Prenote

Assalamualaikum Ya Akhi, Ya Ukhti.

Semua yang tertulis di dalam blog ini datang dari benak pemikiran si penulis yang melihat dunia dengan caranya tersendiri. Bukan menulis untuk memarahi apatah lagi memerli atau memaki. Namun semuanya untuk sama-sama kita renungi dan bermuhasabah diri.

ah skemanya.

Wednesday, July 31, 2013

Saya nak kahwin

Saya fikir ini juga sebuah perkara yang sering difikirkan oleh anak muda yang memegang title daie ini. Perkahwinan bukan suatu perkara yang boleh dibuat main, namun ianya ialah sebuah gerbang yang menentukan masa hadapan kita. Seringkali anak muda memikirkan halangan dan tentangan yang bakal dihadapinya sekiranya dia berhasrat untuk berkawin. Halangan daripada ibubapa, kritikan saudara mara, sindiran rakan-rakan dan lain-lain menimbulkan rasa risau di hati. Rasa risau dan takut inilah yang akhirnya membantutkan hajat suci muda-mudi kita untuk berkahwin awal. 



Saya akan cuba menulis article ini secara seimbang agar kita dapat memahami kebenaran hajat baik si pemuda atau pemudi yang mahu berkahwin dan kasih sayang ibubapa yang tidak membenarkannya.


Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seorang lelaki yang engkau sukai agama dan akhlaknya melamar, maka nikahilah dia (dengan puterimu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, maka akan ada fitnah di atas bumi dan kerosakan”.


Rasulullah SAW juga bersabda,

“Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang memiliki kesanggupan, maka hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya berkahwin lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan.”


Berdasarkan kedua-dua hadis di atas maka jelaslah disini bahawa kahwin awal itu ialah suatu yang dituntut dalam agama. Apabila seseorang telah meminati atau jatuh hati kepada seorang ajnabi, hatinya berubah menjadi tidak keruan. Kotak hatinya tidak lagi diisi dengan pujian kepada Allah, namun kini dia mula mengingati orang yang diminati itu. Perkara ini melalaikan jiwa seorang beriman, bahkan ianya dikhuatiri membawa kepada syirik kecil apabila hatinya tidak lagi meletakkan Allah ditempat yang sepatutnya.


Mana tidaknya, jika di dalam solat pun dia sukar untuk mendapat khusyuk, kerana hatinya sentiasa merindui dan memikirkan tentang si dia. Meletakkan suatu yang tidak halal di dalam hati itu dikhuatiri mengundang syirik kecil. Jalan penyelesaian bagi masalah ini, tidak lain dan tidak bukan ialah melalui perkahwinan.


Kata Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin, menunda perkahwinan adalah sikap yang bertentangan dengan perintah Rasulullah S.A.W.. Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin menasihati wali wanita, dan wanita itu sendiri; janganlah menolak untuk berkahwin dengan alasan belajar atau mengajar.


Seperti yang dikatakan oleh syeikh, dapatlah kita katakan bahawa menangguh perkahwinan atas alasan belajar atau mengajar itu tidak relevan.


Seringkali sebuah nasihat daripada seorang ulama yang hanif, akan memberikan ketenangan hati. Ibarat sebuah dakapan erat yang menenangkan jiwa bergelojak, ibarat tegukan air segar yang menghilangkan dahaga. Semoga nasihat dari para ulama soleh yang sarat akan hikmah-hikmah besar ini dapat menjadi pelipur hati yang sedang menanti, dan jiwa merindui.


Apabila perkahwinan yang halal itu disukarkan, maka kita akan menyaksikan zina yang haram pula seolah-olah dimudahkan. Apabila perkahwinan menjadi mahal, maka zina akan menjadi murah. Berapa ramai pada hari ini, pemuda kita tengelam dengan masalah sosial. Lihat sahaja pada statistic bilangan anak luar nikah yang kian meningkat dari tahun ke tahun.


Jika merasakan diri kita sudah bersedia, baik dari sudut ekonomi, emosi, dan rohani, maka berkahwinlah. Pujuklah kedua ibu-bapa kita untuk membenarkan kita berkahwin. Lamarlah si dia dengan merujuk terus kepada walinya. Jika niat kamu itu suci dan ikhlas mahu berkahwin demi menjaga hatimu dari dicemari sesuatu yang tidak halal, maka insyaAllah urusanmu akan dimudahkan. Moga Allah permudahkan dan memakbulkan hasrat suci kamu itu. Jadikanlah si dia halal buatmu dengan cara yang digariskan oleh islam.


