Prenote

Assalamualaikum

Mungkin dunia blogger tidak lagi semeriah dulu. Tapi aku tetap setia menulis disini. Dari 2009 hingga kini.

Saturday, August 3, 2013

Liberalisme

Hari ini kita boleh melihat golongan neo-muktazilah atau Islam liberal ini semakin galak dan semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi. Sukar dihidu, namun bisa dikenali dengan timbangan neraca iman dan taqwa.


Ancaman ini jika tidak ditangani dengan segera oleh semua pihak di kalangan umat Islam, nescaya akan menghakis kefahaman agama islam yang soheh di kalangan umat Islam dengan pantas sekali.






Hari ini mereka berdiri menyebarkan fikrah mereka dengan berani dan penuh gah.

Dengan bercakap atas nama mereka sebagai seorang muslim dan di atas platfom pertubuhan yang memakai nama Islam (seperti Sister In Islam dan sebagainya), golongan Islam liberal sememangnya lebih berbahaya dari pendakyah-pendakyah agama lain kerana suara mereka lebih mudah didengari oleh kaum muslimin. Hari ini, pemikiran islam liberal banyak didokong oleh golongan mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.



Mereka berhujah kononnya liberal ialah satu gagasan pemikiran yang sangat bermanfaat kepada umat. Liberal mampu memupuk keharmonian sejagat dan keamanan dunia. Mereka akan berhujah dengan merujuk kepada contoh-contoh dari negara barat dan juga negara-negara timur tengah. Semuanya tidak lain dan tidak bukan untuk membuatkan orang yang mendengar terpesona dan rasa kagum akan ideologi liberal ini.


Hakikatnya nilai-nilai yang kononnya baik yang terdapat dalam liberal ini sebenarnya ialah dari islam itu sendiri. Islam itu sebuah agama yang syumul, baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Jadi, mengapa masih perlu mengimport pemikiran liberal kedalam hidup kita? Sedangkan nilai-nilai yang dijaja liberal itu sebenarnya sudah terdapat dalam islam.


Walau bagaimanapun, penting untuk kita ketahui di sini, bahawa fahaman liberal datang dengan pakej kebebasan yang lain. Sehingga menghalalkan apa yang haram, membolehkan apa yang tidak boleh. Kebebasan menukar jantina, kebebasan memilih agama, kebebasan mengkritik dan banyak lagi. Hal ini jelas menjadi ancaman kepada islam itu sendiri.


Penting juga untuk kita memahami bahawa, adil dari fahaman liberal tidak sama dengan adil dari pandangan islam. Demokrasi dari fahaman liberal juga tidak sama dengan demokrasi yang dibawa oleh islam. JIka dikaji dengan saksama, perbezaan itu pasti ditemui. Jadi mengapa masih perlu mengimport pemikiran ini kedalam masyarakat kita di Malaysia yang majoritinya orang islam. Liberal hanya menggunakan istilah-istilah demokrasi dan keadilan untuk menghalalkan agenda haram mereka yang jauh lebih besar dari itu, yakni untuk meliberalkan umat. Untuk melahirkan umat yang ‘bebas’. Ini jelas sebuah ancaman, terutamanya dari sudut akidah seseorang muslim.



Kita lihat liberal dari satu sudut dan mula menganggap ianya sangat baik dan bermanfaat kononnya seperti yang diperomosikan oleh pendokong mereka, namun hakikatnya, pemikiran yang telah diracuni liberal ini akhirnya akan melahirkan manusia yang mahukan kebebasan dari agama dan perundangan. Hal ini akan mengancam kemaslahatan umat islam itu sendiri.


Kita sudah ada sistem islam yang menyeluruh. Yang meletakkan al-Quran dan as sunnah sebagai tempat rujukan tertinggi. Maka kita perlu bangga dengan itu! Inilah sifat individu muslim yang sebenar.


Mengapa kita perlu mengenali islam liberal?


Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. Hal ini telah dinasihati oleh Saidina Umar dalam satu ucapannya;


“Akan terungkailah ikatan Islam satu-persatu dari seorang yang lahir/membesar di dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah”.

Sebenarnya, melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulama Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi (liberal) tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka (golongan liberal) meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.



Mereka bagaikan anak kutu, kecil kehitaman, yang berselindung di sebalik helaian rambut yang hitam namun masih dapat dikesan apabila dilihat dengan adil dan saksama. Pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini.



Mereka akan cakap, bahawa mereka ialah liberal, tapi mereka tidak sekular. Namun hakikatnya, mereka hanya menipu diri sendiri. Kerana isme-isme ini datang dengan pakej. Kita ambil satu, maka yang lain akan turut menyusuli. Inilah isme-isme yang menjadi ancaman umat.



Akhirnya mereka akan membawa umat Islam untuk bersikap anti-Islam dan memusuhi ulama-ulamanya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian.

Itu sahaja dari saya pada kali ini. Moga bermanfaat.