleh para daie, disimpan dalam peti, dan ditanam jauh-jauh di dalam tanah. Kita tak mahu daie yang sebegini, dia ada amanah dan tanggungjawab yang besar. Mana mungkin seorang daie yang derhaka kepada Allah dan tugasan dakwahnya mampu menjalankan dakwah dengan benar. Kita daie original, menjauhi sikap derhaka. Buang ia dari kamus kita.


Dilema


Apakah yang dimaksudkan dengan dilema? Apakah yang dimaksudkan dilema yang menjadi masalah di dalam perjuangan seorang daie? Maka ketahuilah dilema yang dimaksudkan ialah dilema dengan diri sendiri.


Seorang daie itu sering bermonolog dalaman, bercakap dengan dirinya sendiri terutama apabila dia merefleksi diri. Mungkin ujian, cabaran dan dugaan yang dihadapinya dirasakan begitu berat, maka daie ini duduk terperangkap dalam dilema yang memakan diri. Saban hari dia merasakan dirinya terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan dakwah ini. Dia merasakan bahawa dirinya tidak layak untuk bersama sahabat-sahabat yang lain yang pada hematnya jauh lebih hebat dari dirinya. Segala kelemahan diri mula menghantui diri. Dilema ini membuatkan dia berasa bahawa dia ialah seorang yang gagal.


Masalah dilema diri ini bukan masalah kecil, namun ia perlu diambil dengan serius kerana dikhuatiri mampu menjerut mati semangat dakwah sang daie. Daie yang menghadapi masalah dilema ini akan mengundang padah yang lebih buruk sekiranya dia tidak berkongsi masalah yang dialaminya dengan orang lain. Dia mula menjauhkan diri, menyediri dan seterusnya lari. Ini satu penyakit yang berbahaya dan perlu dicegah.


Tanggungjawab terletak pada sahabat-sahabat daie yang lain untuk menjaga dan sentiasa melihat keadaan sahabat-sahabat mereka. Jika dirasakan sahabat itu mempunyai masalah, maka datangilah mereka dan berikan kata-kata semangat. Sesungguhnya memang jalan dakwah ini susah, kita merasai penatnya, letihnya namun inilah pengorbanan dan harga yang dituntut untuk membayar mahar syurga firdausi.