“Susah akhi.. Saya memang nak berkahwin, tapi parents.. hm.. mesti tak bagi.”


Suka untuk saya petik kata-kata dari Dr. Nik Roskiman Abdul Samad yakni seorang pengarah di Institute Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


“Kepada para ibubapa yang mempunyai anak-anak yang sudah belia remaja, usahakanlah mempercepatkan perkahwinan mereka. Dunia yang semakin mencabar keimanan ini, semakin perlu disegerakan bagi mengelakkan zina dll yang semakin berleluasa. Seakan zina, homo, gay, sudah menjadi biasa hari ini. Sedih mendengar apa yang menimpa pelajar Malaysia di London. Naudhubillah!

Saya antara ibubapa yang menyokong anak-anak berkahwin awal walaupun masih belum tamat pengajian di IPT kerana usia sebegitulah paling mencabar.

Kepada adik-adik yang masih bujang, saya berpesan dengan sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka bernikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang syahwat.”
[Bukhari/Muslim]



Namun itu tidak beerti kamu tidak perlu berusaha. Kamu sebagai seorang yang mahu berkahwin perlu membuktikan kepada ibu bapa yang kamu telah bersedia. Jika bangun solat subuh pun kita masih mengharapkan mereka mengejutkan kita. Sudah pastilah mereka risau untuk mengizinkan kita berkahwin. Tunjukkanlah yang kita sudah bersedia, rajinkanlah ke masjid, ringan-ringankan tulang membantu mereka mengurus urusan keluarga dan lain-lain.


Kalau boleh, untuk beli barang-barang keperluan diri, kamu mengunakan duit kamu sendiri, lebih baik lagi kamu pula yang belanja keluarga. InsyaAllah apabila ibubapa melihat kita sudah matang dan kita telah membuktikan kepada mereka bahawa kita benar-benar bersedia, silap-silap mereka pula yang akan menyuruh kita berkahwin. Inilah seni memikat hati ibubapa.



Satu faktor lagi yang membuatkan ibubapa sukar menerima keputusan kita ialah kerana mereka risau dengan pilihan kita. Mana tidaknya, tiba-tiba kita datang kepada mereka cakap nak kahwin. Mereka mahu juga memastikan pilihan anaknya ini ialah pilihan yang baik. Sebab itu, sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, nasihat saya, sejak kita mula jatuh hati atau berkenan kepada seorang, jangan rahsiakan, namun teruslah cerita kepada ibu bapa bahawa kamu telah jatuh cinta.

“Ummi.. Abanglong ada minat seorang budak ni. Dia baik sangat ummi..hm..”

Hah.. macam tu, baru la macho tahap hokage. Ada berani? Setidaknya mereka mengikuti perkembangan kita dari awal. Ini tidak.., tiba-tiba cakap nak kahwin, pastilah ianya sukar untuk mereka membuat kata putus.

Ibubapa ni para pembaca, mereka sayang pada kita, sebab itu mereka risau akan kita. Seringkali kita menyalahkan ibubapa apabila mereka menolak hajat kita untuk berkahwin. Kita mengatakan mereka tidak faham itu dan ini. Namun hakikatnya diri kita sendiri yang gagal membuktikan kepada mereka bahawa kita mampu, kerana jika kita berjaya buat dengan cara dan kefahaman yang betul insyaAllah hati mereka akan lembut untuk membenarkan kita berkahwin.

Jika perjuangan kamu itu ialah satu perjuangan yang ikhlas, insyaAllah akan dipermudahkan atas izinNya. Ikhlas itu jiwa yang murni, rahsia Allah di dalam hati, terlalu sembunyi, tapi dapat dikesan jika disuluh dengan saksama. Banyakkanlah berdoa, dan sujud padaNya, kerana semuanya berlaku atas izinNya tuhan yang Maha Esa.

“Akhi ni dah kahwin ke?”

Ini soalan paling lajen abad ini, haha. Belum lagi sahabat. InsyaAllah satu hari nanti, doakan saya.