Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Saturday, July 13, 2013

Geng MTDM




Bagi yang tidak biasa dengar mesti tertanya-tanya apakah itu MTDM? Maktab Tentera kah? Sebuah kolej kah? atau ianya sebuah Jabatan kerajaan? Bukan.. Bukan.. MTDM yang saya maksudkan ialah Majlis Ta’lim Darul Murtadza. Jika saya balik ke Malaysia dan berpeluang untuk ke majlis ini pasti saya akan pergi. Majlis ini diadakan seminggu sekali pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Bersama beberapa orang sahabat yang lain kami akan menghadiri majlis ini. Sebuah majlis ilmu, majlis ta’lim yang dibawa oleh Al- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid. Di dalam majlis ini kita akan belajar kitab tafsir, kitab Riyadhus Shalihin, kitab Syarah Hadis Jibril dan lain-lain. Kebiasaannya, ruang masjid pasti akan dipenuhi dengan jemaah dan hadirin yang datang dari seluruh Malaysia.


Bagi saya, seorang daie itu perlu mempunyai minat untuk berguru seperti ini, bertalaqi dengan alim ulama. Dapatkan ijazah dari guru-guru agama yang ada. Ilmu islam itu cantik, kerana kita dapat tahu siapa guru kita, dan juga siapa guru kepada guru kita. Ijazah ini bukan sekadar ijazah yang diperoleh setelah khatam kitab-kitab agama, namun untuk perkara-perkara sunnah seperti memakai serban, memakai rida dan lain-lain semuanya turut ada ijazahnya, ada gurunya. Saya masih ingat semasa menerima ijazah pemakaian rida’ dari Ustaz Muhadir bin haji Joll as- Sanariy. Saat beliau menyarungkan rida pada saya, beliau memberitahu saya nama guru-guru yang telah menurunkan ilmu pemakaian rida’ ini. Setelah tamat pengijazahan, kami menyedekahkan al-Fatihah kepada guru-guru kami. Inilah pengijazahan yang sebenar. Kita tahu siapa guru kita, dan siapa guru kepada guru kita. Cantik bukan? Kita beruntung, di bumi Malaysia Allah kurniakan dengan ramai alim ulama, hanya kitalah yang menjadi penghalang sama ada mahu atau tak mahu untuk berguru.


Hari ini yang menjadi masalah ialah terlalu ramai daie yang berguru dengan Ustaz Google. Terlalu ramai nak jadi daie, tapi mengambil jalan shortcut dan belajar dari article-article di laman sosial sahaja. Ada juga yang hanya cukup sekadar membaca kitab dan faham mengikut kefahaman sendiri tanpa pernah berguru.


Lebih buruk lagi, apabila daie yang syok sendiri ini mula mahu menjadi guru pula kepada orang lain. Entah apa yang diajarnya pun kita tidak tahu. Sedangkan jika ditanya siapa gurunya, pasti dia akan terduduk, terdiam, kerana dia langsung tidak pernah berguru. Inilah yang dimaksudkan daie shortcut. Baca kitab secara pantas, dapat gambaran dan mula menggoreng bicara.


Ketahuilah sahabat, jika seorang daie itu tidak mempunyai guru, maka gurunya tidak lain da tidak bukan ialah syaitan dan iblis. Dia menyangka dia hebat dan mulia dengan ilmu yang dibacanya tapi tanpa disedari, dia hanyalah penyebar ajaran sesat tanpa panduan mengikut pemikiran dan pandangan diri sendiri.


Daie ini mempunyai satu sifat hamasah dalam diri mereka. Yakni sifat semangat yang tinggi. Ya benar, semangat itu satu perkara yang baik. Namun semangat para daie ini perlu juga dikawal. Kita tak mahu para daie ini buat perkara yang tak patut sebab semangat yang berlebihan itu tadi. Berapa ramai hari ini, daie yang terlebih semangat? Kerana nak jadi daie, apa cara pun dia sanggup buat, meskipun salah. Inilah sikap yang perlu dijauhi.


Milikilah semangat yang original. Hamasah as Syabab. Membawa agenda perubahan.